Seorang lelaki berusia 45 tahun yang dikatakan terbabit dalam pertikaian hak penjagaan anak adalah suspek penembak di sebuah pusat perlindungan ibu dan anak di utara Jerman yang menyebabkan enam maut pada Isnin, menurut berita Reuters, memetik pegawai.
Lelaki itu mempunyai temu janji di pusat perlindungan itu di Stade, dekat bandar pelabuhan Hamburg, awal Isnin sebelum melepaskan tembakan pada tengah hari, Reuters memetik mereka.
Semua mangsa – empat wanita dan dua lelaki – adalah pekerja kemudahan itu, menurut Reuters, anak perempuan lelaki itu yang berusia tiga bulan dan ibunya selamat.
Penembak yang didakwa, ibu, dan seorang lagi wanita berada dalam tahanan, kata pegawai, seperti dilapor Reuters.
Berita Xinhua yang memetik laporan media sebelum ini melaporkan, tembakan pada Isnin di bandar Stade di utara Jerman mengakibatkan lima kematian dan lebih banyak korban mungkin berlaku.
Menurut Xinhua, kejadian itu dilapor berlaku di pusat bandar Stade di negeri Lower Saxony.
Semua yang mati adalah orang dewasa dan beberapa yang lain cedera, sesetengah daripada mereka dalam keadaan serius, menurut Xinhua.
Lebih banyak korban mungkin berlaku, dan bilangan yang cedera masih tidak jelas, Xinhua memetik media Jerman.
Xinhua melaporkan, jurucakap polis Jerman dipetik sebagai berkata dua suspek telah ditangkap. Polis masih menyiasat dan motif suspek masih tidak jelas.