Ukraine

  • 4 terbunuh, 25 cedera dalam serangan Rusia ke atas ibu negara Ukraine

    Rusia melancarkan serangan dron dan peluru berpandu besar-besaran ke atas Ukraine pada malam Jumaat, membunuh sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan 25 yang lain di Kiev, kata pihak berkuasa, menurut berita Xinhua.

    Tiga daripada yang maut adalah penduduk sebuah kompleks kediaman, dan yang keempat adalah seorang pekerja perubatan kecemasan berusia 58 tahun yang terbunuh semasa memberi bantuan, kata Pejabat Pendakwa Raya Bandar Kiev, sambil menambah bahawa antara yang cedera adalah kakitangan perubatan, pekerja penyelamat dan seorang pegawai polis, lapor Xinhua.

    Serangan itu dilaporkan menjejaskan tujuh daerah di Kiev, merosakkan 19 bangunan pangsapuri, termasuk bangunan kedutaan, tadika dan kemudahan lain.

    Tentera Udara Ukraine dilapor berkata, Rusia melancarkan 242 dron dan 36 peluru berpandu dalam serangan itu, termasuk peluru berpandu balistik jarak sederhana dari tempat ujian Kapustin Yar, kompleks pelancaran roket Rusia.

    Kementerian Pertahanan Rusia dilapor berkata tenteranya melancarkan serangan itu, yang termasuk penggunaan peluru berpandu hipersonik Oreshnik, yang mampu membawa muatan konvensional atau nuklear, menyasarkan kemudahan kritikal di Ukraine.

  • Zelenskyy seru AS sasarkan pemimpin Chechen, Kadyrov, dalam gaya penangkapan Maduro

    Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada Rabu, menyeru Amerika Syarikat *AS) untuk menyasarkan Ramzan Kadyrov, pemimpin wilayah Chechnya Rusia, dengan “operasi” yang sebanding dengan penangkapan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro baru-baru ini, menurut laporan Anadolu.

    “Cari alat, tekan Rusia. Tolong, di sini adalah contoh untuk anda, dengan Maduro. Ya, mereka menjalankan operasi,” kata Zelenskyy kepada pemberita dalam mencadangkan langkah serupa oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.
    “Hasilnya telah dilihat oleh semua orang, seluruh dunia. Mereka melakukannya dengan cepat.”

    “Baiklah, biarkan mereka melakukan beberapa operasi dengan ini, sapa namanya, Kadyrov … Mungkin Putin akan melihat ini dan memikirkannya,” katanya.

    Pemimpin Ukraine itu menekankan bahawa sementara Kyiv melakukan “semuanya” untuk diplomasi berfungsi, negara itu mesti bersedia jika landasan keamanan gagal disebabkan oleh posisi Rusia.

    Menurut Anadolu, Zelenskyy menyatakan bahawa AS kini “produktif” tetapi menegaskan mereka perlu memberi lebih banyak tekanan ke atas Moscow.

    “Mereka mempunyai alat, mereka tahu bagaimana, dan apabila mereka benar-benar mahu, mereka boleh mencari (jalan). Perkara utama ialah Ukraine menjadi keutamaan bagi mereka (AS),” katanya.

    Komen-komen itu dibuat di tengah-tengah perhatian global yang meningkat terhadap operasi khas AS susulan penangkapan Maduro di Venezuela – satu kaedah yang telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada pemimpin dunia.

  • Kematian akibat serangan dron Tahun Baru di wilayah Kherson meningkat kepada 27

    Angka maut akibat serangan dron Tahun Baru di sebuah kafe dan sebuah hotel di wilayah Kherson meningkat kepada 27 orang pada Jumaat, termasuk dua kanak-kanak, Jawatankuasa Siasatan Rusia mengumumkan, lapor Xinhua.

    “Dua puluh tujuh orang, termasuk dua kanak-kanak, terbunuh dalam serangan pengganas ini,” Svetlana Petrenko, jurucakap jawatankuasa itu dilapor berkata.

    Susulan serangan itu, 31 orang, termasuk lima kanak-kanak, dimasukkan ke hospital dengan kecederaan yang berbeza-beza tahapnya, tambahnya.

    Vladimir Saldo, ketua wilayah Kherson, dilapor sebagai berkata dalam catatan Telegram bahawa tiga dron Ukraine menyerang kafe dan hotel, tempat orang awam meraikan Tahun Baru.

    “Ramai orang terbakar hidup-hidup,” kata Saldo, sambil menyatakan bahawa salah satu dron membawa campuran pembakar, yang mencetuskan kebakaran besar di tempat kejadian. Anggota bomba memadamkan sepenuhnya kebakaran pada awal pagi Khamis.

