Parti Demokrat bakal menguasai sekurang-kurangnya 51 kerusi dalam Senat AS susulan pilihan raya pertengahan penggal, sekali gus memberikan mereka kawalan ke atas dewan atasan itu, lapor berita Tass memetik anggaran oleh Bloomberg.
GLOBAL
-
Menteri Pengangkutan Sepanyol umum peletakan jawatan selepas nahas tren
Menteri Pengangkutan Sepanyol, Oscar Puente, pada Selasa mengumumkan peletakan jawatannya susulan kemalangan kereta api berkelajuan tinggi di Toledo minggu lalu yang mengorbankan 69 nyawa dan mencederakan kira-kira 200 orang lain, menurut berita Anadolu memetik laporan akhbar El Pais.
“Seorang Menteri Pengangkutan di negara seperti Sepanyol tidak wajar terus memegang jawatannya selepas berlaku dua kemalangan dalam tempoh kurang setahun; ini demi maruah diri,” kata Puente kepada Jawatankuasa Tetap Kongres.
“Oleh itu, keputusan saya ini adalah satu keputusan yang didasari oleh maruah politik, dan ia harus dilihat sedemikian rupa,” katanya.
Puente berkata pada mulanya dia bercadang untuk menunggu dapatan awal siasatan sebelum mengumumkan peletakan jawatannya.
Dia turut mengesahkan bahawa dia tidak akan bertanding sebagai calon utama bagi Parti Pekerja Sosialis Sepanyol di Valladolid dalam pilihan raya pada 29 November nanti.
Dalam ucapannya, Puente mempertahankan rekod kerajaan berhubung infrastruktur kereta api, sambil menolak dakwaan bahawa laluan kereta api berkelajuan tinggi Madrid-Seville telah diabaikan.
Dia berkata, kerajaan telah melancarkan pelan pemodenan bernilai €780 juta ($873 juta) bagi laluan terbabit, sekali gus menegaskan bahawa infrastruktur itu tidak pernah ditinggalkan mahupun dilupakan.
Kemalangan pada 28 Oktober itu berlaku apabila sebuah tren berkelajuan tinggi milik Renfe melanggar belakang sebuah tren Iryo yang sedang berhenti dekat Urda, di wilayah Toledo.
Puente berkata, kegagalan pada sistem perlindungan kereta api automatik telah menyebabkan kereta api terhenti, sebelum seorang pengawal memberi kebenaran kepada kereta api Renfe itu untuk meneruskan perjalanan pada kelajuan biasa.
Pada Januari, satu lagi kemalangan di laluan berkelajuan tinggi yang sama, yang menghubungkan Madrid dan Seville, mengorbankan 46 orang.
-
Kapal tangki dihentam projektil di luar pesisir Oman — UKMTO
Sebuah kapal tangki dilanda oleh dua projektil tidak dikenal pasti di bahagian bilik enjinnya di timur laut Lima, Oman, pada Selasa, lapor berita Xinhua memetik United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO).
Insiden itu berlaku pada 19:00 GMT, kira-kira 14 batu nautika (26 km) di timur laut Lima, berdasarkan laporan yang diterima oleh UKMTO daripada pegawai keselamatan syarikat kapal tangki terbabit.
Tiada kemalangan jiwa atau kesan terhadap alam sekitar dilaporkan.
-
1 maut, 1 cedera dalam perlanggaran helikopter di timur laut Nepal
Seorang warga asing maut manakala seorang lagi cedera selepas dua helikopter berlanggar semasa mendarat di sebuah tapak pendaratan helikopter di daerah Solukhumbu, timur laut Nepal, pada Selasa, lapor berita Xinhua.
Helikopter terbabit, yang masing-masing dikendalikan oleh Fishtail Air dan Air Dynasty, berlanggar di tapak pendaratan itu pada kira-kira 8:15 pagi waktu tempatan, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal (CAAN).
Pihak berkuasa menerima maklumat bahawa bilah rotor kedua-dua helikopter itu berlanggar antara satu sama lain semasa proses pendaratan, kata Gyanendra Bhul, pegawai maklumat di CAAN, kepada Xinhua.
Menurutnya, CAAN sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mendapatkan perincian tambahan mengenai kejadian terbabit.
