Info

  • Dua maut nahas jet pejuang Perancis semasa penerbangan latihan

    Dua orang terkorban apabila sebuah jet pejuang Mirage 2000D Tentera Udara Perancis terhempas semasa penerbangan latihan di timur laut Perancis, pihak pendakwa raya mengesahkan pada Khamis, berita Anadolu memetik laporan penyiar BFMTV.

    “Bukti yang ditemui di lokasi kejadian mengesahkan dua kematian,” kata pejabat pendakwa raya Metz kepada penyiar itu.
    “Walau bagaimanapun, bukti ini perlu disahkan melalui analisis DNA yang sedang dijalankan bagi tujuan pengecaman.”

    Pihak berkuasa sebelum ini telah mengesahkan kematian juruterbang, sementara operasi mencari juru arah pesawat terbabit diteruskan.

    Jet itu, yang beroperasi dari pangkalan udara Nancy-Ochey, terhempas lewat Selasa di jabatan Meurthe-et-Moselle, dekat Nancy.

    Nahas itu berlaku sekitar jam 11.35 malam waktu tempatan (2135GMT) di antara kampung Rogeville, Domevre-en-Haye, dan Tremblecourt.

  • 16 maut, 32 cedera selepas gempa bumi 7 magnitud landa Xizang, China

    Enam belas orang maut dan 32 yang lain cedera selepas gempa bumi bermagnitud 7 melanda Baqen di bandar Nagqu, Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China, pada 10:33 malam Khamis (Waktu Beijing), menurut biro pengurusan kecemasan bandar itu, berita Xinhua melaporkan.

    Setakat 2:25 pagi Jumaat, 11 daripada mereka yang cedera berada dalam keadaan serius, manakala 21 orang lagi mengalami kecederaan ringan. Lebih 300 rumah runtuh.

    Kerosakan akibat gempa bumi itu sedang dinilai dengan lebih lanjut, dan kerja bantuan bencana sedang dijalankan.

    Lebih 300 anggota polis telah dikerahkan ke pusat gempa untuk menjalankan kerja bantuan, sementara pasukan bomba dan penyelamat wilayah telah menggerakkan 347 anggota ke kawasan terjejas.

  • Serangan Saudi dilapor hentam bot India di luar pantai Yaman

    Arab Saudi menyasarkan sebuah bot India yang membawa 14 warga India dekat Pulau Zuqar di luar pantai barat Yaman, dan pasukan tentera Yaman menyelamatkan mereka yang berada di atas bot terbabit, kata jurucakap pasukan bersenjata, Yahya Saree, lapor berita Mehr.

    Yahya berkata, tentera Saudi menyasarkan sebuah bot persiaran India dekat Pulau Zuqar di luar pantai barat Yaman, yang membawa 14 warga India, berdasarkan laporan awal.

    Menurut Mehr, Yahya dalam satu hantaran di media sosial, berkata pasukan bersenjata Yaman telah menyelamatkan mereka yang berada di atas bot itu.

    Dia memberi amaran bahawa tindakan Saudi itu mengancam pelayaran antarabangsa di Laut Merah, serta menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa mesti menghalang pihak Saudi daripada melakukan tindakan tidak bertanggungjawab sebegitu.

  • Rusia pulangkan mayat 252 askar Ukraine

    Rusia menyerahkan mayat 252 askar Ukraine yang terkorban dalam konflik dan menerima mayat 25 anggota tentera Rusia sebagai pertukaran, lapor berita RT memetik pelbagai laporan.

    Pemindahan itu dilaporkan berlaku pada Khamis di Belarus, dekat Novaya Guta lintasan sempadan dengan Ukraine, lapor RT, pegawai dan saluran media di ketiga-tiga negara mengesahkan butiran mengenai penghantaran pulang itu.

    Menurut RT, rakaman dari lokasi menunjukkan pemantau dari Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menyelia proses pemindahan itu.

