4 jemaah umrah Lubnan maut nahas bas di selatan Syria

Empat jemaah Lubnan maut dan 31 yang lain cedera pada Rabu apabila bas mereka terhempas di selatan Syria semasa mereka dalam perjalanan ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah, menurut berita Anadolu memetik pihak berkuasa Syria.

Menurut Anadolu, TV Alikhbariah memetik Kementerian Kesihatan Syria, melaporkan bahawa bas itu terhempas dekat jambatan Khirbet Ghazaleh di Lebuhraya Damsyik-Daraa di wilayah Daraa.

Kementerian itu dilapor berkata, kemalangan itu menyebabkan empat orang maut dan 31 yang lain cedera.

Lebuhraya Damsyik-Daraa ialah laluan darat utama Syria yang menghubungkan ibu kota dengan sempadan selatan negara itu dan sering digunakan oleh pelancong, pelawat dan jemaah dari Lubnan dan negara jiran menuju ke Arab Saudi.