5 maut, 3 cedera nahas jalan raya di Kunduz, Afghanistan

Lima orang maut dan tiga lagi cedera apabila dua kenderaan bertembung pada kelajuan tinggi di wilayah Kunduz, utara Afghanistan lewat Jumaat, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan pada Sabtu.

Kemalangan itu berlaku di pinggir daerah Imam Sahib apabila sebuah kenderaan yang membawa orang muda merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan akibat pemanduan melulu, menurut Jumadin Khaksar, jurucakap polis wilayah.

Semua lima kematian itu adalah orang muda yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Mereka yang cedera telah dipindahkan ke kemudahan perubatan berdekatan untuk rawatan, kata Jumadin, seperti dilaporkan Xinhua.

Kemalangan jalan raya kekal sebagai punca utama kematian dan kecederaan di Afghanistan, meragut ratusan nyawa setiap tahun, menurut Xinhua.