2 maut, 4 cedera dalam serangan dron di Bryansk, Rusia

Dua orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam serangan dron oleh pasukan Ukraine terhadap wilayah Bryansk, Rusia, kata pemangku gabenornya Yegor Kovalchuk pada Khamis, menurut berita Xinhua.

“Sebuah dron kamikaze telah melanda sebuah kenderaan awam. Seorang pemandu berusia 23 tahun dan seorang gadis berusia 15 tahun kehilangan nyawa mereka,” tulis Kovalchuk di saluran media sosialnya, lapor Xinhua.

Selain itu, dilaporkan seorang lelaki cedera dalam serangan itu dan menerima bantuan perubatan di lokasi, manakala seorang lagi lelaki dan wanita cedera dan dibawa ke hospital.

“Seorang lelaki cedera di Pogar selepas sebuah dron menyasarkan keretanya, dia telah dimasukkan ke hospital,” katanya.