Malaysia lanjutkan perjanjian cari MH370 setahun lagi

Kerajaan Malaysia melanjutkan perjanjiannya dengan firma penerokaan bawah air Ocean Infinity selama 12 bulan lagi untuk meneruskan pencarian bangkai pesawat Penerbangan Malaysia MH370 di selatan Lautan Hindi, menurut berita Xinhua memetik Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada Isnin.

Kabinet meluluskan lanjutan itu pada Jumaat, dengan perjanjian diperbaharui berkuat kuasa dari 1 Julai tahun ini hingga 30 Jun 2027, kata Loke dalam satu kenyataan, menurut Xinhua.

“Lanjutan ini mengekalkan semua terma dan syarat utama perjanjian sedia ada, termasuk penerapan prinsip ‘tiada jumpa, tiada bayaran’. Bawah perjanjian itu, kerajaan tidak akan membuat sebarang pembayaran kepada Ocean Infinity jika bangkai pesawat tidak ditemui,” dia dilapor berkata, sambil menambah bahawa kerajaan akan membayar firma itu 70 juta dolar AS jika bangkai pesawat itu berjaya ditemui.

Loke dilapor berkata, lanjutan itu akan membolehkan Ocean Infinity melengkapkan pencarian di kawasan pencarian seluas 7,428.54 kilometer persegi yang tinggal.

Kehilangan MH370 kemalangan tragis yang berlaku pada 8 Mac 2014, apabila pesawat itu, yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, hilang dari skrin radar dengan semua 239 orang di dalamnya.