GLOBAL

  • 12 migran ditemukan maut, 105 diselamatkan di perairan Crete, Greece

    12 migran ditemukan maut dan kira-kira 105 orang lagi diselamatkan dalam tiga operasi berasingan di luar pantai selatan Crete, pihak berkuasa Greece berkata pada Isnin — menurut berita Anadolu.

    Dalam kejadian yang paling tragis, sebuah kapal kontena yang mengibarkan bendera Maghribi telah mengesan sebuah bot membawa migran kira-kira 15 batu nautika (28 kilometer) di tenggara Kali Limenes, menurut akhbar harian Greece, Kathimerini — lapor Anadolu.

    Sebuah vesel Pengawal Pantai Greece bergegas ke lokasi kejadian, menyelamatkan 18 orang yang terselamat serta menemukan mayat 12 individu.

    Dalam dua kejadian berasingan yang lain, bot-bot yang membawa 47 dan 40 migran telah dikesan masing-masing kira-kira 30 dan 31 batu nautika (56 dan 57 kilometer) di selatan Kali Limenes.

    Sejumlah 87 migran telah diselamatkan oleh vesel Frontex dan dijangka akan dibawa ke pelabuhan Kali Limenes.

    Keseluruhan kejadian ini menjadikan jumlah migran yang diselamatkan dalam ketiga-tiga operasi terbabit mencecah kira-kira 105 orang.

  • Gempa bumi 5.9 magnitud landa luar pantai timur Jepun, gegar Tokyo

    Satu gempa bumi bermagnitud 5.9 melanda luar pantai timur Jepun pada Isnin, dengan gegaran dirasai sehingga ke ibu kota Tokyo, menurut berita Anadolu memetik media tempatan, memetik agensi meteorologi negara itu.

    Gempa itu melanda luar pantai wilayah Ibaraki, di timur laut Tokyo, lapor Anadolu memetik penyiar tempatan Tokyo Japan TV.

    Gegaran itu berlaku pada kedalaman kira-kira 10 kilometer, dengan mencatatkan intensiti 3 pada skala seismik tujuh tahap Jepun di beberapa bahagian wilayah Miyagi, Ibaraki, Fukushima, dan Tochigi.

    Pusat gempa terletak pada latitud 36.2 darjah utara dan longitud 142.2 darjah timur.

  • Penembak dalam tembakan di Krakow meninggal dunia di hospital

    Penembak yang membunuh enam orang di bandar Krakow, Poland pada Sabtu meninggal dunia di hospital pada awal Isnin, menurut berita Xinhua memetik laporan Agensi Akhbar Poland (PAP) memetik polis tempatan.

    Polis dilapor berkata, mereka telah dimaklumkan mengenai kematian lelaki itu oleh pihak hospital pada pagi Isnin, sambil menambah bahawa pihak pendakwa raya akan mendedahkan butiran lanjut.

  • Pasukan keselamatan bunuh 27 militan di barat daya Pakistan

    Pasukan keselamatan Pakistan membunuh 27 militan dalam operasi berdasarkan risikan di daerah Mastung, wilayah Balochistan di barat daya negara itu, menurut sumber keselamatan pada Ahad — lapor berita Xinhua.

    Operasi itu dijalankan dalam dua fasa di Lembah Karam, 15 militan maut pada fasa pertama dan 12 lagi pada fasa kedua, menurut Xinhua memetik sumber terbabit.

    Seorang komander militan tempatan dilaporkan turut maut bersama pengikut-pengikutnya dalam operasi itu.

  • Angka maut kebakaran bangunan di utara China meningkat kepada 14

    Angka maut akibat kebakaran sebuah bangunan di Taiyuan, ibu kota wilayah Shanxi di utara China, meningkat kepada 14 orang, pihak berkuasa tempatan berkata pada Isnin — lapor berita Xinhua.

    Kebakaran itu berlaku di bangunan di daerah Yingze di bandar itu pada 4:59 petang Ahad.

  • Puluhan ribu orang dilapor berdemonstrasi di Amsterdam, desak tindakan lebih tegas Belanda berhubung Gaza

    Protes pro-Palestin secara besar-besaran berlangsung di Amsterdam pada Ahad, dengan peserta menggesa kerajaan Belanda untuk mengambil tindakan lebih lanjut berhubung konflik di Gaza — lapor berita Xinhua.

    Penganjur berkata, kira-kira 200,000 orang menyertai protes “Garis Merah” (Red Line) itu, menurut Xinhua, ramai penunjuk perasaan memakai pakaian berwarna merah serta membawa bendera dan sepanduk Palestin, mendesak kerajaan Belanda untuk meningkatkan tekanan politik, ekonomi, dan diplomatik terhadap Israel.

    Menurut Xinhua memetik laporan media tempatan, protes itu secara keseluruhannya berjalan dengan aman dan teratur, walaupun empat individu ditangkap. Pertembungan antara pihak polis dan penunjuk perasaan turut berlaku di beberapa lokasi laluan perarakan.

    Kemudian pada Ahad, selepas protes itu, menteri luar Belanda Tom Berendsen berkata, kebimbangan orang ramai terhadap situasi di wilayah Palestin dan Israel adalah sesuatu yang boleh difahami — menurut berita Xinhua.