    Serpihan beberapa dron telah ditemui semasa pemeriksaan awal di lokasi, kata Petrenko, sambil menambah bahawa lebih daripada 26 pemeriksaan forensik, termasuk analisis perubatan, genetik dan kelengkapan letupan, telah diperintahkan.

  • 24 terbunuh, 50 cedera susulan serangan dron Ukraine ke wilayah Kherson

    Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan lebih 50 yang lain cedera selepas tiga dron Ukraine menyerang sebuah kafe dan sebuah hotel di Kherson pada malam Rabu, kata pihak berkuasa tempatan, menurut berita Xinhua.

    Serangan itu berlaku ketika orang awam berkumpul untuk meraikan Tahun Baru, Vladimir Saldo, ketua wilayah Kherson, dilapor sebagai berkata dalam catatan di Telegram.

    “Ramai orang terbakar hidup-hidup,” kata Saldo, sambil menyatakan bahawa salah satu dron membawa campuran pembakar, yang mencetuskan kebakaran besar di tempat kejadian. Anggota bomba hanya dapat memadamkan sepenuhnya kebakaran itu pada awal pagi Khamis.

    Doktor kini sedang berusaha untuk menyelamatkan nyawa mangsa yang cedera, katanya, sambil menambah bahawa pihak berkuasa serantau akan menyediakan semua bantuan diperlukan kepada mangsa dan keluarga mereka yang terkorban.

  • Tentera Rusia ambil alih kampung Dibrova di Donetsk

    Tentera Rusia mengambil alih kampung Dibrova di wilayah Donetsk, kata Kementerian Pertahanan Rusia pada Isnin, lapor berita Xinhua.

    Pasukan Rusia telah “menyelesaikan pembebasan” Dibrova, susulan operasi tempur aktif dan serangan malam, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

    “Penerbangan operasi-taktikal, serangan kenderaan udara tanpa pemandu, pasukan peluru berpandu dan artileri Angkatan Tentera Rusia melancarkan serangan terhadap titik penempatan sementara formasi tentera Ukraine dan tentera upahan asing di 153 lokasi,” katanya.

    Pihak Ukraine belum mengulas mengenai dakwaan Rusia, menurut berita Xinhua.

  • Tentera Rusia kuasai Kupyansk, serbu infrastruktur ketenteraan Ukraine

    Tentera Rusia menguasai bandar strategik Kupyansk di wilayah Kharkiv, dan menjalankan serangan besar-besaran ke atas sasaran berkaitan ketenteraan Ukraine semalaman, kata Moscow pada Sabtu, menurut berita Xinhua.

    Serbuan itu dibuat “sebagai tindak balas terhadap serangan pengganas yang dilakukan oleh rejim Kiev terhadap kemudahan awam di wilayah Rusia,” kata kementerian pertahanan Rusia dalam satu kenyataan, menurut Xinhua.

    Pasukan Rusia dilapor menggunakan senjata berketepatan jarak jauh dari platform darat, udara dan laut, termasuk peluru berpandu hipersonik Kinzhal, untuk menyerang infrastruktur kuasa yang menyokong operasi ketenteraan dan industri pertahanan Ukraine.

    Serangan itu mencapai objektifnya, dengan semua sasaran yang ditetapkan berjaya dihentam, berita Xinhua memetik kenyataan itu.

    Kupyansk kekal di bawah kawalan tentera Rusia selepas mereka menangkis lima serangan balas Ukraine sejak dua hari lalu, kata Ivan Bigma, jurucakap Kumpulan Angkatan Barat Rusia.

    “Semua serangan balas berjaya ditangkis, dan tiada kerugian wilayah yang dialami,” kata Bigma, menurut Xinhua.

    Semasa pertempuran itu, pasukan Rusia memusnahkan lima peralatan ketenteraan, termasuk dua pengangkut anggota berperisai M113 buatan AS, dan menghapuskan lebih 20 askar Ukraine, tambahnya.

  • 1 terbunuh, 3 cedera dalam serangan dron Ukraine di Belgorod, Rusia

    Seorang terbunuh dan tiga lagi cedera dalam serangan dron Ukraine di Belgorod, Rusia, kata Gabenor Belgorod, Vyacheslav Gladkov, pada Selasa, menurut berita Xinhua.

    “Akibat satu lagi serangan pengganas oleh Angkatan Tentera Ukraine, seorang terbunuh dan tiga cedera,” Gladkov dilapor sebagai berkata melalui saluran Telegram.

