Empat rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun, maut manakala 14 yang lain cedera dalam serangan oleh tentera Israel dan lelaki-lelaki bersenjata yang disokong Israel di Jalur Gaza pada Isnin, menurut berita Anadolu memetik sumber perubatan.
Sumber di Hospital Nasser di selatan Gaza memberitahu Anadolu bahawa mayat dua pemuda dan seorang kanak-kanak perempuan telah dibawa ke hospital itu susulan serangan udara dan tembakan di kawasan Bir 19, barat Khan Younis.
Menurut saksi, lapor Anadolu, sebuah dron Israel melancarkan beberapa serangan ke atas Bir 19, kawasan menempatkan khemah-khemah untuk rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal, menyebabkan seorang pemuda maut dan empat yang lain cedera sederhana.
Kenderaan tentera Israel turut melepaskan tembakan berat ke arah khemah-khemah pelarian, sementara lelaki-lelaki bersenjata disokong Israel melepaskan tembakan di kawasan sekitarnya, membunuh seorang lagi pemuda dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun, yang ditembak ketika berada di dalam khemahnya, saksi terbabit menambah, menurut Anadolu.
Sumber dilapor berkata, seorang lagi lelaki Palestin mautdan empat yang lain cedera dalam satu serangan Israel di barat Khan Younis.
Menurut Anadolu, sumber tempatan melaporkan sebuah dron Israel menyerang sebuah khemah yang menempatkan rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal di kawasan Al-Mawasi, barat Khan Younis.
Artileri Israel juga membedil kawasan di timur Khan Younis, manakala kenderaan tentera yang ditempatkan di sebelah timur bandar itu melepaskan tembakan berat.
Di tengah Gaza, seorang wanita Palestin mengalami kecederaan sederhana akibat tembakan Israel di kawasan Ard al-Shawa, timur Deir al-Balah, lapor Anadolu memetik satu lagi sumber perubatan.
