9 maut dalam kejadian tembakan di Pennsylvania, AS

Sembilan orang, termasuk dua kanak-kanak, maut susulan kejadian tembakan di Erie, Pennsylvania, pada Jumaat, menurut berita Xinhua memetik media Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu.

Polis dipanggil ke Perry Street pada petang Jumaat selepas saksi melaporkan melihat seorang lelaki melepaskan tembakan sebelum memasuki sebuah rumah. Dua wanita ditemui mati di jalan, dan beberapa lagi mangsa kemudian ditemui mati di dalam rumah terbabit, menurut Xinhua memetik Erie News Now.

Polis dilapor berkata suspek juga ditemui mati dengan kesan tembakan yang dipercayai dilakukan sendiri.

Pihak berkuasa Bandar Raya Erie memaklumkan pada Sabtu bahawa semua sembilan kematian itu berlaku sebelum polis tiba di lokasi kejadian. Tiada lagi tembakan dilepaskan selepas ketibaan polis.

Polis masih belum mendedahkan identiti mereka yang terkorban atau membincangkan kemungkinan motif kejadian.