Aksesori Lain

  • Rusia serang pusat data Ukraine, tawan 4 lagi penempatan

    Tentera Rusia melancarkan serangan dron semalaman ke atas kemudahan berkaitan ketenteraan dan kapal kargo Ukraine, serta menawan empat lagi penempatan di sepanjang barisan hadapan, kata Kementerian Pertahanan Rusia pada Ahad, menurut berita Xinhua.

    Dron Rusia telah melanda sebuah pusat data di bandar Odessa, selatan Ukraine, yang digunakan untuk memproses, menghantar dan menyimpan maklumat bagi tentera Ukraine, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

    Dron-dron itu juga melanda sebuah kapal kargo yang berlabuh di pelabuhan Chornomorsk di wilayah Odessa, yang sebelum ini telah menghantar bekalan kepada tentera Ukraine, kata kementerian itu.

    Pada petang Ahad, tentera Rusia menyerang sebuah pusat logistik di wilayah Mykolaiv, Ukraine, yang digunakan untuk menyimpan bekalan ketenteraan, serta sebuah kapal kargo yang sedang mengangkut bekalan ketenteraan ke Pelabuhan Chornomorsk, katanya.

    Kementerian itu juga berkata kumpulan tentera Utara dan Tengah Rusia masing-masing telah menawan dua penempatan, iaitu di wilayah Kharkiv dan Donetsk.

  • Serangan baharu ke atas lapangan terbang Riyadh menyebabkan kecederaan

    Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (GACA) Arab Saudi pada Ahad berkata satu serangan baharu ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di ibu negara Riyadh menyebabkan kecederaan, lapor berita Xinhua.

    Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di X, GACA memaklumkan bahawa serangan itu mengakibatkan kecederaan, dan kerja penilaian kerosakan serta pemeriksaan keselamatan kemudahan lapangan terbang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.

    Menurut Xinhua, terdahulu pada Ahad, pakatan diketuai oleh Arab Saudi berkata satu projektil telah melanda terminal penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid.

    Satu serangan menggunakan projektil yang tidak dikenal pasti telah mengenai Terminal 4 di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, kata jurucakap pakatan itu, Turki Al-Malki, di X, menurut Xinhua.

    Sistem pertahanan udara telah memintas dan memusnahkan satu peluru berpandu dekat lapangan terbang itu, dan kebakaran akibat serangan itu ditangani di lokasi kejadian, katanya.

    Menurut Xinhua, korespondennya mengatakan, bunyi letupan kedengaran pada petang Ahad dekat lapangan terbang itu, dan kepulan asap turut kelihatan seketika.

    Serangan itu berlaku sehari selepas serangan yang menyasarkan lapangan terbang sama mengorbankan 12 orang dan mencederakan 309 yang lain, menurut GACA.

  • Banjir kilat hanyutkan kira-kira 40 rumah di tengah Nepal

    Dianggarkan antara 35 hingga 40 buah rumah dihanyutkan oleh banjir kilat di daerah Gorkha, tengah Nepal pada Ahad, menurut berita Anadolu.

    Banjir kilat di Sungai Budhi Gandaki pada awal pagi Ahad itu menyebabkan kerosakan meluas di kawasan perbandaran luar bandar Chumnubri dan Dharche; menghanyutkan rumah, jambatan, dan infrastruktur projek hidroelektrik, selain menenggelamkan kawasan penempatan dan meletakkan lebih banyak kediaman dalam risiko, lapor Anadolu memetik akhbar tempatan The Kathmandu Post.

  • 11 maut, 27 cedera dalam nahas bas pelancong di barat Türkiye

    Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan 27 lagi cedera pada had dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas pelancong dan sebuah trak tunda di wilayah Manisa, barat Türkiye, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

    Pejabat Gabenor Manisa berkata pelanggaran itu berlaku pada jam 11:11 pagi waktu tempatan (0811 GMT) dekat pintu masuk lebuh raya Akhisar.

  • 109 maut, lebih 116 hilang selepas bot terbalik di luar pantai Djibouti

    Sekurang-kurangnya 109 pendatang, termasuk 15 kanak-kanak, maut dan lebih 116 lagi masih hilang selepas sebuah bot yang membawa 350 orang terbalik di luar pantai Djibouti, menurut berita Xinhua memetik Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) pada Ahad.

    Bot itu dalam perjalanan dari Djibouti ke Yaman apabila ia terbalik pada waktu malam antara Khamis dan Jumaat. Pasukan IOM berada di lokasi kejadian bersama pihak berkuasa tempatan untuk memberikan bantuan kecemasan, menurut pertubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

    “Ini merupakan kehilangan nyawa yang amat menyedihkan. Simpati kami bersama mereka yang terselamat dan keluarga yang kehilangan insan tersayang atau masih belum mendapat berita mengenai saudara-mara mereka,” kata Alexandre Coissac, ketua misi IOM di Djibouti, lapor Xinhua.

    Daripada 109 mayat yang ditemui, 52 lelaki, 42 wanita dan 15 kanak-kanak. Lebih 80 orang terselamat dalam kejadian bot karam itu, semuanya warga Ethiopia, menurut kenyataan agensi migrasi PBB itu yang dikeluarkan pada Ahad, sambil menambah bahawa pihak berkuasa Djibouti meneruskan operasi mencari dan menyelamat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap mereka yang masih hilang, lapor Xinhua.

