16 dilapor maut dalam serangan Israel di daerah Nabatieh di selatan Lubnan

Menurut Al Jazeera, Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan melaporkan serangan udara dan tembakan artileri Israel membunuh sekurang-kurangnya 16 orang dan menyebabkan beberapa orang lain cedera atau hilang di seluruh daerah Nabatieh di selatan Lubnan.

Agensi itu menyifatkan pengeboman semalaman itu sebagai satu daripada serangan Israel yang paling sengit di kawasan itu, dengan banyak rumah disasarkan selepas tengah malam.

Tembakan artileri Israel dilaporkan di bandar Nabatieh, serta di Kfar Jouz dan beberapa pekan sekitarnya, termasuk Kfar Reman dan Zebdine, Al Jazeera memetik NNA.

Gelombang serangan udara kemudiannya dilaporkan turut melanda Kfar Tibnit dan Rayhan Heights.

Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh di Nabatieh dan Harouf, Al Jazeera memetik laporan agensi itu, empat orang terbunuh dalam serangan ke atas sebuah rumah di antara Al-Sharqiya dan Doueir, manakala serangan di pekan Kfar Sir membunuh tiga orang.

Dilaporkan, seorang terbunuh dan seorang lagi cedera dalam serangan dron Israel yang melanda sebuah motosikal dekat bangunan perbandaran Doueir.