  • 6 maut, 25 cedera apabila bas rempuh pokok tepi jalan di tengah India

    Sekurang-kurangnya enam orang, termasuk dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan maut manakala 25 yang lain cedera apabila bas dinaiki mereka merempuh pokok di tepi jalan di Chhattisgarh, negeri tengah India, pada Khamis, polis tempatan mengesahkan, menurut berita Xinhua.

    Kemalangan itu dilaporkan berlaku dalam kawasan bidang kuasa balai polis Kelhari di daerah Manendragarh-Chirmiri-Bharatpur (MCB), ketika bas terbabit dalam perjalanan dari kawasan Manendragarh menuju ke pekan Kelhari dengan kelajuan sangat tinggi.

    Menurut polis, terdapat lebih 30 penumpang di dalam bas terbabit ketika kejadian.

    Pemandu bas dilaporkan tiba-tiba hilang kawalan terhadap kenderaan itu, yang mengakibatkan kemalangan.

  • 2 maut, 34 cedera dalam serangan Rusia ke atas Ukraine

    Dua orang terkorban manakala 34 yang lain cedera dalam serangan dron dan peluru berpandu Rusia di Ukraine semalaman hingga Khamis, kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menurut berita Xinhua.

    Dua belas wilayah di Ukraine di bawah serangan Rusia, kata Zelensky, sambil menambah bahawa Kiev disasarkan oleh 21 peluru berpandu balistik yang dilancarkan dalam tiga gelombang.

    Di ibu negara, serangan merosakkan bangunan kediaman, kemudahan tenaga, infrastruktur kereta api dan metro, serta pusat beli-belah, kata Zelensky.

    Menurut Xinhua, Tentera Udara Ukraine berkata, ia menembak jatuh 181 daripada 210 dron tempur dilancarkan oleh Rusia. Serangan direkodkan di 32 lokasi, manakala serpihan jatuh di lapan lokasi.

    Rusia dan Ukraine terus berbalas serangan sepanjang hari lalu, lapor Xinhua, datuk bandar Moscow, Sergei Sobyanin, mengumumkan pada Khamis bahawa 630 UAV telah dilancarkan ke arah wilayah Moscow dari malam Rabu hingga awal Khamis, mencederakan dua orang cedera.

  • Gempa bumi 7 magnitud landa Tibet

    Satu gempa bumi 7 magnitud melanda wilayah Tibet, China kira-kira jam 10:33 malam waktu tempatan (1433 GMT) Khamis, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC), lapor Reuters.

    Pusat gempa di sebuah daerah berketinggian tinggi di Nagqu, utara Tibet, pada kedalaman 10 km (6.21 batu), dengan purata ketinggian dalam lingkungan 5 km dari pusat gempa adalah kira-kira 4,864 meter, data CENC menunjukkan.

    Menurut CENC, lapor Reuters, gegaran dapat dirasai dengan jelas di kawasan lokal. Pusat gempa terletak kira-kira 400 km dari Lhasa, ibu kota Tibet.

  • Warga asing dipukul hingga mati

    Polis Afrika Selatan memulakan siasatan kes bunuh selepas seorang warga asing didakwa dipukul sehingga mati oleh sekumpulan kira-kira 50 orang di bandar pesisir pantai Durban, Afrika Selatan, pada pagi Khamis, lapor berita Xinhua.

    Mangsa, dipercayai berusia lewat 30-an atau awal 40-an, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, kata Perkhidmatan Polis Afrika Selatan (SAPS) dalam kenyataan.

    Menurut maklumat awal, sekumpulan orang berarak di Jalan Dr Pixley kaSeme menuju Jalan Maud Mfusi di pusat bandar apabila dua lelaki memisahkan diri daripada kumpulan itu dan menghampiri mangsa yang berdiri di tepi jalan.

    Mangsa kemudian didakwa diserang oleh kira-kira 50 orang, kata polis.

    Polis berkata, mereka sedang menelusuri beberapa petunjuk dan menggunakan segala sumber penyiasatan yang ada untuk mengenal pasti mereka yang terbabit dalam serangan itu, manakala motif pembunuhan masih belum dikenal pasti.