    Menerusi satu hantaran di media sosial, dia menambah bahawa kabinet kekal komited “untuk menggalakkan kestabilan di Timur Tengah, memperbaiki situasi kemanusiaan di Gaza, serta mewujudkan sebuah negara Palestin yang berdaya maju, demokratik dan merdeka, yang wujud bersebelahan dengan Israel yang selamat.” — lapor berita Xinhua.

    Perdana Menteri Rob Jetten, yang pernah menyertai protes “Garis Merah” pada tahun lalu sebelum memegang jawatan, tidak hadir dalam perhimpunan kali ini.
    Bercakap pada satu sidang akhbar pada Jumaat, dia berkata peranan semasa dia sebagai perdana menteri menyebabkan penyertaannya tidak wajar.

    Jetten berkata, kerajaan Belanda telah mengambil langkah yang menyasarkan penempatan haram di Tebing Barat serta sedang bekerjasama dengan rakan-rakan Eropah untuk meningkatkan tekanan diplomatik.

    Dia berkata, masyarakat antarabangsa harus jelas bahawa penyelesaian dua negara adalah satu-satunya jalan ke arah keamanan dan keselamatan yang berkekalan bagi kedua-dua pihak, Israel dan Palestin.

    Pada akhir September, kerajaan Belanda mengumumkan larangan terhadap produk berasal dari penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki. Sebagai tindak balas, Israel menarik balik keistimewaan dan kekebalan diplomatik bagi diplomat Belanda berpangkalan di Ramallah.

  • 5 rakyat Palestin maut selepas tebing pasir runtuh hempap ​​khemah di tengah Gaza

    Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin, termasuk tiga kanak-kanak, maut pada petang Ahad apabila sebuah tebing pasir runtuh menghempap ​ khemah menempatkan keluarga terlantar di Deir al-Balah, tengah Gaza, kata pegawai Palestin — menurut berita Xinhua.

    Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal, berkata tebing itu runtuh menghempap ​​khemah di sebuah pusat perlindungan akibat hujan lebat.

    Katanya, kejadian runtuhan itu mengorbankan lima orang, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang wanita serta menyebabkan beberapa orang lain cedera, dengan sesetengahnya parah.

    Insiden itu berlaku sehari selepas kira-kira 70,000 khemah yang menempatkan keluarga terlantar dilanda banjir akibat hujan, susulan cuaca tekanan rendah melanda Jalur Gaza, sekali gus memburukkan lagi keadaan hidup yang sememangnya sudah sukar.

  • 7 maut, lebih 100 cedera dalam kejadian kereta api tergelincir di Mesir

    Tujuh penumpang maut dan 112 orang cedera pada Ahad selepas beberapa gerabak kereta api penumpang tergelincir dan terbalik di wilayah Giza, utara Mesir, kata kementerian kesihatan Mesir, menurut berita Anadolu.

    Kemalangan itu berlaku dekat kampung Gerza di daerah Al-Ayyat, di jalan pertanian Kaherah–Aswan.

    Menurut kementerian itu, lapor Anadolu, kecederaan dialami termasuk lebam, calar, dan patah tulang, dengan 45 orang telah dibenarkan keluar dari hospital selepas keadaan mereka bertambah baik.

    Menurut Anadolu, Kereta Api Nasional Mesir berkata, kereta api No. 134, yang dalam perjalanan dari Giza ke Fayoum, telah melanggar belakang kereta api Kaherah–Aswan No. 2010 di antara stesen Kafr Ammar dan Al-Riqqa, menyebabkan beberapa gerabak tergelincir.

  • Letupan dilapor kedengaran di Bandar Abbas dan Qeshm, selatan Iran

    Beberapa letupan kedengaran di bahagian bandar pelabuhan Bandar Abbas di selatan Iran serta di Pulau Qeshm yang terletak berhampiran, lapor berita Anadolu memetik agensi berita separa rasmi Fars melaporkan pada petang Ahad.

    Memetik sumber tempatan, Fars mengatakan bunyi terbabit mungkin berpunca daripada tembakan amaran yang dilepaskan ke arah kapal-kapal yang disyaki melanggar peraturan pelayaran di Selat Hormuz.

    Pulau Qeshm terletak dekat Bandar Abbas, di pintu masuk ke Selat Hormuz, laluan perkapalan utama bagi eksport minyak dari rantau Teluk.

  • 2 penduduk Gaza maut dalam serangan berterusan Israel

    Dua rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, maut manakala 12 orang lagi, termasuk seorang wanita, mengalami kecederaan dalam serangan Israel di Jalur Gaza sejak fajar Ahad, menurut berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, sumber perubatan di Kompleks Perubatan Nasser berkata, dua rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, maut, manakala tujuh orang lain mengalami kecederaan dengan tahap keterukan yang berbeza-beza, susulan serangan Israel terhadap sekumpulan orang awam di kawasan Al-Mawasi, Khan Younis, di selatan Gaza.

    Menurut Anadolu, satu sumber perubatan memberitahunya, empat rakyat Palestin cedera, termasuk seorang yang mengalami kecederaan parah, dalam satu serangan Israel yang menyasarkan sekumpulan orang awam di utara Gaza.

    Saksi mata berkata, sebuah dron telah melancarkan peluru berpandu ke arah sekumpulan orang ramai di kawasan Bir al-Naaja, di barat Jabalia, utara Gaza.

    Di bahagian selatan pula, seorang wanita ditembak di belakang oleh tentera Israel ketika dia berada di Kem Qatar (Qatari Camp), di sebelah timur kompleks kediaman Hamad di Khan Younis, lapor Anadolu memetik sumber.