Uruguay

  • 2 anggota pengaman PBB cedera dalam serangan di Republik Afrika Tengah

    Dua anggota pengaman PBB cedera apabila konvoi pengiring logistik Misi Penstabilan Bersepadu Multidimensi PBB di Republik Afrika Tengah (MINUSCA) diserang oleh suspek anggota kumpulan bersenjata di wilayah Haut-Mbomou pada Isnin, kata jurucakap PBB, menurut laporan Xinhua.

    Dua anggota pengaman yang cedera, yang berasal dari Nepal, dipindahkan ke Bangui untuk menerima rawatan sewajarnya dan berada dalam keadaan stabil, kata Farhan Haq, timbalan jurucakap setiausaha agung PBB, pada taklimat harian, menurut Xinhua.

  • Tentera Thailand tetapkan Teluk Thailand sebagai kawasan berisiko tinggi

    Tentera Thailand mengumumkan pada Isnin penetapan Teluk Thailand sebagai kawasan berisiko tinggi, lapor Xinhua, menurut media Thailand, langkah itu bertujuan untuk memutuskan laluan laut bagi mengangkut bekalan tentera ke Kemboja.

    Menurut Xinhua, dalam catatan media sosial pada Isnin, Ibu Pejabat Angkatan Tentera Diraja Thailand menjelaskan bahawa langkah itu adalah langkah berjaga-jaga keselamatan.

    Ia menekankan bahawa langkah itu tidak bermakna penutupan sepenuhnya teluk itu, dan tidak akan menjejaskan kapal dari negara ketiga.

    Pada sidang akhbar mengenai situasi sempadan Thailand-Kemboja yang diadakan pada Isnin, jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura, berkata kementerian itu telah menghantar surat kepada Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia untuk membuat aduan terhadap serangan sembarangan Kemboja ke atas Thailand, termasuk serangan yang menyasarkan kawasan awam, lapor Xinhua.

  • 15 banduan mati di penjara Ecuador di tengah-tengah kebimbangan wabak tuberkulosis

    Pihak berkuasa penjara Ecuador pada Isnin berkata 15 banduan di penjara Litoral di bandar Guayaquil ditemui mati antara Khamis dan Ahad, menurut Reuters.

    Menurut Reuters, agensi itu berkata punca kematian akan ditentukan oleh pihak berkuasa perubatan, dan menyatakan mayat banduan tidak menunjukkan tanda-tanda keganasan.

    Ahli keluarga banduan di Penitenciaria del Litoral berkata penjara itu telah menjadi tapak wabak tuberkulosis awal tahun ini, menurut laporan Reuters.

    Pihak berkuasa penjara Ecuador pada November berkata 10 banduan di penjara Litoral ditemui mati, dan menamakan tuberkulosis sebagai kemungkinan punca sementara menunggu keputusan siasatan forensik, menurut Reuters, pihak berkuasa tidak mengulas secara terbuka lagi tentang punca kematian dalam kejadian itu.

    Penjara itu telah menjadi tapak pelbagai episod keganasan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk sekurang-kurangnya 31 kematian pada November selepas seharian rusuhan, menurut Reuters.

  • Hujan lebat banjiri ratusan khemah penduduk Gaza di tengah-tengah cuaca buruk

    Hujan lebat membanjiri ratusan khemah yang melindungi orang awam kehilangan tempat tinggal di Jalur Gaza pada Isnin dan menyebabkan beberapa kecederaan, kata sumber Palestin, menurut Anadolu.

    Seorang wanita mengalami kecederaan sederhana selepas dinding rumah runtuh menimpa khemahnya di barat bandar Gaza, sumber perubatan dilapor berkata kepada Anadolu.

    Anadolu melaporkan, menurut saksi, beratus-ratus khemah yang melindungi keluarga kehilangan tempat tinggal telah dibanjiri di kawasan Chalet, barat bandar Gaza, ketika wilayah itu dilanda oleh sistem tekanan rendah baharu.

    Saksi dilapor berkata, angin kencang menyebabkan kerosakan meluas kepada berpuluh-puluh khemah dan menerbangkan banyak daripadanya, ketika penduduk cuba mengamankan khemah mereka dan menyelamatkan barang-barang mereka daripada banjir.