    Insiden itu berlaku ketika ketegangan semakin memuncak di Durban berhubung isu imigresen. Pada 8 Oktober, protes ganas tercetus di daerah perniagaan pusat bandar itu semasa demonstrasi yang berkait dengan kebimbangan mengenai pendatang tanpa dokumen dan permohonan suaka.

  • 3 termasuk budak perempuan maut dalam serangan Israel di Gaza

    Tiga rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak perempuan, terbunuh manakala beberapa yang lain cedera pada Khamis akibat serangan dan tembakan Israel di seluruh Jalur Gaza, di tengah-tengah pelanggaran berterusan terhadap perjanjian gencatan senjata, lapor berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, sumber perubatan memberitahunya, seorang rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera—seorang daripadanya parah, apabila sebuah dron Israel menyerang kenderaan orang awam di kawasan kejiranan Tel al-Hawa, barat daya bandar Gaza.

    Di utara Jalur Gaza, tentera Israel menembak mati seorang kanak-kanak perempuan Palestin di kepalanya di Jabalia, lapor Anadolu yang memetik sumber perubatan.

    Di selatan Gaza, seorang lagi rakyat Palestin terbunuh dan dua yang lain cedera apabila dron Israel menyerang sebuah motosikal di Khan Younis, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.

    Empat ahli sebuah keluarga pelarian dilaporkan turut cedera apabila tembakan artileri Israel menghentam sebuah sekolah yang menempatkan rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal di bandar itu.

    Sumber perubatan di Hospital Nasser dilapor berkata seorang lelaki, isterinya, dan dua anak mereka tiba dengan pelbagai kecederaan selepas bedilan menyasarkan Sekolah Mustafa Hafez.

    Bedilan artileri Israel melanda sebuah khemah yang menempatkan keluarga pelarian itu di perkarangan sekolah itu, lapor Anadolu memetik sumber tempatan.

  • 10 maut, 7 hilang susulan insiden bot-kapal minyak di Nigeria

    Sekurang-kurangnya 10 orang disahkan maut dan tujuh lagi hilang selepas sebuah bot terbalik dalam satu konfrontasi antara penduduk tempatan dengan lelaki-lelaki berpakaian seragam tentera, berhubung isu tumpahan minyak di Delta Niger yang kaya dengan sumber minyak di Nigeria, lapor berita Anadolu memetik pemimpin komuniti pada Khamis.

    Mereka dilapor berkata, kejadian itu berlaku di laluan air Robertkiri di Kula Kingdom, Kawasan Kerajaan Tempatan Akuku-Toru di Negeri Rivers, ketika penduduk sedang membantah pergerakan sebuah kapal minyak.
    Bantahan itu tercetus susulan pertikaian yang belum selesai mengenai dakwaan tumpahan minyak serta rungutan lain berkaitan operasi di Oil Mining Lease (OML) 55.

    Jonah Joshua, pemimpin komuniti yang terjejas, dilapor berkata: “Lapan orang diselamatkan, manakala tujuh lagi masih hilang sementara operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.”

    Mereka yang hilang termasuk Davies Opiri, setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kula, serta dua anggota kumpulan yang dikenali sebagai ‘Amama Soldiers’.

    Pemimpin komuniti mendakwa anggota tentera tiba dengan menaiki bot bersenjata bagi melancarkan proses pengalihan kapal minyak terbabit, meningkatkan ketegangan dengan golongan belia yang menuntut supaya tindakan diambil terhadap kebimbangan berkaitan alam sekitar.

    Menurut Anadolu, jurucakap Perintah Polis Negeri Rivers, Agabe Blessing Kaborlo, mengesahkan pihaknya sedia maklum mengenai insiden itu dan berkata siasatan sedang dijalankan bagi menentukan bilangan korban serta punca bot itu terbalik.

    Negeri Rivers terletak di Delta Niger, sebuah wilayah pengeluar minyak utama di mana pertikaian mengenai pencemaran, pampasan, kawalan sumber, dan aktiviti syarikat minyak sering mencetuskan ketegangan.