Tiga orang maut dan sekurang-kurangnya tiga yang lain parah apabila sebuah kenderaan dilaporkan melanggar pejalan kaki di kawasan kejiranan North Hollywood, menurut Jabatan Bomba Los Angeles dalam laman web rasminya pada Selasa — lapor berita Xinhua.
GLOBAL
-
Argentina sebagai organisasi pengganas
Iran mengisytiharkan Tentera Laut dan Tentera Udara Argentina sebagai organisasi pengganas, umum Kementerian Luar Iran pada Rabu — lapor berita Xinhua.
Langkah itu diambil sebagai tindak balas terhadap keputusan Argentina pada April untuk mengisytiharkan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran sebagai organisasi pengganas.
-
Kebanyakan rakyat Britain anggap Israel sebagai ‘ancaman serius’ kepada keamanan dunia — Tinjauan
Kira-kira 78% rakyat Britain kini menganggap Israel sebagai ancaman serius kepada keamanan dunia, meningkat daripada 48% pada 2005, menurut satu tinjauan diterbitkan dalam laporan British Social Attitudes National Centre for Social Research (NatCen) — lapor berita Anadolu.
Angka ini melebihi peratusan responden yang menganggap Iran (75%) dan Amerika Syarikat (74%) sebagai ancaman serius, menurut laporan bertajuk “A More Dangerous World: British Attitudes to Security, Defense and International Alliances” (Dunia yang Lebih Berbahaya: Sikap Rakyat Britain terhadap Keselamatan, Pertahanan, dan Pakatan Antarabangsa) yang diterbitkan minggu lalu.
“Reputasi Israel juga nampaknya terjejas akibat penglibatannya dalam konflik di Timur Tengah baru-baru ini,” menurut laporan itu.
Penyokong Parti Hijau (Green Party) merupakan kumpulan yang paling cenderung menganggap Israel sebagai ancaman serius, iaitu sebanyak 88%, diikuti oleh penyokong Parti Buruh (Labour) sebanyak 84%, Liberal Demokrat sebanyak 79%, Konservatif sebanyak 70%, dan penyokong Reform UK sebanyak 62%.
-

IRGC Iran dedah ‘bandar peluru berpandu’ strategik baharu
Pasukan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mendedahkan sebuah ‘bandar peluru berpandu’ baharu pada Selasa, 10 November, yang mempamerkan pelbagai peluru berpandu canggih, lapor berita IRNA.
Ketua Staf Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Ali Abdollahi, menghadiri acara itu dan semasa lawatan itu, beliau mendedahkan senjata-senjata baharu serta sejenis peluru berpandu canggih yang tidak dijangka.
Dalam lawatan itu, pegawai kanan tentera itu berkata: Peluru berpandu canggih ini akan mengejutkan musuh di medan perang.
Beliau juga meninjau pencapaian terkini serta kesiapsiagaan tempur Pasukan Aeroangkasa IRGC.
-
Iran tolak dakwaan Perancis mengenai serangan siber sebagai tidak berasas
Kementerian Luar Iran menolak dakwaan kerajaan Perancis bahawa Tehran terlibat dalam serangan siber yang menyasarkan rangkaian peruncitan di Perancis, sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan bermotifkan politik, lapor berita Mehr.
Menurut Mehr, Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Selasa, mengecam keras tuduhan terbaharu oleh pegawai Perancis yang mengaitkan Iran dengan dakwaan aktiviti siber di negara itu.
Kenyataan itu menyatakan bahawa tuduhan terbaharu itu merupakan sebahagian daripada siri dakwaan berulang yang bertujuan mengalihkan perhatian orang ramai daripada dasar merosakkan Perancis terhadap Iran dan rantau Asia Barat, khususnya tindakan Perancis yang telah berdekad-dekad melindungi kumpulan pengganas serta menyokong genosid terhadap rakyat Palestin, lapor Mehr.
Menurut Mehr, Kementerian Luar Iran menyifatkan langkah itu sebagai percubaan tidak bertanggungjawab untuk mencemarkan imej negara dan menjejaskan hubungannya dengan negara-negara lain, sambil menambah, tindakan itu hanya menguntungkan AS dan Israel, yang ia gambarkan sebagai pelanggar utama undang-undang antarabangsa.
