Vietnam

  • 52 dimasukkan ke hospital di Bandar HCM selepas disyaki keracunan banh mi

    Sekurang-kurangnya 52 orang, termasuk dua wanita hamil dan seorang dewasa muda yang mengalami kegagalan buah pinggang akut, dimasukkan ke hospital di Bandar HCM selepas makan bánh mì (sandwic Vietnam) dari sebuah kedai sandwic, dalam apa yang disyaki oleh pihak berkuasa sebagai kes keracunan makanan besar-besaran, lapor Vietnam News.

    Seorang wakil Hospital Besar Tam Anh dilapor berkata pada malam Jumaat bahawa hospital itu telah menerima 12 pesakit yang dikaitkan dengan wabak di Wad Hạnh Thong.
    Dua daripada pesakit berada di peringkat akhir kehamilan, pada usia kehamilan 30 dan 35 minggu.

    “Ramai daripada mereka berasal dari keluarga atau syarikat yang sama,” Huynh Van Muoi Mot, Timbalan Pengarah Jabatan Kecemasan dilapor berkata.

    “Kami mempunyai satu kes teruk dalam rawatan rapi dan seorang pesakit berusia 21 tahun yang mengalami kegagalan buah pinggang akut.”

    Salah seorang mangsa, yang dikenal pasti sebagai Puan L, dilapor berkata dia membeli bánh mì dari kedai itu pada 5 November untuk keluarganya, termasuk ibu, suami, anak lelaki dan pembantu rumahnya.

    Keempat-empat mereka mula mengalami sakit perut, cirit-birit dan demam sejurus selepas makan. Menjelang Jumaat, simptom mereka tidak bertambah baik, dan mereka dibawa ke hospital.

    Keluarga dan pekerja lain di sebuah syarikat yang memesan 20 bánh mì daripada penjual yang sama melaporkan simptom yang serupa; muntah, cirit-birit, sakit badan dan demam. Beberapa kemudian dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

    Doktor mendiagnosis kebanyakan pesakit dengan gastroenteritis akut dan kolitis yang disebabkan oleh jangkitan bakteria – tanda-tanda tipikal penyakit bawaan makanan.

    Seorang pegawai dari Hospital Tentera 175 dilapor berkata hospital itu telah merawat 40 lagi kes yang disyaki pada 6 November.

    Pesakit, berumur lapan hingga 83 tahun, termasuk pelajar, pekerja pejabat dan buruh kasar. Kebanyakannya menunjukkan demam, sakit perut dan dehidrasi.

    Seramai 38 telah dilaporkan dibenarkan keluar, manakala dua masih di bawah pemerhatian.

  • Taufan Kalmaegi: 5 maut, 7 cedera di Vietnam

    Taufan Kalmaegi menyebabkan lima orang terkorban dan tujuh orang cedera di seluruh Tanah Tinggi Tengah dan wilayah pesisir tengah, lapor Vietnam News.

    Wilayah Dak Lak dilaporkan mencatatkan tiga kematian dan dua kecederaan, manakala Wilayah Gia Lai melaporkan dua kematian dan dua kecederaan.

    Di Wilayah Quang Ngai, tiga orang dilaporkan cedera dan tiga yang lain dihanyutkan ke laut sekitar jam 3 petang pada Khamis selepas cuba menyelamatkan seorang yang telah terjun dari Pelabuhan Ly Son.

    Ribut itu menyebabkan 57 buah rumah runtuh, terdiri daripada 45 di Wilayah Gia Lai dan 12 di Wilayah Dak Lak dan merosakkan atau membuka bumbung 2,799 buah rumah (2,412 di Wilayah Gia Lai, 326 di Wilayah Dak Lak dan 61 di Wilayah Quang Ngai).

  • Angka maut akibat Taufan Kalmaegi di Filipina meningkat kepada 188

    Jumlah kematian di Filipina akibat Taufan Kalmaegi meningkat kepada 188 orang pada Jumaat ketika ia meninggalkan negara itu dan bergerak ke Vietnam, di mana ia mengorbankan dua orang, lapor Anadolu.

    Seramai 135 orang masih hilang dan 96 yang lain cedera akibat kemusnahan yang disebabkan oleh Kalmaegi, yang dikenali sebagai Tino di peringkat lokal, Diego Mariano, timbalan jurucakap Pejabat Pertahanan Awam (OCD) dilapor berkata, Anadolu memetik saluran media tempatan Inquirer.

    Bandar Cebu di Visayas Tengah menyumbang 139 kematian, manakala baki kematian dilaporkan di Wilayah Cebu, Negros Occidental, Negros Oriental, Agusan del Sur, Capiz dan Leyte Selatan, dengan masing-masing satu kematian di Antique, Iloilo, Guimaras, Bohol dan Leyte.

