Sekurang-kurangnya 20 orang maut, dengan lebih 100 yang lain hilang, selepas sebuah bot terbalik di pertemuan sungai Kasai dan Sankuru di wilayah Ilebo di wilayah Kasai, Republik Demokratik Congo (DRC), menurut berita Xinhua.
Menurut Xinhua, Francois Kabula, pentadbir wilayah Ilebo, mengesahkan kepada media tempatan pada Sabtu, bahawa 80 orang telah diselamatkan oleh nelayan yang berada dekat tempat kejadian ketika kemalangan itu berlaku.
“Kami telah menemui 20 mayat dan mencatatkan 80 mangsa yang terselamat. Operasi mencari adalah sukar,” Kabula dilapor berkata.
Xinhua mengatakan, menurut sumber tempatan, bot itu membawa lebih 200 penumpang dan barangan apabila ia terbalik pada malam Selasa hingga Rabu semasa dalam perjalanan antara Ilebo dan Sankuru.
Muatan berlebihan dipercayai menyebabkan kemalangan itu, sumber itu dilapor sebagai berkata.