USA

  • Angka maut di Lubnan meningkat kepada 1,530

    Sekurang-kurangnya 1,530 orang terbunuh dalam serangan Israel di seluruh Lubnan sejak 2 Mac, menurut angka terkini daripada Kementerian Kesihatan Lubnan, lapor Al Jazeera.

    Seramai 4,812 orang lagi cedera dalam tempoh yang sama, kata kementerian itu.

  • Jumlah kematian di Iran hari ini cecah 35 orang

    Jumlah orang yang terkorban dalam serangan di seluruh Iran setakat hari ini meningkat kepada 35 orang, lapor Al Jazeera.

    Ini membabitkan 18 orang yang terkorban di wilayah Alborz, sembilan di Shahriar, enam di Pardis dan dua di Kashan.

  • Trump ancam “seluruh tamadun Iran akan mati malam ini” ketika perang semakin memuncak

    Presiden AS Donald Trump mengancam pada pagi Selasa bahawa “seluruh tamadun Iran akan mati malam ini” tarikh akhir yang ditetapkannya untuk Iran membuat perjanjian dan membuka semula Selat Hormuz, menandakan kemungkinan peningkatan mendadak dalam perang AS-Israel dengan Iran, lapor Xinhua.

    “Seluruh tamadun akan mati malam ini, tidak akan dapat dibangkitkan semula. Saya tidak mahu perkara itu berlaku, tetapi ia mungkin akan berlaku,” tulis Trump dalam catatan di platform media sosialnya Truth Social.

  • Rusia serang 153 sasaran di seluruh Ukraine – kementerian pertahanan

    Rusia menyerang 153 sasaran di seluruh Ukraine, termasuk lapangan terbang tentera, kata Kementerian Pertahanan Rusia pada Selasa, menurut berita Xinhua.

    Angkatan Tentera Rusia menyerang “infrastruktur tenaga dan pengangkutan berkaitan tentera Ukraine, perusahaan yang menghasilkan sistem dan komponen kawalan peluru berpandu jelajah, serta lapangan terbang tentera dan bengkel pemasangan,” kata kementerian itu.

    “Serangan itu turut menyasarkan tapak penyimpanan kenderaan udara tanpa pemandu dan bot tanpa pemandu, berserta titik penempatan sementara formasi bersenjata Ukraine dan tentera upahan asing,” katanya, sambil menambah bahawa ia telah menembak jatuh 217 dron sayap tetap di sepanjang barisan hadapan sejak 24 jam lalu.

  • Tentera Israel lapor 36 askar cedera di Lubnan dalam 48 jam, jumlah askar cedera 411

    Tentera Israel menyatakan 36 askar telah cedera di Lubnan sejak dua hari lalu, lapor Al Jazeera memetik wartawannya di Lubnan, Zeina Khodr.

    Di samping itu, dia menyatakan 411 askar telah cedera sejak permulaan perang, termasuk 27 parah dan 60 sederhana.

  • IRGC: Tindak balas kami akan melangkaui rantau jika AS lintas ‘garisan merah’

    Menurut Al Jazeera, media berkaitan dengan kerajaan Iran melaporkan kenyataan daripada Pengawal Revolusi, di mana ia mengatakan bahawa ia tidak akan teragak-agak untuk bertindak balas sama jika AS menyerang kemudahan awam.

    Presiden AS dilapor berkata, dia akan menyerang loji kuasa dan jambatan Iran dalam beberapa jam sahaja jika Iran tidak bersetuju untuk membuka Selat Hormuz.

    “Kami akan melakukan kepada infrastruktur Amerika dan rakan kongsinya apa yang akan menghalang mereka dan sekutu mereka daripada minyak dan gas rantau ini selama bertahun-tahun”, menurut kenyataan itu.

    “Para pemimpin Amerika kekurangan keupayaan untuk mengira aset kritikal yang akan berada dalam jangkauan pejuang kami jika mereka menyerang infrastruktur kami”, tambahnya.

    “Tindak balas kami akan melangkaui rantau ini jika tentera AS melintasi garisan merah kami.”

  • Bangunan di Petah Tikva runtuh selepas tembakan bertubi-tubi hentam tengah Israel

    Menurut Al Jazeera, Israel Hayom melaporkan sebuah bangunan runtuh di Petah Tikva, Israel selepas tembakan bertubi-tubi roket dari Iran menghentam tengah negara itu.

    Kerosakan juga dilaporkan di Givat Shmuel.

    Menurut Al Jazeera, akhbar Maariv memetik datuk bandar Petah Tikva sebagai berkata kira-kira 150 tapak impak telah direkodkan di bandar itu sejak bermulanya perang pada 28 Februari lalu. Lebih 1,000 pangsapuri rosak, dua orang terbunuh dan kira-kira 160 orang meninggalkan rumah mereka.

    Menurut Al Jazeera, saluran berita Kann pula melaporkan tiga tapak impak di bandar pantai utara Nahariya susulan serangan dari Lubnan. Sebuah kenderaan terbakar, tanpa menyebabkan sebarang kecederaan.

  • 2 maut selepas Israel dilapor hentam jambatan kereta api di Kashan Iran

    Menurut laporan Al Jazeera, agensi berita Mehr Iran melaporkan serangan Israel melanda jambatan kereta api Yahya Abad di bandar Kashan, di tengah Iran.

    Agensi berita itu memetik Timbalan Gabenor Isfahan sebagai berkata, serangan itu telah membunuh dua orang.

    Serangan itu berlaku selepas tentera Israel mengeluarkan amaran kepada rakyat Iran agar tidak menggunakan kereta api untuk “keselamatan” mereka sehingga jam 9 malam waktu tempatan (17:30 GMT).

  • Tiga suspek dilapor terbunuh dalam berbalas tembak dekat konsulat Israel di Istanbul

    Menurut berita Al Jazeera, media Turki melaporkan kejadian tembakan dekat Konsulat Israel di daerah Besiktas, Istanbul telah berlaku.

    Al jazeera melaporkan CNN Turk, memetik kenyataan daripada jabatan polis Istanbul, tiga suspek terbunuh selepas tindak balas keselamatan segera.

    Menurut laporan itu, kejadian berbalas tembak itu menyebabkan dua pegawai polis cedera.

  • Iran seru UNESCO kutuk ancaman Israel untuk serang sistem kereta api

    Menteri Warisan Budaya Iran menghantar surat rasmi kepada Ketua Pengarah UNESCO, menyeru agensi PBB untuk mengutuk ancaman Israel untuk menyerang sistem kereta api negara itu, lapor Aljazeera memetik agensi berita ISNA.

    Landasan kereta api trans-Iran sepanjang 1,394 kilometer yang menghubungkan Laut Kaspia di timur laut dengan Teluk Parsi di barat daya telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 2021 “atas skalanya dan kerja-kerja kejuruteraan yang diperlukan untuk mengatasi laluan curam dan kesukaran lain,” menurut Al Jazeera memetik laman web UNESCO.

    Menteri itu menyifatkan ancaman terbabit sebagai serangan terhadap warisan bersama manusia dan menyeru agensi PBB untuk segera mengambil pendirian jelas untuk menghalang tindakan ketenteraan Israel, Al Jazeera memetik ISNA.