  • Ukraine serang kapal selam Rusia dalam serangan dron bawah air pertama

    Dron bawah air Ukraine menyerang dan melumpuhkan kapal selam serangan kelas Kilo Rusia di pangkalan Laut Hitam tentera laut Rusia, dalam operasi pertama seumpamanya, menurut laporan Reuters memetik pegawai Ukraine pada Isnin.

    Serangan oleh Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) dengan dron “Sub Sea Baby” melanda kapal selam di pelabuhan Novorossiysk di mana Rusia telah meletakkan semula banyak kapal tentera laut untuk meletakkannya di luar jangkauan serangan Ukraine, lapot Reuters.

    Rakaman yang diterbitkan oleh SBU menunjukkan letupan kuat meletus dari air di jeti berhampiran tempat kapal selam dan kapal lain berlabuh, menurut Reuters.

    Menurut Reuters, Alexander Kamyshin, penasihat Presiden Volodymyr Zelenskiy, menulis di X, ia adalah kali pertama dalam sejarah dron bawah air telah meneutralkan kapal selam.

    Ukraine, yang hampir tidak mempunyai armada tentera laut yang tinggal, telah menggunakan dron laut dan peluru berpandu untuk mengganggu Armada Laut Hitam tentera laut Rusia yang besar dan mengusirnya dari tempat bertenggeknya di bandar pelabuhan Sevastopol di semenanjung Crimea yang diduduki, menurut Reuters.

    Kapal selam diesel-elektrik itu adalah salah satu daripada banyak kapal yang terpaksa dipindahkan oleh Rusia dari Crimea ke Novorossiysk di selatan Rusia, Reuters memetik SBU.

    Kapal selam itu dikatakan mampu membawa sekurang-kurangnya empat peluru berpandu jelajah jenis Kalibr.

    Jurucakap tentera laut Ukraine, Dmytro Pletenchuk, dilapor berkata operasi untuk menyerang kapal selam – sasaran paling sukar untuk dilanda – menandakan “satu lagi titik perubahan” dalam pertempuran tentera laut antara Ukraine dan Rusia.

    “Hari ini sekali lagi mengubah persepsi tentang kemungkinan pertempuran tentera laut dalam perang ini,” dia dilapor berkata kepada Reuters.

    Sukar bagi Rusia untuk membaiki kapal selam itu kerana ia perlu dilakukan di atas air, yang bermaksud kapal itu sekali lagi akan terdedah kepada serangan, dia dilapor berkata.

    Rusia kini telah kehilangan salah satu daripada empat kapal selamnya yang ditempatkan di Novorossiysk, tiga daripadanya adalah kapal pengangkut Kalibr, kata Pletenchuk.

    Ukraine, yang telah membangunkan keupayaan dron dan peluru berpandu jarak jauh untuk merapatkan jurang dengan gudang senjata besar Rusia, telah meningkatkan serangan ke atas sasaran minyak, gas, kuasa dan ketenteraan Rusia.

  • Rumah Putih hantar amaran ‘tegas’ kepada Netanyahu mengenai pelanggaran gencatan senjata Gaza

    Rumah Putih menghantar mesej peribadi “tegas” kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menekankan bahawa serangan Israel di Gaza merupakan pelanggaran perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Presiden Donald Trump, menurut satu laporan pada Isnin, lapor Anadolu.

    Sumber yang bercakap dengan Axios berkata mesej itu susulan pembunuhan Israel terhadap Raed Saad, timbalan komander sayap tentera Hamas, dalam serangan di bandar Gaza pada hujung minggu yang mengorbankan empat orang secara keseluruhan, menurut Anadolu.

    Anadolu mengatakan, menurut laporan itu, seorang pegawai kanan AS berkata mesej Rumah Putih kepada Netanyahu ialah, “Jika anda ingin merosakkan reputasi anda dan menunjukkan bahawa anda tidak mematuhi perjanjian, silakan saja, tetapi kami tidak akan membenarkan anda merosakkan reputasi Presiden Trump selepas beliau menjadi perantara perjanjian di Gaza”.

    Pegawai AS dilaporkan berkata kerajaan Israel tidak memaklumkan atau berunding dengan Washington sebelum serangan itu, lapor Anadolu.

    Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, ketua Hamas di Gaza, Khalil al-Hayya mengesahkan Saad terkorban dalam serangan Israel itu, lapor Anadolu.

    Saad menjadi sasaran beberapa percubaan pembunuhan Israel sehingga dia kehilangan nyawanya dalam serangan udara pada Sabtu.

    Serangan itu berlaku meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa di Gaza pada 10 Oktober.

    Tentera Israel telah berulang kali melanggar gencatan senjata, membunuh sekurang-kurangnya 391 rakyat Palestin dan mencederakan 1,063 yang lain sejak perjanjian itu, lapor Anadolu.

  • Tentera Israel bunuh seorang remaja, kata kementerian kesihatan

    Tentera Israel menembak mati seorang warga Palestin berusia 16 tahun semasa serbuan di pekan Tuqu’ pada Isnin, kata kementerian kesihatan Palestin, insiden maut terbaharu dalam lonjakan keganasan baru-baru ini di Tebing Barat yang diduduki Israel, menurut Reuters.

    Budak lelaki itu ditembak selepas pasukan tentera Israel berkumpul di tengah pekan lewat Isnin dan mula melepaskan tembakan “sewenang-wenangnya”, menurut Reuters memetik laporan agensi berita Palestin WAFA yang memetik ketua majlis pekan Tuqu’.

    Tentera menembak remaja itu, Ammar Yaser Sabbah, dengan peluru hidup di dada, kata laporan itu, menurut Reuters. Dia dikejarkan ke hospital tetapi tidak dapat diselamatkan.

    Keganasan telah melonjak di Tebing Barat tahun ini, dan sejak bermulanya perang dua tahun di Gaza pada Oktober 2023, serangan peneroka Israel ke atas rakyat Palestin telah meningkat dengan mendadak, sementara tentera telah mengetatkan sekatan pergerakan dan menjalankan serbuan meluas di beberapa bandar.

    Lebih seribu rakyat Palestin telah terbunuh di Tebing Barat antara 7 Oktober 2023 dan 14 November 2025, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lapor Reuters.

    Lima puluh sembilan rakyat Israel telah terbunuh di Tebing Barat dalam tempoh yang sama.

    Mereka yang terbunuh oleh tentera Israel di Tebing Barat tahun ini termasuk 53 kanak-kanak Palestin, menurut statistik rasmi Palestin, lapor Reuters.

    Tebing Barat merupakan rumah kepada 2.7 juta rakyat Palestin yang mempunyai pemerintahan sendiri yang terhad di bawah pendudukan tentera Israel. Beratus-ratus ribu rakyat Israel menetap di sana.

    Kebanyakan kuasa dunia menganggap penempatan Israel – di tanah yang ditawannya dalam perang 1967 – haram, dan banyak resolusi Majlis Keselamatan PBB telah meminta Israel menghentikan semua aktiviti penempatan, menurut Reuters.

    Israel menafikan keharaman penempatan itu, memetik hubungan alkitabiah dan sejarah dengan tanah itu.

  • Angka maut akibat banjir Bolivia meningkat kepada 20, sekurang-kurangnya dua dozen hilang

    Jumlah kematian di Bolivia akibat banjir yang dicetuskan oleh limpahan sungai di wilayah timur Santa Cruz meningkat kepada 20 dan dijangka meningkat apabila pasukan penyelamat sampai ke kawasan yang sebelum ini tidak dapat diakses, kata Timbalan Menteri Pertahanan Awam Alfredo Troche pada Isnin, lapor Reuters.

    Pihak berkuasa dilapor berkata sekurang-kurangnya dua dozen orang masih hilang dan beratus-ratus keluarga telah ditinggalkan tanpa tempat perlindungan selepas hujan lebat selama beberapa hari.

    “Malangnya kami mempunyai 16 lagi mayat yang disahkan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 20. Dan kami mempunyai dua dozen yang hilang,” kata Troche kepada penyiar Bolivia TV, menurut Reuters.

    Menurutnya, sekurang-kurangnya 300 orang telah diselamatkan dengan helikopter dan kira-kira 2,100 keluarga setakat ini terjejas di sekitar Sungai Pirai.

    Hujan lebat bermula awal pagi Sabtu, menurut Reuters memetik Perkhidmatan Meteorologi dan Hidrologi Nasional.

