Kita harus bantu mereka kerana mereka adalah manusia — Senator AS

Senator AS, Brian Schatz, pada Selasa menggesa Israel supaya segera membenarkan peralatan menyelamat, bahan binaan dan bekalan musim sejuk dibawa masuk ke Gaza, susulan banjir yang meragut nyawa dan menjejaskan ribuan rakyat Palestin, lapor berita Anadolu.

Berucap di Dewan Senat, Schatz berkata, hujan lebat sepanjang hujung minggu telah menyebabkan banjir yang menenggelamkan lebih 70,000 khemah di Gaza, mengakibatkan empat orang terkorban, membabitkan tiga kanak-kanak dan seorang wanita.

“Hampir semua orang di kawasan itu memerlukan bantuan. Ini merupakan satu kecemasan kemanusiaan yang sedang berlaku di depan mata dan sekatan berterusan oleh kerajaan Israel terhadap bekalan bahan api serta kemusnahan peralatan telah menyukarkan lagi usaha menyalurkan bantuan kepada penduduk. Ini bukan tuduhan yang bersifat partisan,” kata Schatz.

Beliau turut memetik kritikan daripada ‘Board of Peace’ (Lembaga Keamanan) di bawah presiden AS Donald Trump, yang menyifatkan respons kerajaan Israel sebagai “tidak mencukupi”.

Menurut Schatz, lembaga itu juga menyatakan bahawa kelewatan yang berlaku telah memburukkan lagi kesan krisis kemanusiaan yang sebenarnya boleh dijangka.

“Musim sejuk baru sahaja bermula di Gaza, dan keadaan akan menjadi lebih teruk jika tiada tindakan segera diambil. Kerajaan Israel mesti segera membenarkan peralatan menyelamat, bahan binaan, dan bekalan musim sejuk dibawa masuk ke Gaza,” tegas senator itu.

Schatz menekankan bahawa perbezaan pendapat mengenai konflik Israel-Palestin yang lebih luas tidak seharusnya menghalang usaha untuk menangani penderitaan dialami orang awam pada masa ini.

Beliau mengetengahkan nasib kanak-kanak yang terdedah kepada suhu yang sangat sejuk, serta keluarga yang tempat perlindungan mereka telah rosak akibat hujan lebat.

“Kita tidak perlu bersetuju dalam segala perkara lain sebelum kita membantu mereka. Kita harus membantu mereka kerana mereka adalah manusia,” katanya.