Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin, termasuk tiga kanak-kanak, maut pada petang Ahad apabila sebuah tebing pasir runtuh menghempap khemah menempatkan keluarga terlantar di Deir al-Balah, tengah Gaza, kata pegawai Palestin — menurut berita Xinhua.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal, berkata tebing itu runtuh menghempap khemah di sebuah pusat perlindungan akibat hujan lebat.
Katanya, kejadian runtuhan itu mengorbankan lima orang, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang wanita serta menyebabkan beberapa orang lain cedera, dengan sesetengahnya parah.
Insiden itu berlaku sehari selepas kira-kira 70,000 khemah yang menempatkan keluarga terlantar dilanda banjir akibat hujan, susulan cuaca tekanan rendah melanda Jalur Gaza, sekali gus memburukkan lagi keadaan hidup yang sememangnya sudah sukar.
