GLOBAL

  • 9 maut apabila ambulans terbakar di selatan Pakistan

    Sekurang-kurangnya sembilan orang maut dan beberapa yang lain cedera apabila sebuah silinder oksigen meletup di dalam sebuah ambulans di selatan Pakistan, lapor berita Anadolu memetik polis pada Khamis.

    Kejadian itu berlaku lewat malam Rabu di sebuah hospital tempatan di daerah Tharparkar, wilayah selatan Sindh, ketika kakitangan hospital menyediakan pesakit untuk dipindahkan.

    Mereka sedang menyambungkan silinder oksigen di dalam ambulans terbabit apabila ia meletup, menyebabkan kenderaan itu terbakar.

    Yang maut termasuk pesakit dan kakitangan hospital. Lima orang lagi mengalami kecederaan akibat lecur serius.

  • Angka maut nahas tren di Sepanyol meningkat kepada 69

    Angka maut akibat perlanggaran tren pada Rabu di wilayah Toledo, Sepanyol—terletak di selatan Madrid—meningkat kepada 69 orang, manakala lebih sedozen mangsa masih dirawat di hospital dalam keadaan kritikal, kata Emiliano Garcia-Page, presiden wilayah Sepanyol, Castilla-La Mancha, pada Khamis, lapor berita Xinhua.

    Garcia-Page berkata, satu lagi mayat telah ditemui di lokasi nahas, sambil menambah bahawa 50 orang yang cedera masih dirawat di hospital di Castilla-La Mancha, manakala 60 orang lagi telah dibenarkan pulang.

    Lima belas pesakit masih dikategorikan sebagai “kod merah” dengan empat daripadanya menunjukkan tanda-tanda pemulihan, katanya.

  • Sepanyol berkabung tiga hari susulan perlanggaran kereta api yang membawa maut

    Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, pada Rabu mengumumkan tempoh berkabung nasional selama tiga hari susulan perlanggaran antara dua tren berkelajuan tinggi di tengah Sepanyol yang mengorbankan sekurang-kurangnya 68 orang, menurut berita Xinhua.

    Berucap di pos arahan kecemasan dekat lokasi kejadian di wilayah Toledo, Sanchez berkata kerajaan akan menyiasat keadaan yang membawa kepada perlanggaran itu dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat unsur kecuaian atau kegagalan dalam sistem keselamatan kereta api.

    “Kami akan menyiasat perkara ini sehingga ke akar umbi,” tegas Sanchez, sambil menekankan bahawa sebarang kecuaian akan didedahkan dan sebarang kegagalan dalam sistem keselamatan akan ditangani dengan tegas.

    Sanchez berkata “seluruh Sepanyol sedang berkabung” susulan tragedi itu, sambil menekankan bahawa keutamaan segera kerajaan adalah untuk membantu mangsa dan keluarga mereka, menyelamatkan seramai mungkin mangsa yang terselamat, serta menyediakan sokongan perubatan dan psikologi kepada mereka terjejas.

    Sanchez turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, sambil mengatakan seluruh negara sedang berdukacita.

    Menurut Xinhua, perlanggaran itu berlaku pada pagi Rabu di wilayah Toledo, kira-kira 120 kilometer ke selatan Madrid, apabila sebuah tren berkelajuan tinggi milik Renfe melanggar sebuah tren Iryo yang sedang berhenti dari belakang di laluan kereta api Madrid-Seville.

    Menurut Emiliano Garcia-Page, presiden komuniti autonomi Castilla-La Mancha, angka korban meningkat kepada 68 orang, manakala berpuluh-puluh lagi mengalami kecederaan, lapor Xinhua.

  • 14 dilapor maut dalam serangan udara Saudi ke atas pasar, stesen minyak di Yaman

    Sekurang-kurangnya 14 orang maut dan 10 yang lain cedera dalam serangan udara Arab Saudi yang menghentam sebuah pasar dan stesen minyak di wilayah Al-Jawf, utara Yaman pada Rabu, lapor berita Xinhua memetik saluran televisyen al-Masirah dikendalikan oleh kumpulan Houthi.