Menurut Mehr, kenyataan itu turut menyifatkan tuduhan Perancis sebagai satu percubaan untuk mengalihkan perhatian daripada kelemahan dalaman negara itu sendiri, termasuk kegagalan dalam tadbir urus, ketidakupayaan menangani tuntutan awam serta kelemahan dalam sistem pentadbiran dan infrastruktur negara terbabit.
-
Kita harus bantu mereka kerana mereka adalah manusia — Senator AS
Senator AS, Brian Schatz, pada Selasa menggesa Israel supaya segera membenarkan peralatan menyelamat, bahan binaan dan bekalan musim sejuk dibawa masuk ke Gaza, susulan banjir yang meragut nyawa dan menjejaskan ribuan rakyat Palestin, lapor berita Anadolu.
Berucap di Dewan Senat, Schatz berkata, hujan lebat sepanjang hujung minggu telah menyebabkan banjir yang menenggelamkan lebih 70,000 khemah di Gaza, mengakibatkan empat orang terkorban, membabitkan tiga kanak-kanak dan seorang wanita.
“Hampir semua orang di kawasan itu memerlukan bantuan. Ini merupakan satu kecemasan kemanusiaan yang sedang berlaku di depan mata dan sekatan berterusan oleh kerajaan Israel terhadap bekalan bahan api serta kemusnahan peralatan telah menyukarkan lagi usaha menyalurkan bantuan kepada penduduk. Ini bukan tuduhan yang bersifat partisan,” kata Schatz.
Beliau turut memetik kritikan daripada ‘Board of Peace’ (Lembaga Keamanan) di bawah presiden AS Donald Trump, yang menyifatkan respons kerajaan Israel sebagai “tidak mencukupi”.
Menurut Schatz, lembaga itu juga menyatakan bahawa kelewatan yang berlaku telah memburukkan lagi kesan krisis kemanusiaan yang sebenarnya boleh dijangka.
“Musim sejuk baru sahaja bermula di Gaza, dan keadaan akan menjadi lebih teruk jika tiada tindakan segera diambil. Kerajaan Israel mesti segera membenarkan peralatan menyelamat, bahan binaan, dan bekalan musim sejuk dibawa masuk ke Gaza,” tegas senator itu.
Schatz menekankan bahawa perbezaan pendapat mengenai konflik Israel-Palestin yang lebih luas tidak seharusnya menghalang usaha untuk menangani penderitaan dialami orang awam pada masa ini.
Beliau mengetengahkan nasib kanak-kanak yang terdedah kepada suhu yang sangat sejuk, serta keluarga yang tempat perlindungan mereka telah rosak akibat hujan lebat.
“Kita tidak perlu bersetuju dalam segala perkara lain sebelum kita membantu mereka. Kita harus membantu mereka kerana mereka adalah manusia,” katanya.
-
Pasukan pengaman PBB diserang di selatan Lubnan
Satu rondaan pasukan pengaman PBB diserang pada petang Selasa dekat Wadi Jilu di selatan Lubnan, menurut Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL), lapor berita Anadolu.
Kira-kira sedozen das tembakan dilepaskan ke arah anggota pengaman yang sedang menjalankan tugas rondaan rutin, kata misi itu dalam satu kenyataan.
Anggota pengaman itu mengesan kilatan tembakan dan membalas serangan itu, yang kemudiannya menyebabkan tembakan terhenti, menurut UNIFIL.
Tiada anggota pengaman yang cedera dalam kejadian itu, tambah misi itu.
“Serangan sengaja terhadap anggota pengaman merupakan pelanggaran resolusi Majlis Keselamatan 1701 dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata UNIFIL.
Misi itu menggesa kerajaan Lubnan supaya segera melancarkan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan memastikan mereka dipertanggungjawabkan.
-
Kebakaran dilapor di pelantar gas South Pars, Iran
Satu kebakaran berlaku di pelantar SPD14D milik Iran di medan gas South Pars pada Selasa, menyebabkan pihak berkuasa memindahkan semua kakitangan sebagai langkah berjaga-jaga, lapor berita Anadolu memetik media Iran.
