Sekurang-kurangnya enam pelombong mati ditembak dan dua lagi cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali menyerang tapak perlombongan berskala kecil di Negeri Plateau, tengah Nigeria, menurut berita Xinhua memetik pelbagai sumber termasuk media tempatan pada Ahad.
Berpuluh-puluh pelombong melarikan diri selepas lelaki-lelaki bersenjata bermotosikal melepaskan tembakan di tapak perlombongan di Kampung Lajam Marit, dalam Kawasan Kerajaan Tempatan Barkin Ladi, pada petang Sabtu.
Menurut Xinhua, harian kebangsaan Punch Newspaper memetik sumber tempatan melaporkan pelombong sedang menjalankan aktiviti mereka apabila diserang.
Rwang Tengwong, jurucakap kebangsaan bagi Persatuan Berom Youth Moulders, sebuah kumpulan sosiobudaya, dilapor memberitahu media bahawa lelaki-lelaki bersenjata itu melarikan diri melalui jalan denai hutan selepas serangan terbabit.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu setakat ini.
Negeri Plateau terletak di kawasan Middle Belt Nigeria, yang menghubungkan bahagian utara negara itu yang kebanyakannya beragama Islam dengan bahagian selatan yang kebanyakannya beragama Kristian. Sejak kebelakangan ini, negeri berkenaan sering mengalami keganasan berulang yang lazimnya berpunca daripada pertikaian mengenai tanah dan sumber antara komuniti yang berbeza.

