Panglima Tentera Iran, Amir Hatami, berkata pada Ahad, perang yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap negara itu masih belum berakhir, dan “musuh” perlu bersedia untuk menerima “hentaman hebat” daripada angkatan tentera Iran, menurut berita Xinhua.
“Perang ini belum berakhir… Walaupun musuh yang agresif itu telah mengalami pukulan hebat, mereka mesti terus bersedia untuk menerima hentaman lebih dahsyat daripada angkatan tentera Iran,” kata Hatami dalam satu festival kebangsaan di Tehran, menurut Xinhua memetik agensi berita separa rasmi Tasnim.
Dia menggesa negara-negara rantau itu supaya menyedari bahawa kerjasama dengan AS tidak menjamin keselamatan mereka, sambil menegaskan keselamatan serantau mesti dipelihara dari dalam oleh negara-negara di rantau itu sendiri.
Pada 28 Februari lalu, Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Tehran dan bandar-bandar lain di Iran. Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan bertubi-tubi menggunakan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta pangkalan dan aset AS di rantau itu, selain memperketatkan kawalan ke atas Selat Hormuz.

