y37

  • Lelaki Palestin terbunuh selepas polis Israel melepaskan tembakan dekat Ramallah

    Seorang lelaki Palestin yang dikenal pasti sebagai Ammar Majed Hassan Hijazi, 34, terbunuh pada Ahad selepas polis pendudukan Israel melepaskan tembakan ke arah kenderaannya dekat persimpangan Uyoun al-Haramiya, barat laut Ramallah, menurut berita WAFA.

    Menurut WAFA, sumber tempatan memberitahu wartawannya, bahawa Hijazi, dari Nablus, mengalami kecederaan kritikal selepas dikejar oleh polis Israel dekat persimpangan Uyoun al-Haramiya, di mana pegawai melepaskan tembakan terus ke arahnya. Dia diumumkan meninggal dunia beberapa minit kemudian.

    Menurut WAFA, Pihak Berkuasa Am Hal Ehwal Awam memaklumkan Kementerian Kesihatan bahawa Hijazi terbunuh selepas dia ditembak oleh pasukan pendudukan Israel dekat persimpangan terbabit. Mayatnya telah ditahan oleh pihak berkuasa pendudukan.

  • Bekas Perdana Menteri Korea Selatan, Lee Hae-chan meninggal dunia di Vietnam

    Bekas Perdana Menteri Korea Selatan, Lee Hae-chan meninggal dunia di Vietnam, menurut berita Xinhua memetik laporan Agensi Berita Yonhap pada Ahad.

  • Angka maut meningkat kepada 16 susulan tanah runtuh di Jawa Barat, Indonesia

    Polis Indonesia menemui 16 mayat susulan tanah runtuh di Wilayah Jawa Barat, dengan tujuh mangsa dikenal pasti, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, dalam satu kenyataan, jurucakap polis Jawa Barat, Hendra Rochmawan, melaporkan mayat-mayat itu ditemui di kawasan Cisarua di Kabupaten Bandung Barat.

  • Indonesia kenal pasti semua 10 mangsa nahas pesawat ATR 42-500 di Sulawesi

    Indonesia telah mengenal pasti semua 10 mangsa pesawat ATR 42-500 yang dikendalikan oleh Indonesia Air Transport (IAT) yang terhempas di pergunungan Bulusaraung, Sulawesi Selatan, minggu lalu, menurut laporan Antara.

    “Kami telah mengenal pasti semua 10 mangsa, yang terdiri daripada tujuh kru penerbangan dan tiga penumpang,” kata Ketua Polis Daerah Sulsel, Inspektor Jeneral Djuhandani Rahardjo Puro dalam sidang akhbar di Makassar, Sulawesi Selatan pada Sabtu, menurut Antara.

    Menurut laporan Antara, 10 mangsa telah dikenal pasti daripada kira-kira 11 beg mayat yang diterima oleh pasukan pengenalpastian mangsa bencana (DVI) daripada pegawai penyelamat yang dikerahkan ke lokasi nahas. Kumpulan terakhir beg mayat telah diterima pada Jumaat (23 Januari).

    Pasukan DVI berjaya mengenal pasti semua identiti mangsa mengikut manifes penerbangan, katanya, sambil menambah bahawa proses itu dibantu oleh keadaan mayat mangsa.

    “Beg mayat yang satu lagi mengandungi sisa rangka, yang kami dapat sahkan milik salah seorang mangsa,” tambahnya.

    Sementara itu, Ketua Jabatan Kesihatan dan Perubatan Polis Sulsel, Pesuruhjaya Kanan, Muh. Haris berkata pengecaman telah dijalankan menggunakan cap jari, rekod pergigian, barang peribadi dan data perubatan.

    Haris juga mengesahkan bahawa semua mangsa telah diserahkan kepada keluarga mereka.

    Menurut laporan Antara, kumpulan terakhir mangsa nahas ATR 42-500 yang dikenal pasti oleh pasukan DVI adalah seperti berikut:

    • Yoga Nouval Prakoso (penumpang), pengendali foto udara dari Kementerian Laut dan Perikanan;
    • Ferry Irawan, 41 tahun (penumpang), dari Kementerian Laut dan Perikanan;
    • Muhammad Farhan Gunawan, 26 tahun (pegawai pertama);
    • Hariadi, 57 tahun (kru penerbangan);
    • Dwi Murdiono, 40 tahun (kru penerbangan);
    • Restu Adi Pribadi, 40 tahun (kru penerbangan);
    • Andi Dahananto, 58 tahun (juruterbang).

