Sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin maut pada Ahad dalam siri serangan udara Israel di seluruh Jalur Gaza, lapor berita Xinhua memetik sumber perubatan dan keselamatan Palestin.
Menurut Xinhua, di barat bandar Gaza, sumber perubatan di Hospital Al-Shifa memberitahunya bahawa hospital itu menerima tiga mayat susulan serangan udara Israel yang menyasarkan kampus Universiti Islam, di mana bangunannya menempatkan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Sumber keselamatan dilapor berkata, sebuah dron Israel pada mulanya menyasarkan pintu masuk sebuah bangunan kampus, menyebabkan lima orang cedera—seorang daripadanya kritikal—kemudian kembali beberapa jam kemudian dan menyerang lokasi sama, mengakibatkan tiga maut.
Di utara bandar Gaza, seorang rakyat Palestin terkorban manakala tiga yang lain, termasuk seorang kanak-kanak, cedera dalam serangan dron Israel dekat Hospital Hamad, menurut sumber perubatan di Hospital Al-Shifa, lapor Xinhua.
Di selatan Jalur Gaza, Kompleks Perubatan Nasser dilapor berkata dalam satu kenyataan, dua rakyat Palestin terkorban dan lima yang lain cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan pesisir pantai al-Mawasi, di barat Khan Younis.
Di tengah Jalur Gaza, Hospital Al-Aqsa dilapor berkata, seorang rakyat Palestin terkorban dalam serangan dron Israel di Deir al-Balah.
