Nur

  • Ketua tentera Iran kata perang belum berakhir; musuh mesti bersedia dengan “hentaman hebat” Iran

    Panglima Tentera Iran, Amir Hatami, berkata pada Ahad, perang yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap negara itu masih belum berakhir, dan “musuh” perlu bersedia untuk menerima “hentaman hebat” daripada angkatan tentera Iran, menurut berita Xinhua.

    “Perang ini belum berakhir… Walaupun musuh yang agresif itu telah mengalami pukulan hebat, mereka mesti terus bersedia untuk menerima hentaman lebih dahsyat daripada angkatan tentera Iran,” kata Hatami dalam satu festival kebangsaan di Tehran, menurut Xinhua memetik agensi berita separa rasmi Tasnim.

    Dia menggesa negara-negara rantau itu supaya menyedari bahawa kerjasama dengan AS tidak menjamin keselamatan mereka, sambil menegaskan keselamatan serantau mesti dipelihara dari dalam oleh negara-negara di rantau itu sendiri.

    Pada 28 Februari lalu, Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Tehran dan bandar-bandar lain di Iran. Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan bertubi-tubi menggunakan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta pangkalan dan aset AS di rantau itu, selain memperketatkan kawalan ke atas Selat Hormuz.

  • IRGC Iran kata ia tawan kapal selam tanpa pemandu kedua milik AS di Selat Hormuz

    Tentera laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mengumumkan pada Ahad bahawa pasukannya merampas satu lagi kapal selam tanpa pemandu yang “pintar dan canggih” milik tentera AS di Selat Hormuz, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, tentera laut dalam satu kenyataan dikeluarkan melalui saluran berita rasmi IRGC, Sepah News, berkata kenderaan bawah air autonomi (AUV) itu, yang mana sedang menjalankan aktiviti “perisikan” di Selat Hormuz, telah dirampas dalam satu “operasi yang diselaraskan dan rumit, dengan penguasaan perisikan serta peperangan elektronik”.

    Pihaknya mengenal pasti AUV itu sebagai model “REMUS 600” dan menambah bahawa ia telah diserahkan kepada pakar teknikal untuk tujuan pemulihan data.

  • Sekurang-kurangnya 6 pelombong maut dalam serangan di tengah Nigeria

    Sekurang-kurangnya enam pelombong mati ditembak dan dua lagi cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali menyerang tapak perlombongan berskala kecil di Negeri Plateau, tengah Nigeria, menurut berita Xinhua memetik pelbagai sumber termasuk media tempatan pada Ahad.

    Berpuluh-puluh pelombong melarikan diri selepas lelaki-lelaki bersenjata bermotosikal melepaskan tembakan di tapak perlombongan di Kampung Lajam Marit, dalam Kawasan Kerajaan Tempatan Barkin Ladi, pada petang Sabtu.

    Menurut Xinhua, harian kebangsaan Punch Newspaper memetik sumber tempatan melaporkan pelombong sedang menjalankan aktiviti mereka apabila diserang.

    Rwang Tengwong, jurucakap kebangsaan bagi Persatuan Berom Youth Moulders, sebuah kumpulan sosiobudaya, dilapor memberitahu media bahawa lelaki-lelaki bersenjata itu melarikan diri melalui jalan denai hutan selepas serangan terbabit.

    Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu setakat ini.

    Negeri Plateau terletak di kawasan Middle Belt Nigeria, yang menghubungkan bahagian utara negara itu yang kebanyakannya beragama Islam dengan bahagian selatan yang kebanyakannya beragama Kristian. Sejak kebelakangan ini, negeri berkenaan sering mengalami keganasan berulang yang lazimnya berpunca daripada pertikaian mengenai tanah dan sumber antara komuniti yang berbeza.

  • Sekurang-kurangnya 12 maut dalam kemalangan bot di timur DR Congo

    Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi masih hilang selepas sebuah bot terbalik di Tasik Kivu di timur Republik Demokratik Congo (DRC), menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan pada Ahad.

    Kemalangan itu berlaku antara malam Sabtu dan awal pagi Ahad. Bot terbabit bertolak dari Bukavu, ibu kota Wilayah Kivu Selatan, dan terbalik dalam perjalanan.

    Menurut Xinhua, media tempatan memetik maklumat awal, melaporkan mungkin terdapat lebih 80 orang di atas bot itu. Pasukan penyelamat telah menemui sekurang-kurangnya 12 mayat dan lima mangsa yang terselamat setakat pagi Ahad, manakala nasib berpuluh-puluh orang lagi masih belum diketahui. Operasi mencari dan menyelamat sedang diteruskan.

  • 8 maut, 12 cedera bas terbalik di timur laut Brazil

    Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan 12 lagi cedera selepas sebuah bas terbalik di negeri Bahia, timur laut Brazil, menurut berita Xinhua memetik polis pada Sabtu.