    Satu laporan rasmi mengatakan sejumlah 2,258,782 orang terjejas oleh taufan itu, dengan sekurang-kurangnya 397,634 masih berada di pusat pemindahan, lapor Anadolu.

    Sebelum meninggalkan Kawasan Tanggungjawab Filipina pada Khamis, sebuah wilayah yang ditetapkan di barat laut Lautan Pasifik di mana Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (PAGASA) memantau gangguan cuaca, Kalmaegi telah mendarat sebanyak lapan kali, mengakibatkan kerosakan di beberapa bahagian wilayah Visayas dan Mindanao.

    Sebanyak 9,585 buah rumah di seluruh negara dilaporkan rosak, termasuk 264 buah rumah yang musnah sepenuhnya.

    Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. telah mengisytiharkan keadaan bencana kebangsaan akibat kesan Taufan Kalmaegi dan sebagai persediaan untuk taufan yang akan datang, Anadolu memetik laporan media tempatan pada Khamis.

    Filipina dijangka dilanda Taufan Super Fung-wong, yang dikenali sebagai Uwan, pada hujung minggu.

    Kemusnahan itu berlaku selepas gempa bumi kuat berukuran 6.9 magnitud melanda Cebu pada 30 September, mengorbankan ramai orang dan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal.

    Dua orang terbunuh dan dua lagi cedera di wilayah Dak Lak, tengah Vietnam akibat Kalmaegi selepas ia mendarat di wilayah tengah lewat Khamis, lapor Anadolu memetik laman web Vietnam News, yang memetik laporan rasmi.

    Ribut itu merobohkan bumbung ratusan rumah, membanjiri banyak jalan raya, menumbangkan pokok dan tiang elektrik, mengganggu lalu lintas dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik berskala besar, menurut Anadolu memetik Vietnam News Agency dikendalikan oleh kerajaan.

    Dua belas buah rumah juga dikatakan musnah sepenuhnya, manakala lebih 500 rosak sebahagiannya.

    Lebih 9,000 orang dilaporkan telah dipindahkan dari kawasan berisiko.

    Anadolu melaporkan, menurut Perintah Pertahanan Awam Wilayah, menjelang pagi Jumaat, taufan itu telah menjadi lemah dan menjadi lekukan tropika.

  • Taufan Kalmaegi landa Vietnam selepas mengorbankan 114 di Filipina

    Taufan Kalmaegi melanda Vietnam pada Khamis, memaksa pihak berkuasa membatalkan ratusan penerbangan dan mengarahkan orang ramai untuk tinggal di dalam rumah, dua hari selepas ribut mula melanda Filipina, mengorbankan sekurang-kurangnya 114 orang, lapor Reuters.

    Pegawai dilaporkan menutup enam lapangan terbang dan kerajaan berkata lebih 260,000 orang di wilayah Gia Lai telah dipindahkan ke tempat selamat.

    Menurut Reuters, Kalmaegi merupakan ribut ke-13 yang melanda Vietnam tahun ini, dan antara yang paling kuat.

    Kerajaan dilapor berkata, ia telah menempatkan lebih 268,000 askar dalam keadaan bersedia untuk operasi mencari dan menyelamat.

    Ia memberi amaran tentang banjir di kawasan rendah dan kesan terhadap pertanian, termasuk di Central Highlands, wilayah penanaman kopi utama.

    Ketika ribut menghampiri, hotel dan rumah di sepanjang pantai Cua Dai dekat pekan purba Hoi An yang disenaraikan oleh UNESCO telah ditutup, menurut Reuters.

    Berhampiran bandar pesisir Hue, petani dilaporkan baru pulih daripada banjir minggu ini yang mengorbankan 47 orang.

    Petani padi Nguyen Van Rin, 42, dilapor berkata banjir terakhir telah menenggelamkan ternakan dan ayamnya.
    “Kalmaegi akan membanjiri kita buat kali keempat dan saya bimbang ia akan menjadi agak teruk,” katanya.

    Di Filipina, skala kemusnahan Kalmaegi menjadi lebih jelas pada Khamis apabila air banjir surut di wilayah Cebu yang paling teruk terjejas, mendedahkan rumah-rumah yang rata, kenderaan terbalik dan jalan-jalan yang dipenuhi serpihan.

    Terdapat 127 orang yang masih dilaporkan hilang sehingga lewat Khamis dan percubaan untuk mengagihkan bantuan dan mencari mayat terhalang oleh skala kerosakan yang ditinggalkan oleh Kalmaegi, ribut ke-20 yang melanda Filipina tahun ini, menurut Reuters.

