Lelaki bersenjata dilapor bunuh sekurang-kurangnya 40 orang di timur laut Nigeria

Lelaki-lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya 40 orang dalam satu serangan ke atas sebuah kampung di negeri Taraba, timur laut Nigeria, pada petang Jumaat, lapor berita Reuters memetik Amnesty International.

Polis dilapor berkata dalam satu kenyataan pada Sabtu, bahawa sekumpulan besar lelaki bersenjata telah melancarkan serangan ke atas kampung Binnari.

Menurut Reuters, Amnesty International berkata dalam satu kenyataan bahawa walaupun pihak polis sebelum ini mengesahkan kematian 10 orang, lebih banyak mayat ditemui kemudiannya pada Sabtu.

Reuters melaporkan, polis berkata, penyerang menceroboh kampung itu sambil melepaskan tembakan bertubi-tubi, serta merampas bekalan makanan dari kedai-kedai.

Wilayah utara Nigeria telah menyaksikan peningkatan serangan oleh kumpulan penjenayah yang bersenjata berat—dikenali secara tempatan sebagai ‘bandit’—yang menyerbu kampung-kampung, menculik penduduk untuk mendapatkan wang tebusan, serta mencuri ternakan.