    Sementara itu, tiga mangsa lain telah dikenal pasti sebelum ini oleh pasukan dan telah diserahkan kepada keluarga masing-masing, ialah:

    • Esther Aprilita Binarsit Sianipar, 26 tahun (pramugari);
    • Florencia Lolita Wibisono, 33 tahun (pramugari);
    • Deden Maulana (penumpang), pegawai pengurusan aset dari Kementerian Kelautan dan Perikanan.

    Pesawat ATR 42-500 yang dikendalikan oleh Indonesia Air Transport dilaporkan hilang kontak berhampiran sempadan daerah Maros dan Pangkajene, dan Kepulauan sebelum dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Hasanuddin pada Sabtu (17 Januari).

    Serpihan pesawat itu ditemui di pergunungan Bulusaraung pada keesokan harinya (18 Januari).

  • Lebih 120 orang keracunan oleh penggunaan gas dan arang batu di Ghazni, Afghanistan

    Pegawai di hospital wilayah Ghazni mengatakan lebih 120 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, telah dirawat sejak tiga hari lalu akibat keracunan disebabkan oleh penggunaan pemanas gas dan arang batu yang tidak betul, menurut laporan Tolonews.

    Menurut pegawai, pesakit keracunan selepas menggunakan pemanas gas dan arang batu di bilik yang kurang pengudaraan.

    Menurut Tolonews, Wali Jan Khalid, ketua Hospital Wilayah Ghazni, berkata: “Lebih 120 orang telah datang ke hospital kerana terdedah kepada gas dan arang batu, termasuk wanita dan kanak-kanak. Kebanyakan kes keracunan melibatkan orang dewasa, dan 35 adalah kanak-kanak.”

    Salah seorang individu yang keracunan, Ghulam Hassan, berkata: “Saya mengalami kesukaran bernafas dan menyuruh cucu saya menghubungi doktor. Dia memeriksa tekanan darah saya dan berkata ia adalah 160. Kami bergegas ke hospital, jika tidak, nyawa saya mungkin berada dalam bahaya.”

    Pakar kesihatan memberi amaran bahawa penggunaan dan pengabaian pemanas gas dan arang batu yang tidak betul di ruang tertutup boleh mengancam nyawa, lapor Tolonews.

    Mereka menasihatkan agar langkah berjaga-jaga yang betul mesti diambil semasa menggunakan pemanas.

    Enayatullah Saadat, seorang petugas kesihatan di Ghazni, dilapor berkata: “Arang batu mengandungi karbon, yang cepat terikat dengan darah manusia. Penggunaan berlebihan atau kecuaian dengan pemanas gas boleh menyebabkan loya dan juga kematian.”

    Seorang lagi petugas kesihatan, Abdul Hakim Hekmati, menambah: “Arang batu mesti terbakar sepenuhnya. Jika kita mengesyaki pemanas masih mempunyai arang batu dan asap yang tidak terbakar, kita tidak boleh mengabaikannya. Biarkan ia terbakar sepenuhnya sebelum tidur.”

    Pakar juga mengatakan kecuaian isi rumah, kurangnya kesedaran, dan penggunaan bahan api dan peralatan berkualiti rendah adalah faktor utama di sebalik keracunan itu.

    Penduduk Ghazni, Nematullah, dilapor berkata: “Kebanyakan pemanas di pasaran adalah berkualiti rendah, begitu juga dengan arang batu dan gas. Terdapat juga kurangnya kesedaran awam, yang membawa kepada keracunan. Kita telah melihat banyak kes di mana orang mati akibat kebocoran gas.”

    Kes keracunan gas di Ghazni meningkat dengan ketara apabila suhu menurun, dengan sekurang-kurangnya lima kematian dilaporkan sejak awal musim sejuk, lapor Tolonews.

  • 5 maut dalam insiden kebakaran di selatan India

    Lima orang yang terperangkap di sebuah kedai terbakar di negeri selatan India, Telangana, diisytiharkan meninggal dunia pada Ahad, menurut berita Xinhua.

    Insiden kebakaran itu dilapor berlaku di kawasan Nampally di ibu kota Telangan, Hyderabad, pada Sabtu.

    Seorang polis kanan memberitahu media bahawa semua mayat telah ditemui, menurut laporan Xinhua, terdapat dua kanak-kanak antara yang maut.

  • Sekurang-kurangnya 2 terbunuh selepas bangunan lima tingkat runtuh di utara Lubnan

    Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh pada Sabtu selepas sebuah bangunan kediaman lima tingkat runtuh pada waktu fajar di kawasan Qobbeh di Tripoli, utara Lubnan, kata Pertahanan Awam, menurut berita Xinhua.

