Sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan Israel di seluruh Jalur Gaza pada Selasa, menurut berita Xinhua memetik sumber Palestin.
Sebuah dron Israel menyerang sekumpulan rakyat Palestin di kawasan al-Aqqad di tengah Khan Younis, membunuh seorang dan mencederakan tiga yang lain, kata saksi mata, menurut Xinhua.
Menurut Xinhua, terdahulu, sumber tempatan berkata sebuah pesawat Israel menyerang khemah yang melindungi orang-orang terlantar dekat pelabuhan Gaza, barat bandar Gaza, mencetuskan kebakaran dan menyebabkan korban.
Sumber perubatan dilapor berkata pasukan penyelamat menemui mayat seorang lelaki berusia 46 tahun dan memindahkan dua orang cedera.
Dalam satu lagi kejadian, seorang lelaki berusia 30 tahun terbunuh dan lima yang lain, termasuk empat kanak-kanak, cedera dalam serangan dron Israel di kawasan al-Mawasi, barat Khan Younis, lapor Xinhua.
Lima orang lagi cedera selepas dron Israel melepaskan tembakan ke arah sekumpulan rakyat Palestin di barat laut Rafah, menurut Xinhua memetik sumber tempatan.
Juga pada Selasa, pasukan Israel merobohkan empat rumah rakyat Palestin dalam operasi berasingan di seluruh Tebing Barat, lapor Xinhua memetik sumber Palestin.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza dilapor berkata dalam laporan harian mereka, jumlah kematian sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober tahun lalu meningkat kepada 1,076, dengan 3,474 yang lain cedera.
Jumlah kematian keseluruhan di Gaza sejak konflik bermula pada Oktober 2023, meningkat kepada 73,102.

