Masjid

  • Pasukan AS lancar gelombang serangan baharu terhadap Iran untuk malam ke-7 berturut-turut

    Pasukan AS pada Jumaat melancarkan pusingan serangan baharu terhadap Iran pada jam 3 petang Waktu Timur (1900 GMT), menandakan malam serangan ketujuh berturut-turut, menurut berita Xinhua memetik Perintah Pusat AS (CENTCOM) dalam satu kenyataan.

    Menurut Xinhua, lewat Khamis CENTCOM berkata pasukan AS termasuk jet pejuang, dron dan kapal perang telah menjalankan serangan berketepatan terhadap berpuluh-puluh sasaran tentera Iran, termasuk tapak pengawasan pantai dan pertahanan udara, infrastruktur logistik tentera, dan aset maritim.

    Dilaporkan, antara sasaran diserang ialah menara pengawasan di Pelabuhan Chah Bahar Shahid Kalantari, yang merupakan sebahagian daripada rangkaian pengawasan maritim di garis pantai Teluk Oman Iran.

  • Sekurang-kurangnya 14 maut bas antara bandar jatuh sungai di Cote d’Ivoire

    Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera selepas sebuah bas antara bandar terjunam ke dalam Sungai Bafing pada Isnin di jalan Touba-Biankouma di barat laut Cote d’Ivoire, menurut berita Xinhua memetik sumber keselamatan.

    Bas dikendalikan oleh Diarra Transport itu membawa lebih 50 penumpang dari Odienne ke Yamoussoukro apabila ia terbabas dari jalan raya atas sebab yang belum ditentukan sebelum terjunam ke dalam sungai dekat kampung Bafingdala, Xinhua memetik sumber itu.

    Laporan awal menyatakan jumlah kematian seramai 14 orang, manakala 40 orang cedera dan beberapa lagi masih hilang.

  • Beberapa orang maut serangan terbaru AS ke atas Iran

    Beberapa orang terbunuh dalam pusingan serangan terbaru AS yang menyasarkan kawasan berbeza di Iran, menurut berita Xinhua memetik laporan media Iran pada Isnin, memetik pegawai tempatan.

    Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan tiga lagi cedera dalam serangan AS ke atas barat daya daerah Abadan, wilayah Khuzestan, pada petang Isnin, Xinhua memetik agensi berita separa rasmi Fars.

    Tiga lokasi di daerah itu kena projektil AS pada jam 13:45 waktu tempatan (1015 GMT), Valiollah Hayati, timbalan gabenor Khuzestan untuk hal ehwal keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang, dilapor sebagai berkata.

    Terdahulu pada hari itu, Valiollah berkata, sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan empat lagi cedera dalam serangan AS semalaman ke atas daerah Bandar-e Mahshahr di Khuzestan, ketika projektil AS hentam stesen pam air pertanian, Xinhua memetik agensi berita rasmi IRNA. Mangsa dikenal pasti sebagai pengawal kemudahan itu.

    Dalam pada itu, menurut Xinhua, IRNA memetik Akbar Salehi, timbalan gabenor wilayah Isfahan untuk hal ehwal keselamatan, sebagai berkata bahawa serangan semalaman AS membunuh sekurang-kurangnya seorang dan menyebabkan tujuh yang lain cedera di wilayah itu.

    Serangan itu, dilakukan pada awal pagi Isnin, menyasarkan sebuah pusat tentera di daerah Nain, pegawai itu dilapor berkata.

    Xinhua melaporkan, agensi berita separa rasmi Mehr, yang memetik sumber tempatan, melaporkan letupan juga kedengaran pada tengah hari Isnin di sekitar bandar pelabuhan Bandar Abbas dan Pulau Qeshm di wilayah Hormozgan, selatan Iran.

  • Angka maut kebakaran pub di Bangkok meningkat kepada 28

    Jumlah kematian dalam kebakaran pub yang membawa maut di Bangkok, Thailand, meningkat kepada 28 orang, menurut berita Xinhua memetik kenyataan kerajaan pada Isnin.

    Kebakaran berlaku di sebuah pub di daerah Chatuchak utara Bangkok lewat Ahad.

  • Angka maut kebakaran hutan di selatan Sepanyol meningkat kepada 13

    Angka maut akibat kebakaran hutan di wilayah Almeria, tenggara Sepanyol meningkat kepada 13 orang sementara pihak berkuasa wilayah mengumumkan pada Ahad, kebakaran stabil.

    Tujuh orang yang cedera dirawat di hospital, tiga daripada mereka dalam keadaan serius, data rasmi terkini menunjukkan, lapor Xinhua.