    “Cabarannya sekarang ialah pembersihan serpihan … Ini perlu dibersihkan segera, bukan sahaja untuk mengambil kira mereka yang hilang yang mungkin berada di antara serpihan atau mungkin telah sampai ke kawasan selamat tetapi juga untuk membolehkan operasi bantuan diteruskan,” Raffy Alejandro, seorang pegawai kanan pertahanan awam, dilapor berkata kepada radio DZBB.

    Kemusnahan taufan di Cebu dikatakan berlaku lebih sebulan selepas gempa bumi berukuran 6.9 magnitud melanda pulau percutian itu, mengorbankan berpuluh-puluh orang dan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal.

    Peramal cuaca juga dilaporkan mengesan ribut yang sedang melanda di timur pulau Mindanao, Filipina yang boleh menjadi taufan dan melanda negara itu awal minggu depan.

    Sebahagian orang di Cebu kembali dan mendapati rumah mereka musnah pada Khamis, sementara yang lain memulakan pembersihan yang sukar, mengikis lumpur dari rumah mereka dan jalan-jalan.

    “Semuanya musnah. Hanya lantai yang tinggal. Semuanya hanyut. Kami tidak mempunyai barang-barang,” Liza Becus dilapor berkata sambil kembali ke apa yang tinggal di teratak dibinanya di Bandar Talisay, Cebu.

    Dia mengumpul kepingan logam dan besi untuk dijual supaya dia boleh membeli beras bagi menyara tujuh orang anaknya.

    “Anak-anak saya tidak mempunyai apa-apa,” dia dilapor berkata.

    “Uniform, beg, dan semua barang kami telah hilang.”

  • Banjir mengorbankan sekurang-kurangnya 55 orang di Vietnam, Papua Indonesia

    Banjir mengorbankan sekurang-kurangnya 55 orang di Vietnam dan Papua Indonesia, kata pegawai pada Selasa, Anadolu memetik laporan media.

    Empat puluh orang terkorban dan enam masih hilang, manakala 76 orang cedera dalam banjir baru-baru ini di Vietnam setakat Selasa, Anadolu memetik Voice of Vietnam.

    Sebanyak 104 rumah dilaporkan musnah atau dihanyutkan, 453 rosak, dan hampir 80,000 ditenggelami air.

    Lebih 10,800 hektar tanaman juga dilaporkan ditenggelami air, manakala lebih 68,500 ternakan dan ayam musnah semasa banjir.

    Kira-kira 15 orang, yang masih hilang selepas banjir kilat di wilayah Papua Indonesia pada Sabtu, ditemui mati, dan lapan orang masih hilang pada Selasa, kata Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, menurut penyiar tempatan Kompas TV, lapor Anadolu.

  • Angka maut akibat banjir di Vietnam meningkat kepada 37 orang ketika taufan baharu ancam burukkan lagi kemusnahan

    Penyelamat dan pekerja bantuan di tengah Vietnam bergegas untuk sampai ke kawasan terpencil dilanda banjir dan tanah runtuh, mengorbankan sekurang-kurangnya 37 orang, ketika satu lagi taufan dijangka mendarat pada akhir minggu ini, kata pegawai pada Isnin, menurut laporan AP.

    Hujan rekod selama beberapa hari yang bermula pada akhir Oktober dilaporkan telah mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh yang membanjiri kampung-kampung, menghanyutkan rumah dan menyebabkan puluhan ribu orang berpindah.

    Jumlah kematian akibat banjir dan tanah runtuh terbaharu itu meningkat kepada 37 orang pada Isnin, dengan lima orang hilang dan 78 cedera, pegawai dilapor berkata.

    Banyak kawasan kejiranan dilaporkan kekal tanpa bekalan elektrik atau terputus rangkaian data, termasuk di Danang.
    Terusan, tebing sungai dan pesisir pantai juga dikatakan terhakis, dan beberapa lebuh raya kebangsaan masih tersumbat.

    Sementara itu, Taufan Kalmaegi diramalkan akan semakin kuat apabila ia menuju ke pantai tengah Vietnam, dengan angin berpotensi mencapai kelajuan sehingga 166 kilometer sejam (103 batu sejam) apabila ia memasuki Laut China Selatan pada Rabu, selepas melintasi Filipina, menurut Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan Vietnam, lapor AP.

    Penyelamat telah sampai ke ramai penduduk yang terkandas lewat minggu lalu apabila air banjir surut seketika, tetapi menjelang pagi Isnin sungai-sungai dikatakan mula naik semula.

