Dua maut, seorang parah tembakan di Norway

Dua orang maut dan seorang lagi cedera parah dalam satu kejadian tembakan di Halden, tenggara Norway, pada pagi Ahad, menurut polis tempatan, lapor berita Xinhua.

Tembakan itu berlaku sekitar jam 7:30 pagi (0530 GMT) di kawasan berhutan di sebelah timur Halden. Ketiga-tiga mangsa merupakan anggota kumpulan pemburu yang sama, kata komander insiden polis, Wilhelm Bjolseth, lapor Xinhua memetik agensi berita Norway, NTB.

Seorang suspek lelaki telah ditahan oleh saksi dan diserahkan kepada polis sebaik sahaja pegawai tiba di lokasi. Polis menyatakan bahawa maklumat awal menunjukkan suspek bukan ahli daripada kumpulan pemburu terbabit dan tiada pelaku lain disyaki terbabit.