    Saluran itu menyatakan beberapa serangan udara telah melanda sebuah pasar awam di Al-Hazm, ibu kota wilayah itu, manakala satu serangan berasingan menyasarkan stesen minyak Al-Tayseer yang terletak berhampiran, mengakibatkan korban di kedua-dua lokasi.

    Angka terkini ini meningkat daripada jumlah awal seramai 12 orang, dengan wanita dan kanak-kanak turut menjadi mangsa, lapor Xinhua memetik al-Masirah.

    Menurut Xinhua, angka korban ini tidak dapat disahkan secara bebas, dan tiada kenyataan segera daripada Arab Saudi berhubung laporan media Houthi itu.

  • 3 dilapor maut akibat Taufan Arnab di India

    Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan berpuluh-puluh rumah rosak apabila taufan kuat melanda pantai timur India pada Rabu, membawa hujan lebat dan angin kencang, lapor berita Xinhua memetik pihak berkuasa.

    Memetik Jabatan Meteorologi India, Xinhua melaporkan, ribut taufan kuat Arnab membadai negeri Andhra Pradesh di selatan India pada awal Rabu, dengan pusat ribut itu kemudian bergerak sepenuhnya ke kawasan pedalaman.

    Andhra Pradesh merupakan kawasan paling teruk terjejas, dengan tiga kematian dilaporkan, kata seorang pegawai kanan Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF) India, Narendra Singh Bundela, kepada pihak media, lapor Xinhua.

    Daripada tiga kematian itu, dua daripadanya berpunca daripada renjatan elektrik, menurut pegawai.

    Menurut Xinhua, taufan itu meninggalkan kesan kemusnahan, menumbangkan beberapa batang pokok dan tiang elektrik, yang mengakibatkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan ketika ia melintasi pantai Andhra Pradesh.

  • 5 dilapor maut dalam serangan tentera AS ke atas sebuah vesel di Pasifik Timur

    Tentera AS pada Selasa berkata, lima orang maut dalam satu serangan ke atas sebuah vesel di Pasifik Timur, siri terbaharu serangan yang Washington mengatakan menyasarkan “pengganas narko” namun pakar hak asasi manusia mengutuknya sebagai pembunuhan di luar proses undang-undang, lapor berita Reuters.

    Perintah Selatan AS berkata di X bahawa ia telah “melancarkan serangan kinetik membawa maut ke atas sebuah vesel laju yang beroperasi di laluan penyeludupan dadah yang lazim digunakan di Pasifik Timur.”

    Ia memetik apa yang ia sifatkan sebagai “perisikan yang disahkan” bagi mendakwa bahawa vesel terbabit terlibat secara aktif dalam penyeludupan dadah, tanpa memberikan perincian lanjut, menurut Reuters, ia berkata lima orang maut, dan melabelkan mereka sebagai “pengganas narko”.

  • Jordan akui kematian orang awam Syria dalam serangan yang didakwa sasar pelampau IS

    Jordan pada Selasa berkata serangan udaranya di Syria telah mengorbankan kira-kira 20 militan kumpulan pelampau Islamic State (IS), tetapi turut mengakui bahawa terdapat orang awam terkorban dalam serangan terbabit, lapor berita AP.

    Menurut AP, tentera udara negara itu melancarkan serangan udara di Syria pada petang Isnin sebagai tindak balas terhadap serangan minggu lalu ke atas satu upacara pengebumian di sebuah Gereja Ortodoks Greek di bandar Karak, selatan Jordan, yang mengorbankan sembilan orang.

    Terdahulu pada hari yang sama, Jordan mengumumkan penahanan tiga lelaki bersenjata, namun tidak mendedahkan kaitan mereka dengan mana-mana kumpulan, lapor AP.

    Angka yang diberikan dalam kenyataan oleh jurucakap kerajaan Jordan, Mohammad al-Momani, berbeza dengan laporan daripada pihak tindak balas pertama di Syria.

