Seorang datuk bandar tempatan di Mexico ditembak mati di dewan perbandaran, kata pihak berkuasa pada Rabu, selepas ahli politik itu terselamat daripada percubaan pembunuhan sebelumnya beberapa bulan lalu, menurut berita Anadolu memetik laporan CBS News.
Kejadian itu berlaku di bandar Temoac, yang terletak di negeri Morelos, dekat Bandar Mexico, sebuah kawasan di mana pelbagai kartel dadah beroperasi.
Datuk bandar Temoac, Valentin Lavin, yang bersekutu dengan parti sayap kiri Presiden Claudia Sheinbaum, sebelum ini terselamat daripada serangan bersenjata pada Januari.
Menurut pejabat pendakwa raya negeri, penyiasat forensik dan polis menemui mayatnya di dalam pejabat kerajaan perbandaran.
Pihak berkuasa berkata satu operasi sedang dijalankan untuk menangkap mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan itu. Data rasmi menunjukkan hampir 100 datuk bandar Mexico terbunuh sejak 2006, apabila keganasan berkaitan dadah semakin meningkat.
Sejak pentadbiran semasa memegang jawatan pada Oktober 2024, 14 datuk bandar terbunuh, termasuk tiga kes yang direkodkan pada 2026.

