Satu kebakaran berlaku di pelantar SPD14D milik Iran di medan gas South Pars pada Selasa, menyebabkan pihak berkuasa memindahkan semua kakitangan sebagai langkah berjaga-jaga, lapor berita Anadolu memetik media Iran.
Syarikat Minyak dan Gas Pars dilapor berkata, pasukan operasi dan keselamatan telah berjaya mengawal kebakaran di satu daripada pelantar gas di Fasa 14 South Pars.
Menurut Anadolu memetik agensi berita separa rasmi Fars, timbalan menteri minyak berkata sebelum itu bahawa pelantar terbabit telah dikosongkan sepenuhnya bagi menjamin keselamatan jurutera yang bertugas di kemudahan berkenaan.
Pegawai terbabit berkata, keadaan kini terkawal dan pihak berkuasa sedang menyiasat punca kebakaran, dengan kebocoran gas atau insiden operasi antara kemungkinan yang sedang diteliti.
Menurut timbalan menteri minyak itu, pelantar SPD14D menyumbang sebanyak 14.5 juta meter padu kepada jumlah pengeluaran gas South Pars yang melebihi 700 juta meter padu.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
South Pars, yang terletak di Teluk, medan gas asli terbesar di Iran dan sumber utama bekalan gas domestik. Medan ini dikongsi bersama Qatar, yang mengenalinya sebagai ‘North Field’ (Medan Utara).