    Sungai Huong dan Bo di Bandar Hue dilaporkan mencapai paras berbahaya, dan pegawai memberi amaran hujan lebat dijangka berterusan di seluruh rantau itu, AP memetik media kerajaan.

    Media kerajaan dilaporkan berkata pihak berkuasa menghantar makanan, air bersih, ubat-ubatan dan tempat perlindungan sambil membantu keluarga membina semula rumah yang rosak.

    Pasukan-pasukan berusaha untuk membersihkan serpihan, memulihkan bekalan elektrik, air dan rangkaian pengangkutan serta mencegah wabak penyakit.

    Kerajaan juga sedang membaiki sistem pengairan dan menyokong petani untuk memulakan semula pengeluaran tanaman dan ternakan apabila air banjir surut.

    Vietnam telah dilanda ribut berterusan tahun ini, meninggalkan sedikit masa untuk pulih antara bencana.

    Taufan Ragasa menurunkan hujan lebat pada akhir September, kemudian Taufan Bualoi membadai pantai tengah dan Taufan Matmo mengakibatkan banjir di utara.

    Secara keseluruhannya, ketiga-tiga ribut itu telah menyebabkan lebih 85 orang maut atau hilang dalam tempoh dua minggu, dan menyebabkan anggaran kerugian sebanyak $1.36 bilion.

    Vietnam merupakan antara negara yang paling kerap dilanda banjir di dunia, dengan hampir separuh penduduknya tinggal di kawasan berisiko tinggi.

    Saintis memberi amaran, iklim yang semakin panas menyebabkan ribut dan hujan di seluruh Asia Tenggara, menjadikan banjir seperti tahun ini semakin merosakkan dan kerap berlaku.

  • Tanah runtuh menyebabkan seorang maut di tengah Vietnam

    Tanah runtuh dicetuskan hujan berterusan menyebabkan seorang maut dan merosakkan ladang ternakan di bandar Da Nang, tengah Vietnam pada pagi Isnin, berita Xinhua memetik laporan Agensi Berita Vietnam.

    Menurut laporan itu, Xinhua melaporkan, tanah runtuh itu menyebabkan tanah dan batu meluncur menuruni lereng gunung sepanjang kira-kira 2 km, dan kira-kira 5 km dari kawasan perumahan.

    Pihak berkuasa tempatan dan pasukan penyelamat dilaporkan telah menemui mayat mangsa dan sedang memindahkan penduduk yang tinggal dekat kawasan terjejas ke tempat lebih selamat.

  • Takungan air pecah, seorang maut di tengah Vietnam

    Sebuah takungan air yang dibina di atas gunung di wilayah Lam Dong, Central Highlands, Vietnam pecah pada malam Sabtu, menghanyutkan tiga sekeluarga dan mengorbankan anak perempuan mereka, berita Xinhua memetik laporan media tempatan VnExpress pada Ahad.

    Ibu bapa dilaporkan berpaut pada dahan pokok dan diselamatkan semalaman oleh penduduk dan pasukan tempatan, manakala mayat anak perempuan berusia 13 tahun itu ditemui awal Ahad kira-kira 600 meter dari rumah mereka.

    Pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat punca kejadian.

    Hujan lebat sejak kebelakangan ini dilaporkan telah meningkatkan paras air sungai dan takungan air di seluruh rantau itu, mencetuskan tanah runtuh, membanjiri lebuh raya, dan mengganggu lalu lintas di beberapa kawasan.

  • Jumlah kematian meningkat kepada 35 orang dalam banjir di tengah Vietnam

    Jumlah kematian akibat hujan lebat dan banjir di wilayah tengah Vietnam meningkat kepada 35 orang, dengan 5 orang hilang dan 60 yang lain cedera, lapor Xinhua memetik Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Vietnam pada Ahad.

    Lebih 16,500 rumah dilaporkan masih ditenggelami air, manakala 361 yang lain rosak.

    Banjir itu juga dilaporkan menenggelamkan lebih 5,300 hektar tanaman padi dan tanaman lain, merosakkan hampir 800 hektar pokok buah-buahan, dan membunuh atau menghanyutkan lebih 42,000 ternakan dan ayam.

    Bekalan elektrik telah dipulihkan untuk kebanyakan kawasan yang terjejas, dengan kira-kira 75,000 isi rumah masih terputus bekalan elektrik.

    Kerajaan Vietnam telah meluluskan dana bantuan kecemasan sebanyak 450 bilion dong Vietnam (kira-kira 17.93 juta dolar AS) untuk menyokong empat bandar dan wilayah di tengah Vietnam dalam usaha pemulihan, termasuk Hue, Da Nang, Quang Tri, dan Quang Ngai.