    Pertahanan awam Syria berkata, mereka hanya menemui mayat tujuh orang awam yang terkorban dalam serangan Jordan di wilayah Daraa dan Sweida di bahagian selatan, lapor AP, lima daripada mangsa adalah satu keluarga, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang wanita; manakala dua lelaki yang terkorban adalah warga emas.

    Kerajaan Syria dilapor berkata, serangan itu dijalankan tanpa sebarang penyelarasan atau pemberitahuan awal.

    Menurut AP, Kementerian Luar Syria dalam satu kenyataan mengutuk serangan itu, menyifatkannya sebagai “pelanggaran dan pencerobohan yang tidak boleh diterima” terhadap ruang udara Syria, namun turut berkata kepimpinan kedua-dua negara akan memperkukuh penyelarasan keselamatan bagi “menghalang sebarang usaha untuk menggugat kestabilan keselamatan kedua-dua negara serta mengelakkan pertumpahan darah rakyatnya.”

    Al-Momani berkata, serangan itu dilakukan berdasarkan risikan mengenai “ancaman yang disahkan serta tindakan pengganas dirancang terhadap Jordan” dan melahirkan rasa kesal atas kematian orang awam.

  • 5 maut dalam serangan udara Jordan di selatan Syria

    Lima orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, maut dalam serangan udara Jordan yang menyasarkan beberapa lokasi di wilayah Daraa, selatan Syria pada petang Isnin, menurut berita Xinhua yang memetik laporan agensi berita kerajaan Syria, SANA, memetik kenyataan ketua direktorat kesihatan wilayah.

  • Gempa bumi 5.1 magnitud landa kawasan dekat pantai Australia Selatan

    Gempa bumi bermagnitud 5.1 menggegarkan kawasan dekat pantai Australia Selatan pada 2118 GMT Isnin, menurut Pusat Penyelidikan Geosains Jerman (GFZ), lapor berita Xinhua.

    Pusat gempa, terletak pada kedalaman 10 km, dikenal pasti pada kedudukan 36.48 darjah latitud selatan dan 138.53 darjah longitud timur.

  • Kanak-kanak perempuan antara 4 rakyat Palestin maut dalam serangan Israel di Gaza

    Empat rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun, maut manakala 14 yang lain cedera dalam serangan oleh tentera Israel dan lelaki-lelaki bersenjata yang disokong Israel di Jalur Gaza pada Isnin, menurut berita Anadolu memetik sumber perubatan.

    Sumber di Hospital Nasser di selatan Gaza memberitahu Anadolu bahawa mayat dua pemuda dan seorang kanak-kanak perempuan telah dibawa ke hospital itu susulan serangan udara dan tembakan di kawasan Bir 19, barat Khan Younis.

    Menurut saksi, lapor Anadolu, sebuah dron Israel melancarkan beberapa serangan ke atas Bir 19, kawasan menempatkan khemah-khemah untuk rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal, menyebabkan seorang pemuda maut dan empat yang lain cedera sederhana.

    Kenderaan tentera Israel turut melepaskan tembakan berat ke arah khemah-khemah pelarian, sementara lelaki-lelaki bersenjata disokong Israel melepaskan tembakan di kawasan sekitarnya, membunuh seorang lagi pemuda dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun, yang ditembak ketika berada di dalam khemahnya, saksi terbabit menambah, menurut Anadolu.

    Sumber dilapor berkata, seorang lagi lelaki Palestin mautdan empat yang lain cedera dalam satu serangan Israel di barat Khan Younis.

    Menurut Anadolu, sumber tempatan melaporkan sebuah dron Israel menyerang sebuah khemah yang menempatkan rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal di kawasan Al-Mawasi, barat Khan Younis.

    Artileri Israel juga membedil kawasan di timur Khan Younis, manakala kenderaan tentera yang ditempatkan di sebelah timur bandar itu melepaskan tembakan berat.

    Di tengah Gaza, seorang wanita Palestin mengalami kecederaan sederhana akibat tembakan Israel di kawasan Ard al-Shawa, timur Deir al-Balah, lapor Anadolu memetik satu lagi sumber perubatan.