Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, pada Isnin berkata, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran bertanggungjawab atas serangan siber yang menyasarkan sistem penyejukan di ratusan pasar raya Perancis pada Oktober, berdasarkan corak serangan dikaitkan dengan sebuah entiti di bawah IRGC, lapor berita Xinhua.
Bercakap kepada pemberita di Paris selepas mesyuarat menteri-menteri luar Kumpulan Tujuh (G7), Barrot berkata Perancis telah memanggil duta Iran ke Perancis untuk mengemukakan “bantahan keras” berhubung serangan terbabit.
Dia menyifatkan serangan siber itu sebagai “pelanggaran besar terhadap kepentingan negara” dan berkata bahawa pihak yang bertanggungjawab akan berdepan dengan “sekatan di peringkat Eropah.”
Menurut berita Xinhua, pejabat pendakwa raya Paris telah memulakan siasatan kehakiman terhadap serangan siber itu, lapor akhbar harian Perancis, Le Monde, pada Isnin.
Siasatan itu, menyasarkan ketua Shahid Kaveh—sebuah unit serangan siber Iran yang mempunyai kaitan dengan Pusat Elektronik dan Siber IRGC—beserta dua timbalannya dan “mana-mana individu lain yang mungkin dikenal pasti” — lapor Xinhua.
Pejabat itu dilapor berkata, penyiasat, dengan sokongan daripada agensi-agensi kerajaan yang khusus, telah menemui corak serangan yang menjadi ciri khas unit berkenaan, termasuk “penggunaan bahasa Parsi dan alamat IP yang dikaitkan dengan peranti yang terletak di Iran”.
Serangan yang berlaku sepanjang malam dari 11 hingga 12 Oktober itu menyasarkan sistem penyejukan di ratusan pasar raya Perancis. Penggodam mengaktifkan kitaran penyahbekuan (defrost) secara berterusan dari jarak jauh dan menetapkan suhu sasaran kepada 50 darjah Celsius, yang mengakibatkan kerugian kewangan dianggarkan berjumlah beberapa juta euro, lapor saluran berita Perancis, BFMTV — menurut berita Xinhua.