USA

  • Tanah runtuh di Indonesia: Pencarian 16 mangsa hilang masuk hari ke-8 ketika angka maut meningkat kepada 64

    Angka maut akibat tanah runtuh minggu lalu di Indonesia meningkat kepada 64 orang, ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada hari kelapan untuk 16 mangsa hilang di Jawa Barat, menurut berita Anadolu memetik laporan agensi berita kerajaan Antara pada Sabtu.

    Empat lagi mayat ditemui dari lokasi kejadian, menjadikan jumlah kematian yang disahkan kepada 64 orang, manakala kira-kira 16 orang masih belum dikesan, Ade Dian Permana, ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Bandung dilapor berkata.

    Menurutnya, operasi mencari diteruskan pada hari kelapan, menggunakan anjing pengesan dan peralatan berat, dengan kira-kira 3,675 anggota dikerahkan.

    Setakat ini, 49 mayat telah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga mereka, dan 75 orang telah diselamatkan dengan selamat.

    Tanah runtuh itu melanda sebuah kampung di daerah Bandung Barat Sabtu lalu, menimbus berpuluh-puluh rumah di bawah lumpur dan serpihan.

    Usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan di kawasan terjejas, yang ditandai dengan rupa bumi sukar.

  • Jumlah kematian meningkat kepada 36 dalam kejadian feri karam di selatan Filipina

    Pengawal Pantai Filipina (PCG) melaporkan pada Sabtu, jumlah kematian akibat feri karam di selatan Filipina meningkat kepada 36 orang selepas lima lagi mayat ditemui, menurut berita Xinhua.

    Operasi mencari dan menyelamat yang sedang dijalankan masih tertumpu pada usaha mencari MV Trisha Kerstin 3 yang karam dan mana-mana mangsa yang masih hilang, PCG dilapor sebagai berkata.

    Menurut Xinhua, PCG mengesahkan 316 orang terselamat. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum menyatakan dengan tepat berapa ramai individu yang masih belum dikenal pasti selepas kejadian karam pada Isnin.

    Kapal itu karam di luar wilayah Basilan awal Isnin semasa dalam perjalanan dari bandar Zamboanga ke Pulau Jolo di wilayah Sulu.

  • Hampir 700 orang mati akibat HIV/AIDS di Kemboja pada 2025

    Hampir 700 orang meninggal dunia akibat HIV/AIDS di Kemboja pada 2025, menurun 30 peratus daripada 2024, menurut laporan tahunan Kementerian Kesihatan pada Sabtu, berita Xinhua melaporkan.

    “Antara kematian akibat AIDS tahun lalu ialah 688 orang dewasa dan sembilan kanak-kanak,” kata laporan itu.

    Negara Asia Tenggara itu mencatatkan kira-kira 1,200 jangkitan HIV baharu pada 2025, kata laporan itu, sambil menambah bahawa kadar jangkitan baharu adalah 0.07 daripada 1,000 orang.

    Menurut laporan itu, negara itu mempunyai kira-kira 76,000 orang yang hidup dengan HIV/AIDS, di mana 71,697 daripadanya telah menerima ubat antiretroviral.

    Kemboja komited untuk menamatkan AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030, kata laporan itu.

    Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dilapor berkata dalam satu perutusan sempena Hari AIDS Sedunia pada 1 Disember 2025, bahawa lebih 4,000 orang masih tidak menyedari bahawa mereka dijangkiti HIV, dan belum menerima ubat antiretroviral.

    Dia berkata kerajaan komited untuk mengurangkan jangkitan HIV baharu kepada lebih 200 kes dan kematian kepada kurang daripada 200 kes setahun.

  • 12 terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Gaza

    Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Gaza pada Sabtu, lapor pelbagai sumber, memetik pegawai hospital di kawasan terbabit, menurut berita Xinhua.

    Serangan itu melanda lokasi di utara dan selatan Gaza, termasuk sebuah bangunan pangsapuri di bandar Gaza dan sebuah khemah di Khan Younis.

    Kematian termasuk dua wanita dan enam kanak-kanak daripada dua keluarga yang berbeza, kata laporan itu.

