Angka maut akibat serangan dron Israel ke atas kenderaan awam di bandar Gaza meningkat kepada empat orang pada Rabu selepas seorang kanak-kanak Palestin berusia 8 tahun meninggal dunia akibat luka dialaminya, menurut berita Anadolu memetik sumber Palestin.
Fadi al-Deiri meninggal dunia akibat luka dialami dalam serangan petang Selasa ke atas kenderaan awam di kawasan kejiranan Sabra, Anadolu memetik sumber perubatan di Hospital Al-Shifa.
Tiga rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh dan tiga lagi cedera dalam serangan itu. Kematian Al-Deiri meningkatkan jumlah kematian kepada empat orang.
Menurut Anadolu, dalam kejadian berasingan, Pertahanan Awam Gaza berkata krunya bertindak selepas seorang wanita Palestin cedera akibat tembakan bot perang Israel di kawasan pelabuhan barat bandar Gaza pada Rabu.
Artileri Israel juga membedil kawasan timur dan selatan kem pelarian Bureij di tengah Gaza, Anadolu memetik sumber tempatan dan saksi mata.
Di selatan Gaza, kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah khemah-khemah pelarian di kawasan Al-Mawasi di barat laut Rafah, lapor Anadolu, tiada korban jiwa dilaporkan serta-merta.
Insiden terbabit berlaku di tengah-tengah serangan Israel yang berterusan meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025.