  • Dua maut, 16 cedera dalam kemalangan perarakan pedati perayaan di Osaka, barat Jepun

    Dua lelaki maut dan 16 yang lain cedera dalam kejadian berasingan membabitkan pedati perayaan tradisional di dua bandar di wilayah Osaka, barat Jepun, pada Sabtu, menurut berita Xinhua memetik polis tempatan.

    Di Izumisano, seorang lelaki berusia 51 tahun terperangkap di bawah pedati yang terbalik ketika menaikinya bersama peserta lain. Dia kemudian disahkan meninggal dunia di hospital, manakala tujuh yang lain cedera.

    Dalam kejadian berasingan di Izumiotsu, sebuah pedati turut terbalik, menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 48 tahun yang terperangkap di bawahnya. Sembilan orang lagi cedera, menurut Xinhua memetik polis wilayah.

    Kemalangan itu dipercayai berlaku ketika “yarimawashi” iaitu acara kemuncak perayaan di mana pasukan peserta menarik pedati “danjiri” membelok di selekoh pada kelajuan tinggi, yang berisiko menyebabkan peserta di atasnya hilang keseimbangan, kata polis.

  • 5 maut kemalangan di selatan Peru

    Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh pada awal Sabtu dalam satu perlanggaran berdepan antara sebuah kenderaan SUV dan sebuah kereta jenis wagon di lebuh raya di wilayah Ica, selatan Peru, menurut berita Xinhua.

    Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 4:30 pagi di kilometer 352 Pan-American Highway South, di laluan di antara Ica dan Palpa, lapor Xinhua memetik agensi berita negara Andina yang memetik Polis Kebangsaan Peru.

    Siasatan awal menunjukkan pemandu SUV itu berkemungkinan memasuki lorong bertentangan, sekali gus menyebabkan perlanggaran.

    Semua lima dari kereta wagon itu, yang dalam perjalanan dari Ica ke Abancay, terkorban.

    Pemandu SUV itu cedera ringan, ditahan dan dibawa ke balai polis di daerah Santiago, Ica.

  • 12 maut, 309 cedera dalam serangan ke atas lapangan terbang Riyadh ketika Houthi dan Arab Saudi saling berbalas serangan

    Serangan yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di ibu negara Arab Saudi, Riyadh, pada petang Sabtu mengorbankan 12 orang dan mencederakan 309 yang lain, menurut berita Xinhua memetik Pihak Berkuasa Am, Penerbangan Awam Arab Saudi, ketika kumpulan Houthi Yaman dan Arab Saudi terus berbalas serangan yang menyasarkan lapangan terbang utama.

    Pihak berkuasa penerbangan Saudi berkata dalam satu kenyataan awal Ahad bahawa mangsa yang terkorban membabitkan empat warga Saudi dan lapan penduduk asing — dua warga Bangladesh serta masing-masing seorang dari Amerika Syarikat, Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan.

    Susulan serangan Sabtu itu, kumpulan Houthi berkata dalam satu kenyataan yang ia bersedia untuk mengambil langkah timbal balik dengan Arab Saudi bagi memastikan lapangan terbang, pelabuhan laut dan kemudahan lain yang mempunyai fungsi kemanusiaan tidak terbabit dalam konflik ketenteraan yang semakin memuncak.

    Menurut berita Xinhua, saluran televisyen al-Masirah dikendalikan oleh Houthi melaporkan pada Sabtu bahawa Arab Saudi melancarkan gelombang baharu serangan udara dan peluru berpandu di kawasan dikuasai Houthi di Yaman, menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa di ibu negara dikuasai Houthi, kawasan dekat Selat Bab al-Mandab yang strategik, serta beberapa wilayah di utara.

    Juga pada Sabtu, pasukan kerajaan Yaman berkata lebih 1,150 pejuang Houthi telah “dineutralkan” serta lebih 180 kenderaan tentera dan logistik musnah atau rosak dalam lebih 1,900 serangan di pelbagai barisan hadapan di Yaman dalam 24 jam lalu.

    Menurut Xinhua, angka itu tidak dapat disahkan secara bebas.

  • 4 maut, ratusan ribu terputus bekalan elektrik selepas Taufan Isaias landa Florida, AS

    Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh pada Sabtu selepas Taufan Isaias melanda kawasan dekat Destin di negeri Florida, Amerika Syarikat (AS), sebagai ribut Kategori 2 yang berbahaya, sebelum melemah menjadi siklon pasca-tropika, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

    Mangsa termasuk dua orang yang maut akibat pokok tumbang di Florida dan Alabama, menurut pegawai.

    Hampir 670,000 pengguna masih terputus bekalan elektrik di Florida, Alabama, Georgia dan Mississippi setakat tengah hari Sabtu, berdasarkan data daripada pemantau bekalan utiliti PowerOutage.us, lapor Xinhua

  • Lelaki maut diserang harimau di taman hidupan liar di utara England

    Seorang lelaki meninggal dunia selepas diserang oleh seekor harimau di sebuah taman hidupan liar di utara England pada Sabtu, menurut berita Xinhua memetik polis tempatan mengesahkan.

    Polis South Yorkshire berkata lelaki terbabit memasuki kandang harimau di Yorkshire Wildlife Park, dekat Doncaster, di mana dia kemudiannya diserang oleh haiwan itu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Polis mengesahkan harimau itu kekal berada di dalam kandangnya dan tidak lagi mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

    Perkhidmatan Ambulans Yorkshire memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1:30 petang (1230 GMT).

    Taman hidupan liar itu dilapor berkata prosedur kecemasan telah diaktifkan serta-merta susulan kejadian itu dan mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti punca serta keadaan sebenar kejadian.