    Pihak berkuasa kesihatan Gaza telah merekodkan lebih 500 rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025.

  • 2 kes virus Nipah dilaporkan di India

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pada Jumaat, dua kes jangkitan virus Nipah (NiV) yang disahkan makmal telah dilaporkan di India, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, dalam Berita Wabak Penyakit terkini, WHO berkata Pusat Tumpuan IHR Kebangsaan untuk India pada Isnin memaklumkannya mengenai dua kes yang dikesan di Negeri Bengal Barat.

    Jangkitan itu disahkan di Institut Virologi Kebangsaan di Pune pada 13 Januari, kata WHO, dengan menyatakan kedua-dua kes melibatkan petugas penjagaan kesihatan di sebuah hospital swasta.

    Pihak berkuasa India telah mengenal pasti dan menguji lebih 190 kontak, yang semuanya diuji negatif, dan tiada lagi kes yang dikesan setakat ini, menurut WHO.

    Peristiwa ini mewakili wabak NiV ketiga yang dilaporkan di Bengal Barat berikutan wabak sebelumnya pada 2001 dan 2007. Pengawasan yang dipertingkatkan dan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan sedang dijalankan sementara siasatan terhadap sumber pendedahan diteruskan.

    Jangkitan NiV merupakan penyakit zoonotik yang serius tetapi jarang berlaku yang berjangkit antara haiwan dan manusia dan, dalam beberapa keadaan, melalui sentuhan manusia ke manusia.

    WHO menilai risiko yang ditimbulkan oleh Nipah adalah sederhana di peringkat sub-nasional, dan rendah di peringkat kebangsaan, serantau dan global.

  • AS luluskan lebih $6.5B dalam kemungkinan jualan ketenteraan kepada Israel

    Jabatan Negara AS meluluskan potensi jualan ketenteraan asing kepada Israel berjumlah kira-kira $6.52 bilion, kata Pentagon pada Jumaat, menurut berita Anadolu.

    Kelulusan itu termasuk kemungkinan penjualan helikopter AH-64E Apache dan peralatan berkaitan bernilai anggaran $3.8 bilion, kata Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan dalam satu kenyataan, menurut Anadolu, Boeing dan Lockheed Martin akan menjadi kontraktor utama.

    Menurut laporan Anadolu, secara berasingan, jabatan itu meluluskan kemungkinan penjualan Kenderaan Taktikal Ringan Bersama dan peralatan berkaitan bernilai kira-kira $1.98 bilion. AM General LLC dilaporkan akan menjadi kontraktor utama.

    “Penjualan yang dicadangkan akan meningkatkan keupayaan Israel untuk menghadapi ancaman semasa dan masa hadapan dengan meningkatkan mobiliti tentera daratnya semasa operasi,” kata agensi itu.

    Menurut laporan Anadolu, Jabatan Negara juga meluluskan potensi penjualan pek kuasa Pengangkut Personel Berperisai Namer tanpa transmisi, bersama-sama dengan sokongan logistik bersepadu dan peralatan berkaitan, dengan anggaran nilai $740 juta. Rolls-Royce Solutions America dilaporkan akan bertindak sebagai kontraktor utama.

    AS telah lama dikritik kerana memberikan sokongan kepada Israel dalam perangnya di Gaza, di mana lebih 71,600 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh sejak Oktober 2023.

    Beberapa penggubal undang-undang Amerika, termasuk Senator Bernie Sanders, dilaporkan kerap membuat gesaan agar kerajaan AS berhenti membekalkan senjata kepada Israel dan bersubahat dalam perang Israel di Gaza.

  • Lebih 200 dilapor terbunuh dalam runtuhan lombong coltan di timur Congo

    Lebih 200 orang terbunuh minggu ini dalam runtuhan di lombong coltan Rubaya di timur Republik Demokratik Congo, lapor Reuters memetik Lumumba Kambere Muyisa, jurucakap gabenor dilantik pemberontak di wilayah tempat lombong itu terletak, yang memberitahunya pada Jumaat.