    Kemalangan itu berlaku pada kira-kira jam 11 malam waktu tempatan Jumaat dekata Iraquara, di wilayah Diamantina, dengan 22 penumpang di dalam bas terbabit, lapor Xinhua.

    Tujuh orang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia kemudiannya akibat cedera walaupun telah menerima rawatan perubatan.

  • 3 orang hilang selepas tanah runtuh, aliran lumpur di Fujian, timur China

    Tanah runtuh dan aliran lumpur di tapak projek perataan tanah di Perbandaran Bili, Daerah Luoyuan, Wilayah Fujian di timur China, pada kira-kira jam 5 petang Sabtu menyebabkan tiga orang tidak dapat dikesan setakat jam 11 malam, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa tindak balas kecemasan daerah itu.

    Dua rumah dilaporkan mengalami kerosakan.

  • Letupan di Dera Ismail Khan, Pakistan, ragut 11 nyawa, 30 cedera

    Sebelas orang terbunuh dan 30 lagi cedera dalam satu letupan di Dera Ismail Khan, barat laut Pakistan pada Sabtu, menurut berita Reuters memetik perkhidmatan kecemasan Rescue 1122.

    Dera Ismail Khan, yang terletak di wilayah Khyber Pakhtunkhwa dekat sempadan Pakistan-Afghanistan, sering menjadi sasaran keganasan militan Islamis yang kerap menyasarkan polis dan pasukan keselamatan.

    Tehreek-e-Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab atas serangan pada Sabtu itu, menurut Reuters.

    Letupan itu berlaku dekat Aman Mela di kawasan Darazinda daerah terbabit, menurut Reuters memetik kenyataan Rescue 1122.

  • 11 maut, 24 cedera apabila bas terbalik di tengah Iran

    Sekurang-kurangnya 11 orang maut dan 24 lagi cedera selepas sebuah bas terbalik di jalan raya antara bandar di wilayah Markazi, tengah Iran, pada awal pagi Sabtu, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi berita separa rasmi Mehr.

    Kemalangan itu berlaku di daerah Saveh pada jam 4.48 pagi waktu tempatan (0118 GMT) ketika bas terbabit dalam perjalanan, menurut kenyataan Hamid Abreh Dari, seorang pegawai perkhidmatan perubatan kecemasan Saveh, yang dipetik oleh Mehr.

  • 19 maut selepas meminum minuman keras tiruan di Nagaland, India

    Sekurang-kurangnya 19 orang meninggal dunia di dua lokasi berasingan di negeri Nagaland, timur laut India, dalam tempoh dua hari lalu selepas meminum minuman keras yang disyaki tiruan, menurut berita Xinhua memetik polis mengesahkan pada Sabtu.

    Sebanyak 11 kematian dilaporkan di kawasan Tuensang, manakala lapan orang dilaporkan meninggal dunia di Mokokchung.

    Nagaland dikategorikan sebagai negeri bebas alkohol (dry state) selama lebih tiga setengah dekad, dengan penjualan dan pengambilan semua jenis minuman keras dilarang sepenuhnya.

    Kerajaan Nagaland telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengesan punca minuman keras yang disyaki tiruan itu, dan beberapa individu telah ditahan berhubung kes berkenaan, Xinhua memetik polis tempatan.

  • Lima orang lemas ketika menyeberangi sungai di sempadan Croatia-Slovenia

    Lima orang lemas di Sungai Kupa, barat Croatia, sempadan dengan Slovenia, manakala lima lagi diselamatkan, menurut berita Xinhua memetik polis berkata pada Jumaat.

    Polis menerima panggilan pada jam 3:30 petang (1330 GMT) yang melaporkan sekumpulan besar individu, dipercayai pendatang, dilihat berada di sungai dekat kawasan sempadan Damalj.

    Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang anggota polis terjun ke dalam sungai dan, dengan bantuan penduduk tempatan serta seorang lagi anggota polis, berjaya menyelamatkan lima warga asing.
    Seramai 14 orang berjaya menyeberangi sungai itu dan kini berada di Slovenia.

    Siasatan jenayah sedang dijalankan. Anggota polis, dengan bantuan anggota bomba, meneruskan operasi pencarian di kawasan berkenaan. Kewarganegaraan mangsa masih belum dikenal pasti.

    Croatia, sebuah negara di Eropah Tenggara yang menyertai Kesatuan Eropah (EU) pada 2013 dan kawasan Schengen pada 2023, terletak di laluan yang sering digunakan oleh pendatang dari Timur Tengah, Asia Selatan, dan Afrika. Pendatang kerap cuba menyeberang dari Bosnia dan Herzegovina ke Croatia sebelum meneruskan perjalanan ke Slovenia serta negara-negara EU lain yang lebih makmur di Eropah Barat dan Utara.

    Sungai Kupa merupakan sebahagian daripada sempadan semula jadi antara Croatia dan Slovenia serta telah menjadi lokasi lintasan amat berbahaya.