-
AS serang Pulau Qeshm Iran dekat Selat Hormuz
Amerika Syarikat (AS) menyerang Pulau Qeshm Iran yang strategik, di Selat Hormuz, pada Isnin, menurut berita Xinhua memetik laporan The Wall Street Journal yang memetik pegawai AS.
Serangan itu yang terkini dalam “siri serangan terhad yang dijalankan secara rahsia oleh Washington terhadap negara itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pada masa yang sama Presiden Trump menguar-uarkan kemungkinan tercapainya satu perjanjian diplomatik,” menurut laporan itu, lapor Xinhua.
AS telah melancarkan serangan berskala lebih kecil terhadap Iran untuk beberapa minggu lalu, dengan laporan mengenai letupan di sekitar Pulau Qeshm muncul di media sosial pada Isnin, menurut laporan itu.
Sesetengah pegawai AS menyifatkan serangan itu sebagai operasi pertahanan bertujuan menghalang Iran daripada menyerang kapal komersial secara bebas di Selat Hormuz.
Berbeza dengan peringkat awal konflik, AS tidak mengumumkan serangan itu secara terbuka, menurut laporan itu.
Washington sengaja merahsiakan kempen ini bagi mengelak daripada memberi isyarat bahawa mereka berhasrat untuk menyambung semula operasi tempur berskala besar, kata seorang pegawai AS seperti yang dipetik, lapor Xinhua.
-
2 maut nahas pesawat ringan Mexico
Dua orang maut pada Isnin apabila sebuah pesawat Cessna terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Nasional Pachuca di negeri Hidalgo, tengah Mexico, lapor Anadolu memetik Agensi Penerbangan Awam Persekutuan (AFAC) Mexico.
Pesawat Cessna 210 itu, yang dikendalikan oleh Grupo Aeroespacial Avspace, berlepas pada 9.30 pagi waktu tempatan (1530GMT) menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Cuernavaca di negeri Morelos, kata AFAC dalam satu hantaran di X.
Pesawat itu terhempas hanya seminit selepas berlepas semasa fasa pendakian awal, ketika ia berada kira-kira 500 meter (1,640 kaki) dari permulaan landasan 21, kata agensi itu, menurut Anadolu.
Menurut maklumat awal, pesawat itu jatuh di Tezontle Avenue di kawasan kejiranan Venta Prieta, Pachuca, ibu negeri Hidalgo.
Nahas itu berlaku di luar kawasan lapangan terbang, di sebuah kawasan kejiranan bandar yang terletak dekat landasan lapangan terbang, menurut laporan awal daripada pihak berkuasa penerbangan.
Kedua-dua individu yang berada di dalam pesawat itu maut, lapor Anadolu.
Cessna 210 ialah pesawat enjin tunggal yang digunakan untuk penerbangan persendirian dan penerbangan am.
-
Letupan dilapor kedengaran di kawasan pesisir selatan Iran
Letupan kedengaran pada awal Selasa di selatan Iran, termasuk di Pulau Qeshm dan di bandar pesisir Bandar Lengeh, menurut berita Anadolu memetik agensi berita Iran.
Menurut Anadolu, agensi berita rasmi Iran, IRNA, melaporkan lima letupan berlaku di Pulau Qeshm, terletak di Selat Hormuz.
Dalam perkembangan berasingan, menurut Anadolu, agensi berita separa rasmi Fars mengatakan letupan kedengaran dari arah laut di Bandar Lengeh, di wilayah Hormozgan.
Punca letupan tidak dapat dikenal pasti serta-merta, lapor Anadolu, kedua-dua agensi itu tidak memberikan perincian mengenai korban atau kerosakan.
Laporan ini muncul di tengah-tengah usaha diplomatik yang berterusan di antara Tehran dan Washington berhubung ketegangan di sekitar Selat Hormuz.
-
Pengawal Revolusi Iran kata ia jatuhkan 2 dron AS di Selat Hormuz
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata pada Isnin bahawa ia menjatuhkan dua dron AS di selatan Pulau Qeshm di Selat Hormuz, lapor berita Anadolu memetik agensi berita separa rasmi Tasnim.
Laporan itu, menurut Anadolu, mengatakan Angkatan Aeroangkasa IRGC menggunakan sistem peperangan elektronik terhadap dua dron jenis MQM-170 terbabit, menjadikan jumlah pesawat jenis itu yang dilaporkan berjaya ditangkap oleh pasukan Iran kepada empat buah.