    Xinhua melaporkan, menurut penyiar awam Sepanyol RTVE, ramai daripada mereka yang terjejas oleh kebakaran itu adalah warga asing.

    Kebakaran hutan itu berlaku pada Khamis dekat perbandaran Los Gallardos di Almeria, sebahagian daripada komuniti autonomi Andalusia di selatan Sepanyol, dan telah membakar sekitar 7,000 hektar tanah, menurut Xinhua, 10 orang didaftarkan secara rasmi sebagai hilang masih belum dikenal pasti.

    Pihak berkuasa serantau dilapor berkata penstabilan kebakaran membolehkan mereka menurunkan tahap tindak balas kecemasan dan membenarkan kira-kira 1,000 mangsa yang dipindahkan untuk kembali ke rumah mereka, selepas kira-kira 600 penduduk dibenarkan pulang pada Sabtu.

    Punca kebakaran hutan masih dalam siasatan, lapor Xinhua, hipotesis utama ialah ia mungkin dicetuskan oleh keruntuhan tiang elektrik atau kabel.

  • 9 maut kemalangan trafik di Mexico

    Kemalangan berbilang kenderaan membabitkan sebuah traktor-treler menyebabkan sembilan orang maut dan 10 yang lain cedera di lebuh raya di negeri Jalisco, barat Mexico, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa perlindungan awam negeri pada Ahad.

  • 3 kanak-kanak maut feri terbalik di Sungai Euphrates, Syria

    Sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak maut dan bilangan orang yang tidak diketahui hilang selepas sebuah feri penumpang terbalik di Sungai Euphrates di wilayah timur Syria, Deir al-Zour pada Ahad, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

    Feri itu terbalik sejurus selepas melanggar jambatan tentera dekat kawasan kejiranan al-Huweiqa semasa membawa penumpang dari tebing barat sungai ke kampung-kampung di sebelah timur, Xinhua memetik pihak berkuasa.

    Pasukan penyelamat menemui mayat dua kanak-kanak dan menyelamatkan lebih 13 orang susulan kemalangan itu, kata Zain al-Aboud, pengarah Pengurusan Kecemasan dan Bencana di Deir al-Zour, kepada Xinhua.

    Mayat kanak-kanak ketiga kemudiannya ditemui oleh penduduk tempatan kira-kira 20 km ke hilir dekat kampung al-Tabiya.

  • 27 maut kebakaran pub di Bangkok

    Kebakaran di sebuah pub dekat Jalan Lat Phrao di daerah Chatuchak, Bangkok mengorbankan 27 orang dan mencederakan lebih 10 orang lain lewat Ahad, menurut berita Xinhua memetik laporan media Thailand.

    Kebakaran itu dilapor berlaku sekitar jam 11:57 malam waktu tempatan dan kemudian dipadamkan.

    Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul tiba di tempat kejadian sekitar jam 1:44 pagi pada Isnin, dan berkata kebanyakan mangsa meninggal dunia akibat terhidu asap, lapor Xinhua.

  • Pasukan Perintah Pusat AS lancar lebih banyak serangan terhadap Iran

    Pasukan AS pada Ahad melancarkan pusingan serangan baharu terhadap Iran, menurut berita Xinhua memetik Perintah Pusat AS.

    “Pada jam 5 petang ET hari ini, pasukan Perintah Pusat AS mula melancarkan lebih banyak serangan terhadap Iran untuk terus melemahkan keupayaan mereka menyerang pelaut awam dan kapal komersial yang bebas melintasi Selat Hormuz,” pasukan itu dilapor sebagai berkata dalam catatan di X.

  • Angka maut gempa berkembar Venezuela meningkat kepada 4,490

    Jumlah kematian akibat gempa bumi 24 Jun lalu di Venezuela meningkat kepada 4,490, menurut berita Xinhua memetik Presiden Dewan Nasional Jorge Rodriguez pada Ahad.

    Rodriguez mengatakan dalam kemas kini harian di media sosial bahawa bilangan yang cedera kekal pada 16,740, manakala bilangan orang yang menerima bantuan meningkat kepada 120,794.
    Pihak berkuasa telah menubuhkan 108 kem dan tempat perlindungan sementara untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal.

    Sejumlah 31,837 anggota Venezuela dikerahkan untuk tindak balas bencana, disokong oleh 2,422 penyelamat antarabangsa.

    Venezuela telah mencatatkan 1,222 gegaran susulan sejak gempa bumi berkembar itu, kata kemas kini itu, menurut Xinhua.