  • Angka maut Kemboja meningkat kepada 15 ketika pertempuran dengan Thailand semakin meningkat

    Jumlah kematian di pihak Kemboja akibat pertempuran dengan Thailand meningkat empat pada Isnin, menjadikan jumlah orang awam yang terkorban kepada 15 orang sejak pertempuran meletus di sempadan yang dipertikaikan, menurut berita Kiripost.

    Dalam catatan Facebook, Menteri Penerangan Neth Pheaktra berkata, sehingga jam 2 petang pada Isnin, tindakan ketenteraan Thailand terhadap wilayah Kemboja – yang katanya turut menyasarkan orang awam – telah menyebabkan 15 orang terbunuh dan 73 yang lain cedera, menurut Kiripost.

    Menurut Kiripost, jumlah orang yang kehilangan tempat tinggal telah melonjak kepada 409,293 orang, menurut Pheaktra, ketika penduduk terus melarikan diri dari kawasan yang terjejas oleh pertempuran.

    Keadaan bertambah buruk pada pagi 15 Disember apabila serangan Thailand bergerak lebih jauh ke wilayah Kemboja. Jet pejuang F-16 Thailand menjatuhkan dua bom dekat sempadan daerah Srei Snam di wilayah Siem Reap, mendorong gelombang baharu pemindahan, lapor Kiripost.

    Kementerian Pertahanan Kemboja dilapor berkata, bom pertama digugurkan pada jam 10.08 pagi dekat kawasan Jambatan Ou Chik di daerah Srei Snam, diikuti oleh bom kedua pada jam 10.11 pagi.

  • ‘Masa membuktikan kami betul,’ kata Sanchez mempertahankan pendirian Sepanyol terhadap Palestin

    Perdana Menteri Sepanyol pada Isnin mempertahankan pendirian kerajaannya terhadap Palestin, dengan mengatakan pendiriannya secara beransur-ansur mendapat sokongan antarabangsa yang lebih luas, lapor Anadolu.

    Bercakap semasa tinjauan tahunan terhadap kerja kerajaannya, Pedro Sanchez berkata Sepanyol adalah antara negara pertama yang mengiktiraf kenegaraan Palestin selepas Israel mula melancarkan perang di Gaza pada Oktober 2023, sambil menambah bahawa semakin banyak negara, termasuk Perancis dan Kanada, telah mengambil langkah yang sama.

    “Masa membuktikan kami betul,” kata Sanchez, menentang kritikan domestik terhadap pendirian kerajaannya dan menolak dakwaan bahawa Sepanyol telah menyelaraskan dirinya dengan kumpulan pengganas.

    “Dunia menyebelahi kami, menunjukkan kekosongan dan niat jahat kritikan ini, yang menunjukkan kekurangan empati terhadap orang yang menderita, seperti yang berlaku dengan rakyat Palestin,” tambahnya.

    Sanchez juga menekankan bahawa Sepanyol menerima pakai pakej sembilan langkah terhadap Israel tahun ini, termasuk embargo senjata kekal dan komitmen untuk meningkatkan bantuan kepada Palestin.

    Beliau berkata pendekatannya terhadap Palestin mencerminkan prinsip dasar luar Sepanyol yang koheren, multilateralisme, dan komitmen terhadap keamanan dan solidariti.

    Sanchez berkata kerajaannya juga akan terus mengutuk antisemitisme dan serangan ke atas komuniti Yahudi di seluruh dunia, termasuk serangan maut pada Ahad di Sydney, Australia.

    Perdana Menteri Sepanyol mengakui bahawa komen-komen itu datang pada masa yang “rumit” baik di dalam negeri mahupun di peringkat antarabangsa.

    Di dalam negara, partinya telah terhuyung-hayang akibat skandal rasuah peringkat tinggi dan memerintah melalui gabungan minoriti yang baru-baru ini kehilangan sokongan parti pemisah Catalan yang telah menyokong sebahagian besar undang-undangnya.

    Walaupun terdapat seruan daripada pembangkang untuk mengadakan pilihan raya awal, Sanchez berkata kerajaannya “penuh dengan keyakinan dan tenaga” dan akan “memberikan yang terbaik pada separuh kedua penggal kami”.

    Penggal Sanchez dijadualkan tamat pada Ogos 2027.