GLOBAL

  • Amaran merah peringkat tinggi untuk banjir kilat di Anhui dan Hubei

    Kementerian Sumber Air China dan Pentadbiran Meteorologi China bersama-sama mengeluarkan amaran merah peringkat tertinggi untuk banjir kilat pada Ahad di tengah-tengah hujan lebat di seluruh wilayah tengah dan timur negara itu, lapor berita Xinhua.

    Pihak berkuasa memberi amaran, sebahagian wilayah barat Anhui dan timur Hubei menghadapi risiko banjir gunung secara tiba-tiba yang sangat tinggi dari jam 8 malam Ahad hingga 8 malam Isnin.

    Amaran jingga, tahap kedua tertinggi, juga diisytiharkan untuk sebahagian Zhejiang, Anhui, Jiangxi, dan Hubei.

    Kerajaan tempatan telah diarahkan untuk menjalankan pemantauan masa nyata dan pemindahan proaktif bagi mereka terjejas.

  • 16 militan, 2 polis, 2 militia dilapor maut dalam operasi keselamatan di Khyber Pakhtunkhwa

    Sekurang-kurangnya 16 militan, dua anggota polis dan dua anggota militia terbunuh, manakala beberapa yang lain, termasuk orang awam, cedera semasa operasi keselamatan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa di barat laut Pakistan, kata sumber polis pada Ahad, menurut Xinhua.

    Polis dan pasukan keselamatan melancarkan operasi mencari dan menyerang susulan laporan mengenai kehadiran militan di daerah Bannu pada Sabtu, lapor Xinhua memetik sumber.

    Sebuah militia keamanan tempatan turut menyertai operasi itu. Dua anggota militia terbunuh dan tiga lagi cedera apabila militan menjalankan serangan dron semasa pertempuran itu, Xinhua memetik sumber itu.

    Lapan anggota polis juga cedera dalam serangan itu dan dipindahkan ke hospital berdekatan untuk rawatan.

    Operasi mencari untuk mengesan militan di kawasan itu berterusan sehingga pagi Ahad, menurut sumber itu.

    Militan terbabit dilaporkan berasal dari Tehreek-i-Taliban Pakistan yang diharamkan dan menggunakan senjata canggih dalam serangan itu, lapor Xinhua memetik sumber itu.

  • 28 maut dalam runtuhan lombong di Bengo Angola

    Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh pada Sabtu dalam kejadian tanah runtuh di lombong emas haram di perbandaran Nambuangongo, wilayah Bengo utara Angola, kata pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, jurucakap polis Gaspar Luis Inacio berkata, 13 daripada mangsa adalah ahli keluarga sama, sambil menambah bahawa dua orang masih hilang.

    Francisco Rodrigues, penyelia kesihatan di Hospital Pusat Bengo, dilapor berkata sekurang-kurangnya tiga orang yang cedera menerima rawatan di hospital.

  • Angka maut akibat serangan Israel ke atas Lubnan meningkat

    Sejak 2 Mac lalu, serangan udara Israel di Lubnan telah membunuh 3,151 orang dan mencederakan 9,571 orang, lapor Al Jazeera memetik Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Agensi Berita Nasiona (NNA).

    Orang yang terkorban termasuk 123 petugas perubatan, sekurang-kurangnya 210 kanak-kanak dan hampir 300 wanita, menurut statistik dikongsi oleh pegawai kesihatan, lapor Al Jazeera.

  • Bahrain penjarakan 9 seumur hidup kerana kaitan dengan IRGC

    Sebuah mahkamah Bahrain menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada sembilan orang dan dua orang lagi kepada tiga tahun penjara kerana bekerjasama dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran untuk menjalankan “tindakan bermusuhan dan pengganas” terhadap Bahrain, lapor Al Jazeera memetik agensi berita negara itu.

    Defendan terbabit dalam mengumpul maklumat di tapak sensitif dan memudahkan pemindahan kewangan berkaitan, Al Jazeera memetik laporan itu.

  • Iran tembak jatuh dron pengintip Israel di wilayah Hormozgan

    Tentera Iran menembak jatuh sebuah dron pengawasan Israel di wilayah Hormozgan, lapor Al Jazeera memetik agensi berita Mehr Iran.

    Serpihan dron Orbiter yang berkecai ditemui dengan kerjasama pasukan tentera laut Iran, Al Jazeera memetik Mehr.

  • Iran gantung lelaki kerana mengintip semasa perang dengan AS dan Israel

    Iran telah menghukum mati seorang atas tuduhan berkaitan dengan menghantar maklumat kepada AS dan Israel semasa perang, kata agensi berita Mizan badan kehakiman Iran, lapor berita Al Jazeera.

    Individu terbabit, yang dikenal pasti sebagai Mojtaba Kian, telah menghantar data mengenai industri pertahanan Iran kepada “musuh”, Al Jazeera memetik laporan agensi berita itu.

  • 3 sekeluarga terbunuh dalam serangan Israel di tengah Gaza

    Sekurang-kurangnya tiga orang, termasuk seorang berusia satu tahun, terbunuh dan beberapa orang cedera dalam serangan udara Israel ke atas kem pelarian Nuseirat di tengah Jalur Gaza, lapor Al Jazeera memetik agensi berita Palestin WAFA.

    Menurutnya, pegawai perubatan memberitahu WAFA, Mohammad Ibrahim Abu Mlaweh, 38; isterinya, Alaa Majdi Zaqlan, 36; dan anak lelaki mereka yang berusia satu tahun, Osama, terbunuh apabila pesawat Israel mengebom sebuah apartmen di kem itu.

  • Tiada keputusan boleh dibuat tanpa pemimpin tertinggi Iran – Pezeshkian

    Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata tiada keputusan mengenai perjanjian AS-Iran akan dibuat tanpa kebenaran Pemimpin Tertinggi Mojtaba Khamenei, lapor berita Al Jazeera.

    “Sebarang kenyataan, analisis atau pendirian yang membawa kepada perpecahan dalam masyarakat, sebenarnya, adalah untuk memburukkan lagi kerosakan musuh,” Pezeshkian dipetik sebagai berkata oleh Agensi Berita Tasnim, menurut Al Jazeera.

    “Tiada keputusan di negara ini akan dibuat di luar kerangka Majlis Keselamatan Negara Tertinggi dan tanpa kebenaran pemimpin tertinggi. Pentadbiran negara memerlukan satu keputusan dan kepatuhan kolektif,” katanya.

  • Iran ‘penaja keganasan utama dunia’ – Rubio

    Diplomat tertinggi AS menuduh Iran menaja ‘keganasan’ di seluruh dunia, menurut berita Al Jazeera.

    “Tiada negara di bumi ini yang menaja lebih banyak keganasan daripada Iran,” kata Rubio pada sidang akhbar di New Delhi, menurut Al Jazeera.

    Dia menyatakan bahawa Tehran tidak membelanjakan wang untuk membina jalan raya dan meningkatkan kehidupan rakyatnya tetapi sebaliknya melabur dalam menaja Hizbullah dan Hamas.

    Hizbullah dan Hamas adalah sebahagian daripada “paksi penentangan” Iran, rangkaian kumpulan bersenjata dan politik di seluruh Timur Tengah yang bersekutu dengan Iran menentang Israel, menurut Al Jazeera.

    “Penaja keganasan utama dunia ialah Iran. Lihat apa yang mereka lakukan sekarang. Mereka menahan kapal awam sebagai tebusan. … Mereka telah meletakkan ranjau di laluan air antarabangsa,” katanya.