CAPE VERDE 0 – 0 SAUDI ARABIA
GLOBAL
-
Pengawal Revolusi Iran dilapor sasar kedudukan AS sebagai tindak balas terhadap serangan
Pengawal Revolusi Iran pada Sabtu berkata ia menyasarkan kedudukan tentera AS di rantau itu, sebagai tindak balas terhadap serangan baharu AS terhadap Iran, menurut berita Reuters.
Pengawal tidak memberikan butiran mengenai kedudukan AS yang disasarkan.
Menurut Reuters, kenyataan IRGC itu dikeluarkan selepas agensi berita separa rasmi ISNA menyiarkan kenyataan terdahulu yang dikatakannya daripada IRGC mengatakan tindak balas pasukan itu terhadap serangan baharu AS terhadap Iran akan “pantas dan tegas” sebelum kemudian memadamkan kenyataan itu.
-
Letupan dilapor kedengaran selepas projektil landa kawasan pantai di selatan Iran
Letupan kedengaran pada malam Jumaat di selatan Daerah Sirik Iran, wilayah Hormozgan, selepas projektil melanda kawasan di kampung pantai Tahrui, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi berita IRIB dikendalikan oleh kerajaan, memetik sumber tentera.
-
Gempa magnitud 4.7 landa pantai utara Venezuela
Gempa bumi dengan magnitud 4.7 melanda pantai utara Venezuela pada Jumaat, lapor berita Xinhua memetik Pusat Seismologi Euro-Mediterranean (EMSC), dua hari selepas dua gempa bumi dahsyat melanda wilayah utara dan tengah negara itu.
Gempa bumi itu direkodkan pada 2216 GMT.
-
Tentera AS dilapor serang Iran
Tentera AS melancarkan serangan terhadap Iran pada Jumaat, kata Perintah Pusat dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa pesawat AS menyerang lokasi penyimpanan peluru berpandu dan dron Iran serta tapak radar pantai selepas serangan Tehran ke atas sebuah kapal komersial di Selat Hormuz, menurut berita Reuters.
-
Angka maut gempa Venezuela meningkat kepada sekurang-kurangnya 920 orang
Angka maut akibat bencana itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 920 orang dan lebih 51,000 orang hilang, menurut berita AP.
Gempa bumi dahsyat itu berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud, melanda lewat Rabu.
-
Pesawat kecil dilapor terhempas ke bangunan tertinggi di Beijing
Sebuah pesawat kecil terhempas ke bangunan tertinggi di Beijing pada Jumaat, menurut berita AP memetik penyedia perkhidmatan pengesanan penerbangan global Flightradar24 mengesahkan, susulan laporan saksi dan pemindahan di daerah perniagaan bandar itu.
Menurut AP, dalam catatan media sosial, Flightradar24 menyiarkan laluan penerbangan pesawat, Sunward SA 60L Aurora, yang berlepas dari lapangan terbang kira-kira 50 kilometer (30 batu) di timur Beijing. Ia menuju ke barat dan berakhir di sebelah timur East Third Ring Road sejurus sebelum jam 6 petang waktu tempatan.
Penyedia data penerbangan itu berkata pesawat itu terhempas di Menara CITIC, juga dikenali sebagai China Zun, yang menjulang lebih daripada 1,700 kaki (528 meter), di sebelah timur jalan lingkaran utama dalam gugusan bangunan pencakar langit, menurut AP.Menara CITIC setinggi 108 tingkat, berbentuk seperti bekas wain Cina purba, merupakan satu daripada bangunan pencakar langit yang paling dikenali di Beijing.
Tidak diketahui dengan segera punca nahas di bandar yang mempunyai kawalan ruang udara yang ketat itu, termasuk larangan dron baru-baru ini. Maklumat mengenai juruterbang juga tidak tersedia dengan segera, lapor AP, tiada maklumat segera sama ada terdapat sebarang mangsa di darat.