    Rubaya menghasilkan sekitar 15% coltan dunia, yang diproses menjadi tantalum, logam tahan haba yang mendapat permintaan tinggi oleh pembuat telefon bimbit, komputer, komponen aeroangkasa dan turbin gas, menurut Reuters, tapak itu, tempat penduduk tempatan menggali secara manual dengan harga beberapa dolar sehari, telah berada di bawah kawalan kumpulan pemberontak AFC/M23 sejak 2024.

    Runtuhan itu berlaku pada Rabu dan jumlah sebenar masih belum jelas sehingga petang Jumaat, menurut laporan Reuters.

    “Lebih 200 orang menjadi mangsa tanah runtuh ini, termasuk pelombong, kanak-kanak dan wanita pasar. Beberapa orang diselamatkan tepat pada masanya dan mengalami kecederaan parah,” kata Muyisa, sambil menambah bahawa kira-kira 20 orang yang cedera sedang dirawat di kemudahan kesihatan.

    “Kita sedang berada di musim hujan. Tanahnya rapuh. Tanah itulah yang runtuh ketika mangsa berada di dalam lubang itu.”

    Seorang penasihat gabenor berkata jumlah kematian yang disahkan adalah sekurang-kurangnya 227 orang, menurut Reuters, dia bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana dia tidak dibenarkan untuk memberi taklimat kepada media.

    Menurut Reuters, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan AFC/M23 telah merompak kekayaan Rubaya untuk membantu membiayai pemberontakannya, yang disokong oleh kerajaan negara jiran Rwanda, satu dakwaan yang dinafikan oleh Kigali.

    Pemberontak bersenjata berat, yang tujuannya dinyatakan adalah untuk menggulingkan kerajaan di Kinshasa dan memastikan keselamatan minoriti Tutsi Congo, menawan lebih banyak wilayah yang kaya dengan mineral di timur Congo semasa kemaraan kilat tahun lalu.

  • Peserta protes di Tirana berdemonstrasi menentang lawatan perdana menteri Albania ke Israel

    Penunjuk perasaan berkumpul di ibu negara Albania pada Jumaat untuk membantah lawatan Perdana Menteri Edi Rama baru-baru ini ke Israel, berhimpun untuk menyokong rakyat Palestin dan mengutuk lawatan itu sebagai tidak mewakili pendapat umum, lapor berita Anadolu.

    Protes yang dianjurkan oleh kumpulan masyarakat sivil di bawah slogan, “Bukan atas Nama Saya,” dilaporkanberlangsung di hadapan bangunan parlimen.

    Peserta menyuarakan bantahan terhadap lawatan Rama ke Israel dari 25 hingga 27 Januari.

    Peserta protes membawa sepanduk yang tertulis: “Bukan atas Nama Saya”, “Anda Jangan Berjabat Tangan Dengan Penindasan dan Barbarisme” dan “Hentikan Pengeboman Gaza”.

    Seorang penganjur, Floriar Arapi, dilaporkan berkata rakyat Albania menyokong keamanan dan keadilan, bukan genosid atau jenayah perang.

    “Lawatan Perdana Menteri Rama ke Israel adalah satu noda besar rasa malu bagi rakyat kita,” kata Arapi.

    “Rama telah meletakkan Albania di sisi gelap ketidakadilan, jenayah, dan pembunuhan kanak-kanak dan wanita, yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam sejarahnya. Pada masa hampir semua negara di seluruh dunia telah menjauhkan diri daripada (Perdana Menteri Israel Benjamin) Netanyahu dan mengisytiharkan mereka akan menangkapnya jika dia memasuki wilayah mereka, Rama berkata dia berbangga bertemu dengannya.”

    Menurut Anadolu, peserta protes Sidorela Vatnikaj memberitahunya, penunjuk perasaan berkumpul untuk menjelaskan bahawa lawatan Rama tidak mewakili mereka.

    “Berjabat tangan dengan penjenayah perang seperti Netanyahu bukan atas nama kami. Kami ingin mengatakan bahawa sebagai rakyat Albania, kami telah berada di bawah genosid pada tahun 90-an di Kosovo. Kami tahu apa ertinya menjadi mangsa genosid dan kami ingin membantah genosid yang sedang berlaku sekarang di Gaza.”