    Menurut pihak berkuasa tempatan, seperti dilaporkan berita Xinhua, serangan itu melanda sasaran termasuk sebuah kenderaan di sebuah kampung, pintu masuk premis komersial, dan sebuah kediaman persendirian.

  • Rusia tawan 2 penempatan Ukraine, serang kemudahan tentera

    Rusia mengambil alih penempatan Prylipka di wilayah Kharkiv di timur Ukraine dan Andriivka di wilayah Dnipropetrovsk dalam tempoh 24 jam terakhir, menurut kementerian pertahanan negara itu, lapor Xinhua.

    Kementerian itu berkata, pasukan Rusia juga melancarkan serangan besar-besaran terhadap tapak perindustrian ketenteraan dan infrastruktur tenaga Ukraine sebagai tindak balas atas serangan Ukraine ke atas kemudahan awam di dalam Rusia.

    “Objektif serangan itu telah dicapai sepenuhnya. Semua sasaran yang ditetapkan telah dineutralkan,” kata kementerian itu.

  • Ukraine serang kapal selam Rusia dalam serangan dron bawah air pertama

    Dron bawah air Ukraine menyerang dan melumpuhkan kapal selam serangan kelas Kilo Rusia di pangkalan Laut Hitam tentera laut Rusia, dalam operasi pertama seumpamanya, menurut laporan Reuters memetik pegawai Ukraine pada Isnin.

    Serangan oleh Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) dengan dron “Sub Sea Baby” melanda kapal selam di pelabuhan Novorossiysk di mana Rusia telah meletakkan semula banyak kapal tentera laut untuk meletakkannya di luar jangkauan serangan Ukraine, lapot Reuters.

    Rakaman yang diterbitkan oleh SBU menunjukkan letupan kuat meletus dari air di jeti berhampiran tempat kapal selam dan kapal lain berlabuh, menurut Reuters.

    Menurut Reuters, Alexander Kamyshin, penasihat Presiden Volodymyr Zelenskiy, menulis di X, ia adalah kali pertama dalam sejarah dron bawah air telah meneutralkan kapal selam.

    Ukraine, yang hampir tidak mempunyai armada tentera laut yang tinggal, telah menggunakan dron laut dan peluru berpandu untuk mengganggu Armada Laut Hitam tentera laut Rusia yang besar dan mengusirnya dari tempat bertenggeknya di bandar pelabuhan Sevastopol di semenanjung Crimea yang diduduki, menurut Reuters.

    Kapal selam diesel-elektrik itu adalah salah satu daripada banyak kapal yang terpaksa dipindahkan oleh Rusia dari Crimea ke Novorossiysk di selatan Rusia, Reuters memetik SBU.

    Kapal selam itu dikatakan mampu membawa sekurang-kurangnya empat peluru berpandu jelajah jenis Kalibr.

    Jurucakap tentera laut Ukraine, Dmytro Pletenchuk, dilapor berkata operasi untuk menyerang kapal selam – sasaran paling sukar untuk dilanda – menandakan “satu lagi titik perubahan” dalam pertempuran tentera laut antara Ukraine dan Rusia.

    “Hari ini sekali lagi mengubah persepsi tentang kemungkinan pertempuran tentera laut dalam perang ini,” dia dilapor berkata kepada Reuters.

    Sukar bagi Rusia untuk membaiki kapal selam itu kerana ia perlu dilakukan di atas air, yang bermaksud kapal itu sekali lagi akan terdedah kepada serangan, dia dilapor berkata.

    Rusia kini telah kehilangan salah satu daripada empat kapal selamnya yang ditempatkan di Novorossiysk, tiga daripadanya adalah kapal pengangkut Kalibr, kata Pletenchuk.

    Ukraine, yang telah membangunkan keupayaan dron dan peluru berpandu jarak jauh untuk merapatkan jurang dengan gudang senjata besar Rusia, telah meningkatkan serangan ke atas sasaran minyak, gas, kuasa dan ketenteraan Rusia.

  • Rusia jatuhkan 290 dron Ukraine

    Pertahanan udara Rusia menjatuhkan empat bom udara berpandu dan 290 kenderaan udara tanpa pemandu sayap tetap sepanjang hari lalu, kata Kementerian Pertahanan Rusia pada Ahad, menurut berita Xinhua.

    Menurut kementerian itu, pasukan Rusia telah melanda depot bahan api dan tapak penempatan sementara angkatan tentera Ukraine dan tentera upahan asing di 142 lokasi.

    Pasukan Rusia telah menguasai kampung Varvarovka di wilayah Zaporizhzhia, katanya, sambil menambah bahawa pasukan terus mara lebih jauh ke dalam pertahanan Ukraine.