2 rakyat Palestin maut serangan Israel di Gaza

Dua rakyat Palestin maut pada Khamis dalam serangan dron Israel ke atas sebuah rumah di barat Khan Younis di selatan Jalur Gaza, menurut berita Anadolu memetik sumber perubatan.

Serangan itu dilapor berlaku di tengah-tengah pelanggaran berterusan Israel terhadap perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Nasser selepas serangan itu menyasarkan halaman sebuah rumah di kawasan Batn al-Sameen, kata sumber perubatan, menurut Anadolu.

Kementerian Kesihatan Gaza dilapor berkata, angka terkini menunjukkan pelanggaran gencatan senjata Israel telah membunuh 1,084 rakyat Palestin dan mencederakan 3,491 yang lain setakat Rabu.​​​​​​​

Sejak bermulanya genosid Israel di Gaza pada 8 Oktober 2023, lebih 73,000 rakyat Palestin maut dan lebih 173,000 cedera, selain kemusnahan meluas menjejaskan kira-kira 90% infrastruktur awam, lapor Anadolu.