    Vatnikaj berkata, peserta protes marah dan bimbang mengenai syarikat yang berpangkalan di Israel yang dijemput untuk melabur di Albania, menggelarnya “penjajahan, bukan perkongsian”, memandangkan keadaan semasa.

    Seorang lagi peserta protes, Orgest Rrushi, mengkritik lawatan Rama ke parlimen Israel dan kenyataannya, dengan mengatakan bahawa rakyat Albania tidak berkongsi pendirian yang dinyatakan oleh perdana menteri.

    “Kami tidak mahu perang berterusan. Kami tidak mahu kanak-kanak dibunuh lagi,” kata Rrushi.

    “Itulah sebabnya protes atau perhimpunan ini di sini hari ini dipanggil ‘Bukan atas Nama Kami’, yang bermaksud anda boleh bercakap tetapi anda boleh bercakap untuk diri sendiri.”

    Perarakan yang dirancang dari parlimen telah disekat oleh polis, lapor Anadolu.

    Menurut laporan Anadolu, Rama semasa lawatannya, berucap pada sesi khas parlimen Israel pada Isnin, menggambarkan Knesset sebagai “tempat yang sangat istimewa” dan mengatakan bahawa ia adalah “satu penghormatan besar” untuk berucap di sana.

    Dia menggunakan bahasa yang penuh pujian terhadap Netanyahu, yang kemudiannya memuji Rama sebagai “sahabat baik orang Yahudi dan Israel” atas sokongannya.

    Ucapan Rama diboikot oleh penggubal undang-undang Arab, manakala ramai penggubal undang-undang Israel juga tidak hadir dalam sesi itu, menurut Anadolu.

    Perdana Menteri Albania itu tidak mengkritik genosid Israel di Jalur Gaza yang telah berlaku sejak Oktober 2023, menurut Anadolu, dia sebaliknya menyalahkan kumpulan penentang Palestin, Hamas, kerana Gaza menjadi “penjara bebas terbuka”.

  • Ketegangan meningkat di Timur Tengah ketika AS ancam serang Iran

    AS menghantar sebuah lagi kapal perang ke Timur Tengah selepas Presiden Donald Trump berkata sebuah “armada besar-besaran” sedang bergerak ke arah Iran, lapor CBS pada Khamis, menurut berita Anadolu.

    Trump mengulangi bahawa “banyak kapal yang sangat besar, sangat berkuasa” sedang belayar ke Iran sekarang. “Adalah lebih baik jika kita tidak perlu menggunakannya,” dia dilaporkan sebagai berkata.

    Ditanya mesej apa yang dikongsinya dengan Iran, Trump berkata: “Saya memberitahu mereka dua perkara: nombor satu, tiada nuklear, dan nombor dua, berhenti membunuh peserta protes.”

    Pentagon dengan pantas mengerahkan kumpulan serangan kapal induk, skuadron pejuang canggih dan bateri pertahanan peluru berpandu dalam perubahan ketara postur pasukan serantau di tengah-tengah ketegangan yang meningkat dengan Tehran.

    Bagaimanapun, tentera Iran telah memberi amaran bahawa sebarang serangan ke atas negara itu akan disambut dengan “tindak balas yang tegas dan pantas,” seperti yang dikatakan oleh Naib Presiden Iran, Mohammad Reza Aref pada Khamis bahawa kerajaan menganggap dirinya berada dalam “keadaan kesediaan perang”.

    Aref dilapor berkata, Iran “tidak akan menjadi pencetus perang” tetapi akan mempertahankan dirinya “dengan kekuatan penuh” sambil menambah bahawa pengakhiran mana-mana perang “tidak akan ditentukan oleh musuh”, dalam rujukan yang jelas kepada AS dan Israel.

    Briger Jeneral Mohammad Akraminia, jurucakap tentera, memberi amaran bahawa jika “musuh” membuat “langkah bodoh dan salah perhitungan sekali lagi”, ia akan disambut dengan tindak balas “dalam masa nyata dan tanpa berlengah”.

    Menurut laporan Anadolu, pegawai pertahanan dan perisikan dari Arab Saudi dan Israel akan melawat AS minggu ini untuk membincangkan Iran di tengah-tengah peningkatan ketenteraan AS di rantau itu.

