Kumpulan Houthi Yaman mendakwa pada Sabtu, ia melakukan tujuh operasi ketenteraan menggunakan peluru berpandu balistik dan dron terhadap lapangan terbang, kemudahan minyak, dan sebuah pangkalan udara di Arab Saudi, sebagai tindak balas terhadap serangan udara Saudi ke atas Yaman, menurut berita Anadolu.
Menurut Anadolu, kumpulan itu dalam satu kenyataan, berkata ia menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di ibu kota Riyadh.
Ia juga mendakwa menyerang kemudahan milik gergasi minyak Arab Saudi, Aramco, di Yanbu serta kilang penapisan minyak Rabigh, kedua-duanya terletak di pantai Laut Merah di bahagian barat negara itu.
Menurut kenyataan itu, lapor Anadolu, satu lagi operasi menyasarkan stesen pengepaman minyak mentah dan saluran paip minyak Timur-Barat, yang mengangkut minyak dari bahagian timur Arab Saudi ke pantai Laut Merah.
Houthi juga mendakwa telah menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, bahagian timur Arab Saudi, sambil menyifatkan serangan itu sebagai “berketepatan” dan telah mengganggu lalu lintas udara.
Operasi lain menyasarkan lapangan terbang Najran di selatan Arab Saudi, dekat sempadan Yaman, serta pangkalan udara Khamis Mushait di bahagian barat daya; kumpulan itu mendakwa hentaman secara langsung.
Houthi berkata, serangan itu adalah tindak balas terhadap serangan udara Saudi ke atas Yaman, mendakwa bahawa 100 serangan telah dilancarkan dalam tempoh 24 jam terakhir, menyasarkan kawasan awam di ibu kota Sanaa dan kawasan lain di bawah kawalan mereka, yang mengakibatkan kematian dan kecederaan kepada berpuluh-puluh orang.
Kumpulan itu mendakwa Arab Saudi telah melancarkan sejumlah 3,123 serangan udara dan serangan peluru berpandu sejak peningkatan ketegangan terkini bermula.
Menurut Anadolu, Pertahanan Awam Saudi berkata, dua peluru berpandu balistik Houthi yang dilancarkan ke arah rantau Makkah dan Madinah telah dipintas, dengan serpihannya jatuh di empat lokasi berasingan.
Agensi itu menurut Anadolu, berkata dalam kenyataan, bahagian-bahagian peluru berpandu itu jatuh di Wadi al-Mughammas di Makkah, manakala serpihan hasil pemintasan jatuh di daerah al-Nuzha di Jeddah, Wadi Jalil di Taif, dan Masturah di Rabigh.
Menurut Anadolu, saluran AlEkhbariya dari Arab Saudi berkata “serpihan satu daripada dua peluru berpandu itu jatuh di Wadi al-Mughammas dekat kawasan suci Arafat, 23 kilometer dari Masjidil Haram di Makkah.”
Walau bagaimanapun, jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, menafikan dakwaan bahawa mereka menyasarkan tempat-tempat suci di Makkah dan Madinah.
Menurut Anadolu, Yahya berkata, operasi kumpulan itu menyasarkan kemudahan minyak dan pangkalan tentera, sambil menambah bahawa perincian lanjut akan diumumkan “pada masa sesuai”.