-
Eisenkot dilapor enggan sertai kerajaan pimpinan Netanyahu, walaupun atas permintaan Trump
Gadi Eisenkot, pemimpin parti Yashar, menolak untuk menyertai kerajaan dipimpin oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, walaupun atas permintaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menurut berita Anadolu memetik laporan penyiar awam Israel, KAN pada Isnin.
Menurut Anadolu, penyiar itu, yang memetik sumber tanpa nama, berkata Eisenkot membuat kenyataan itu dalam satu mesyuarat tertutup baru-baru ini.
“Saya tidak akan menganggotai kerajaan dipimpin oleh Netanyahu,” katanya seperti yang dipetik.
“Jika Trump menjemput saya, saya akan menghormati presiden dan hadir, tetapi saya akan menegaskan bahawa perkara ini melibatkan hal ehwal dalaman Israel, dan saya akan menghalang sebarang campur tangan,” tambah Eisenkot, menurut KAN, seperti dilaporkan Anadolu.
Kenyataan itu datang selepas Netanyahu menyatakan kesediaan untuk berbincang mengenai pembentukan kerajaan yang luas, namun menegaskan bahawa dia harus mengetuainya, menolak gabungan yang bergantung kepada dua parti utama Arab, iaitu Ra’am dan Senarai Bersama (Joint List).
Blok Netanyahu memenangi 53 kerusi dalam pilihan raya parlimen minggu lalu, berbanding 48 kerusi dimenangi oleh parti-parti pembangkang pimpinan Yahudi, dan 19 kerusi oleh parti-parti Arab. Keadaan ini menyebabkan tiada satu pun pihak yang memperoleh majoriti dalam Knesset yang mempunyai 120 ahli.
Parti “Together” pimpinan Naftali Bennett, parti Demokrat pimpinan Yair Golan, dan parti Yisrael Beytenu pimpinan Avigdor Lieberman telah memutuskan untuk mencadangkan Eisenkot bagi membentuk kerajaan seterusnya. Sokongan yang dijangka daripada dua senarai parti Arab boleh meningkatkan jumlah sokongan kepadanya kepada 67 ahli parlimen.
Walau bagaimanapun, keengganan Lieberman untuk menyertai kerajaan yang merangkumi parti-parti Arab atau bergantung kepada sokongan mereka kekal menjadi halangan dalam pembentukan gabungan itu.
Pemimpin-pemimpin pembangkang dijadualkan bertemu pada Selasa untuk menyelaraskan pendirian mereka, sebelum Presiden Isaac Herzog memulakan sesi rundingan selama dua hari dengan puak-puak parlimen pada Rabu.
-
AS beri amaran kepada warganya mengenai potensi serangan Houthi, gangguan perjalanan di Arab Saudi
Misi AS di Arab Saudi mengeluarkan amaran keselamatan pada Isnin kepada warganegara Amerika susulan permusuhan membabitkan kumpulan Houthi Yaman dan Arab Saudi, lapor Anadolu.
“Houthi disokong Iran telah terlibat dalam permusuhan terhadap Arab Saudi, termasuk serangan ke atas lapangan terbang awam dan infrastruktur kritikal lain, yang mengakibatkan korban dalam kalangan orang awam serta gangguan perjalanan yang teruk,” kata misi itu dalam satu kenyataan nasihat.
Misi itu memberi amaran, situasi boleh memuncak dengan pantas melangkaui kawasan terbabit, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai potensi ancaman keselamatan dan gangguan terhadap perjalanan udara komersial.
“Warganegara AS harus peka terhadap kemungkinan serangan ke atas lapangan terbang, penutupan ruang udara, pembatalan penerbangan, dan gangguan perjalanan. Sila berhati-hati sepenuhnya jika anda memilih untuk menggunakan lapangan terbang di Arab Saudi,” katanya.
Kenyataan nasihat itu dikeluarkan di tengah-tengah permusuhan yang semakin memuncak antara kumpulan Houthi dengan gabungan pimpinan Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Arab Saudi telah mengetuai gabungan ketenteraan menentang Houthi sejak Mac 2015, selepas kumpulan itu menawan ibu kota Yaman, Sanaa, dan beberapa bahagian lain di negara itu pada 2014, lapor Anadolu.