Sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin terkorban akibat serangan Israel di Jalur Gaza pada Sabtu, termasuk seorang yang meninggal dunia akibat kecederaan dialami pada Jumaat, menurut berita Xinhua memetik sumber perubatan Palestin dan tempatan.
Dalam kejadian terbaharu, sebuah dron Israel melancarkan peluru berpandu ke arah sekumpulan rakyat Palestin di barat bandar Gaza, menyebabkan letupan besar, lapor Xinhua memetik sumber tempatan.
Kawasan itu dipenuhi orang ramai pejalan kaki kerana ada restoran, kedai, institusi, dan khemah yang menempatkan penduduk kehilangan tempat tinggal, kata sumber berkenaan.
Menurut Xinhua, Kompleks Perubatan Al-Shifa berkata dalam satu kenyataan ringkas bahawa ia menerima mayat empat orang yang terbunuh dalam serangan itu serta enam lagi yang cedera, dengan sesetengahnya cedera sederhana atau serius.
Dalam kejadian berasingan, Mohammed Walid al-Nakhala, 44, terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sekumpulan rakyat Palestin dekat sebuah masjid di timur laut bandar Gaza, lapor Xinhua memetik sumber perubatan.
Sumber perubatan turut melaporkan Shahd Abdul-Razzaq al-Najjar, 8, terbunuh apabila sebuah dron Israel melepaskan tembakan ke arah khemah keluarganya di barat bandar Gaza.
Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, selatan Jalur Gaza, memaklumkan bahawa Mousa Abu Dan maut akibat kecederaan dialami dalam bedilan Israel pada Jumaat di kawasan Al-Mawasi, barat Khan Younis.