Kementerian Kesihatan Panama (MINSA) mengesahkan kematian kedua dikaitkan dengan gempa bumi bermagnitud 7.5 yang melanda pada 9 Oktober, susulan kematian seorang wanita berusia 60 tahun pada Khamis di wilayah Veraguas, lapor berita Anadolu memetik akhbar La Estrella de Panama.
MINSA mengesahkan kematian Regina Miranda, yang berada dalam keadaan koma selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala ketika proses pemindahan dari sebuah sekolah di Santiago de Veraguas.
Miranda sedang menjalankan tugas pentadbiran di sekolah Romulo Arrocha ketika gempa bumi itu berlaku. Dia terjatuh semasa cuba keluar dari bangunan dan mengalami trauma kepala yang teruk.
Dia telah dibawa ke Hospital Luis “Chicho” Fabrega untuk rawatan khusus pembedahan saraf, namun meninggal dunia walaupun pelbagai usaha perubatan telah dilakukan, menurut kenyataan kementerian dipetik oleh akhbar itu, lapor Anadolu.
Mangsa pertama ialah Elena Barria, 68, yang meninggal dunia pada 14 Oktober selepas sebuah dinding runtuh menghempapnya di rumahnya di Macaracas, wilayah Los Santos.
Gempa bumi itu menyebabkan kerosakan pada rumah, sekolah, kemudahan kesihatan, gereja, jalan raya, dan jambatan di wilayah barat dan tengah, iaitu Los Santos, Veraguas, Herrera, dan Cocle.
Menurut Sistem Perlindungan Awam Kebangsaan (SINAPROC), lebih daripada 35,000 orang telah direkodkan terjejas akibat bencana itu setakat 20 Oktober.
Pihak berkuasa melaporkan kerosakan pada 619 pusat pendidikan dan 120 kemudahan kesihatan.
Seramai 5,628 orang ditempatkan di 126 pusat perlindungan sementara, manakala pasukan bantuan kemanusiaan telah menyalurkan bantuan kepada 175 komuniti.
Menurut laporan, pusat gempa terletak 39 kilometer (24 batu) di barat laut Tonosi, sebuah pekan di bahagian barat daya wilayah Los Santos.