Syarikat Minyak dan Gas Pars dilapor berkata, pasukan operasi dan keselamatan telah berjaya mengawal kebakaran di satu daripada pelantar gas di Fasa 14 South Pars.
Menurut Anadolu memetik agensi berita separa rasmi Fars, timbalan menteri minyak berkata sebelum itu bahawa pelantar terbabit telah dikosongkan sepenuhnya bagi menjamin keselamatan jurutera yang bertugas di kemudahan berkenaan.
Pegawai terbabit berkata, keadaan kini terkawal dan pihak berkuasa sedang menyiasat punca kebakaran, dengan kebocoran gas atau insiden operasi antara kemungkinan yang sedang diteliti.
Menurut timbalan menteri minyak itu, pelantar SPD14D menyumbang sebanyak 14.5 juta meter padu kepada jumlah pengeluaran gas South Pars yang melebihi 700 juta meter padu.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
South Pars, yang terletak di Teluk, medan gas asli terbesar di Iran dan sumber utama bekalan gas domestik. Medan ini dikongsi bersama Qatar, yang mengenalinya sebagai ‘North Field’ (Medan Utara).
-
2 calon ditembak mati beberapa hari sebelum pilihan raya tempatan di Ecuador
Dua calon dalam pilihan raya tempatan Ecuador yang dijadualkan pada 29 November ditembak mati dalam satu serangan bersenjata pada malam Isnin di Huaquillas, wilayah pesisir selatan El Oro, yang turut didakwa mengorbankan seorang wanita, lapor media tempatan pada Selasa, memetik laporan Polis Nasional — menurut berita Xinhua.
Mangsa dikenal pasti sebagai Ronald Farfan, bekas datuk bandar Huaquillas yang berusaha untuk mendapatkan semula jawatan itu dan Cristhian Rugel, calon ahli majlis bandar raya di kawasan yang sama.
Menurut Polis Nasional, serangan itu berlaku di kawasan kejiranan Los Israelitas, tempat kedua-dua calon terbabit sedang menghadiri satu perhimpunan politik bersama penyokong menjelang pilihan raya.
Polis sedang menyiasat beberapa kemungkinan motif serangan itu, termasuk ancaman dan pemerasan oleh kumpulan penjenayah.
Berdasarkan angka rasmi yang dipetik oleh media tempatan, El Oro telah mencatatkan hampir 1,000 kes pembunuhan setakat ini pada 2026, iaitu kira-kira 50 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Penduduk Ecuador akan mengundi pada 29 November untuk memilih ketua wilayah (prefect) dan timbalan ketua wilayah, datuk bandar, ahli majlis bandar raya bagi kawasan bandar dan luar bandar, serta anggota lembaga paroki luar bandar.
-
16 maut, 13 cedera dalam letupan di kilang keluli di barat Turkiye
Sekurang-kurangnya 16 orang terkorban dan 13 yang lain cedera, termasuk dua daripadanya parah, dalam satu letupan di sebuah kilang keluli di barat Turkiye pada Isnin, kata presiden Turkiye — lapor berita Anadolu.
Bercakap selepas mesyuarat Kabinet di Kompleks Presiden di Ankara, Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata, siasatan kehakiman dan pentadbiran telah dimulakan bagi mengenal pasti punca letupan di daerah Aliaga, Izmir serta pihak yang bertanggungjawab.
“Siasatan telah dimulakan berhubung letupan ini, baik dari sudut kehakiman mahupun pentadbiran. Punca dan keadaan yang membawa kepada insiden tragis ini, yang telah menyedihkan seluruh negara kita, serta sebarang unsur kecuaian dan pihak yang bertanggungjawab akan dikenal pasti,” kata Erdogan.
Gabenor Izmir, Suleyman Elban, berkata letupan itu berlaku pada kira-kira jam 11.46 pagi waktu tempatan (0846 GMT) di Kilang Besi dan Keluli HABAS, semasa kerja penggantian relau dijalankan.
Elban berkata, sebuah kren siling telah runtuh, menyebabkan pelbagai bahan terjatuh ke dalam relau arka elektrik, sekali gus mencetuskan letupan selepas merosakkan saluran gas asli.