    Ketua Direktorat Perisikan Tentera Israel, Mejar Jeneral Shlomi Binder, telah menjalankan beberapa siri rundingan peringkat tinggi pada Selasa dan Rabu dengan kepimpinan tertinggi di Pentagon, CIA dan Rumah Putih, menurut dua pegawai Amerika, lapor Anadolu.

    Lawatan itu dikatakan tertumpu pada penyampaian risikan khusus yang diminta oleh pentadbiran Trump, termasuk data mengenai sasaran serangan yang berpotensi di Iran.

    Menteri Pertahanan Saudi, Putera Khalid bin Salman dilapor berkata, dia telah bertemu dengan Setiausaha Negara Marco Rubio, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth dan utusan khas Presiden AS Donald Trump, Steve Witkoff.

    “Kami membincangkan usaha kami untuk memajukan keamanan dan kestabilan serantau dan global,” kata ketua pertahanan Saudi itu, yang dijangka akan meneruskan rundingan pada Jumaat untuk menekankan saluran diplomatik dengan tiga tokoh AS serta pegawai Pentagon.

    Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengadakan mesyuarat keselamatan pada Khamis dengan penasihat kanan dan pegawai dari institusi pertahanan untuk membincangkan apa yang digambarkan sebagai “topik sulit”.

    Diadakan di Baitulmaqdis Barat, ia memberi tumpuan kepada kemungkinan serangan AS ke atas Iran, Anadolu memetik The Times of Israel.

    Pegawai Israel dilaporkan percaya bahawa serangan terhad tidak akan membawa kepada kejatuhan kerajaan Iran dan berpendapat bahawa Presiden AS Donald Trump berkongsi pandangan yang sama. Atas sebab ini, mereka menilai bahawa potensi serangan AS ke atas Iran akan memberi tumpuan terutama kepada program nuklear dan peluru berpandunya, kata laporan itu, seperti dilaporkan Anadolu.

  • Ketua keselamatan Iran beri amaran tentera EU boleh dianggap sebagai ‘pengganas’ selepas penetapan IRGC

    Ketua keselamatan Iran, Ali Larijani pada Jumaat memberi amaran, tentera Eropah boleh ditetapkan sebagai “pengganas” di bawah undang-undang Iran susulan keputusan EU untuk menyenaraikan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran sebagai organisasi pengganas, lapor berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, Larijani dalam satu catatan di X, berkata EU “pasti tahu” bahawa di bawah resolusi yang diterima pakai oleh parlimen Iran, angkatan tentera negara-negara yang mengambil bahagian dalam langkah EU baru-baru ini menentang IRGC sendiri akan dianggap sebagai organisasi pengganas.

    “Kesatuan Eropah pasti tahu bahawa, selaras dengan resolusi parlimen Iran, tentera negara-negara yang mengambil bahagian dalam keputusan EU baru-baru ini menentang Kor Pengawal Revolusi Islam akan dianggap sebagai pengganas,” kata Larijani, seperti dilaporkan.

    Dia menambah bahawa “akibat tindakan sedemikian akan jatuh ke atas negara-negara Eropah yang mengambil langkah ini.”

    Amaran itu datang sehari selepas menteri luar EU mencapai persetujuan politik untuk menetapkan IRGC sebagai organisasi pengganas, satu langkah yang diumumkan oleh ketua dasar luar EU, Kaja Kallas, yang mengatakan keputusan itu diambil sebagai tindak balas terhadap apa yang digambarkannya sebagai penindasan oleh pihak berkuasa Iran.

    Iran pada Khamis menuduh EU “mengobarkan api” ketegangan serantau, dengan mengatakan Eropah sedang meningkatkan keadaan dengan menyasarkan pasukan tentera negara Iran dan bertindak selaras dengan tekanan AS, di tengah-tengah amaran kejatuhan serantau yang lebih luas.

    Kenyataan itu datang ketika ketegangan meningkat antara Tehran dan Washington dalam beberapa minggu kebelakangan ini, susulan kenyataan Presiden AS Donald Trump bahawa “armada besar-besaran” sedang bergerak ke arah Iran, di samping seruannya agar Tehran “datang ke meja” untuk rundingan.