    Pihak berkuasa tempatan melaporkan mangsa sebagai Ahmad Abdul Hamid Al-Mir, 66, dan anak perempuannya, Alissar Al-Mir, seorang jururawat di hospital kerajaan.

    Bangunan itu, yang terletak di Jalan Al-Jadeed, runtuh pada awal pagi, memerangkap sebuah keluarga di bawah runtuhan dan mendorong tindak balas penyelamat segera daripada Pertahanan Awam, Palang Merah Lubnan, persatuan kecemasan, dan sukarelawan, Xinhua memetik Agensi Berita Kebangsaan.

    Pasukan penyelamat sebelumnya telah mengeluarkan seorang wanita hidup-hidup dari bawah runtuhan dan memindahkannya ke hospital tempatan untuk rawatan, manakala seorang budak lelaki berusia 14 tahun dari keluarga yang sama dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

  • Angka maut pada 10 ketika pencarian diteruskan untuk lebih 80 orang yang hilang dalam tanah runtuh di Indonesia

    Jumlah kematian akibat tanah runtuh di Indonesia meningkat kepada 10 orang pada Ahad ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan untuk lebih 80 orang yang dilaporkan hilang di Jawa Barat, lapor berita Anadolu memetik media kerajaan.

    Tanah runtuh itu melanda sebuah kampung di daerah Bandung Barat pada Sabtu, dengan berpuluh-puluh rumah dilaporkan tertimbus di bawah lumpur dan serpihan; terdapat 81 mangsa yang hilang, Anadolu memetik laporan agensi berita Antara.

  • Kebakaran hotel di bandar Lahore, timur Pakistan, 3 maut, 8 cedera

    Kebakaran di ruang bawah tanah sebuah hotel di bandar Lahore, timur Pakistan pada Sabtu mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan lapan yang lain, kata pegawai penyelamat, menurut laporan AP.

    Kira-kira 180 tetamu dan kakitangan dipindahkan apabila kebakaran berlaku di Hotel Indigo, kata Perkhidmatan Kecemasan Punjab dalam satu kenyataan. Operasi mencari dan menyelamat telah selesai dan api telah dipadamkan, tambahnya.

    Pegawai bomba sedang menyiasat sama ada kebocoran gas adalah puncanya.

    Menurut AP, Ketua Menteri Punjab, Maryam Nawaz Sharif menulis di X, dia secara peribadi sedang memantau keadaan susulan kejadian di kawasan kejiranan Gulberg di bandar itu.

    Kebakaran minggu lalu di sebuah pusat beli-belah di Karachi dilaporkan mengorbankan 71 orang.

  • Rusia kata AS masih belum bebaskan kru Rusia dari kapal tangki dirampas

    Rusia berkata pada Sabtu, Amerika Syarikat (AS) belum memenuhi komitmennya untuk membebaskan dua warga Rusia yang ditahan sebagai sebahagian daripada kru kapal tangki minyak Marinera yang dirampas, kata pegawai Rusia kepada media kerajaan, menurut berita Anadolu.

    “Kami masih belum mendapat kejelasan mengenai bila pihak Amerika akhirnya akan memenuhi janjinya – pada tahap tertinggi – untuk membebaskan warga Rusia dari kru kapal tangki Marinera yang ditahan oleh Amerika,” kata Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergei Ryabkov, Anadolu memetik agensi berita Tass.

    Moscow mengatakan jaminan itu diberikan awal bulan ini setelah hubungan diplomatik peringkat tinggi antara kedua-dua negara, tetapi pembebasan itu belum dilakukan. Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova, juga menyatakan kekecewaan atas kelewatan itu dan menyifatkan perkara itu mendesak.

    Pegawai Rusia berulang kali mengatakan Presiden AS Donald Trump memutuskan untuk membebaskan dua anggota kru Rusia dari Marinera – keputusan yang dilaporkan diumumkan pada 9 Januari berikutan permintaan dari Moscow.

    Marinera telah dirampas oleh tentera AS pada 7 Januari di Lautan Atlantik Utara atas dakwaan pelanggaran sekatan AS, dan AS telah menyifatkan kapal tangki itu sebagai sebahagian daripada “armada bayangan” Venezuela yang mengangkut minyak tertakluk kepada sekatan AS.
    Jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt dilapor berkata rampasan itu dibenarkan oleh sekatan itu.