FRA 3 – 0 IRQ
Tanimbar
-
3 dilapor maut, 5 cedera tembakan di sekolah Filipina
Tiga orang terbunuh dan lima yang lain cedera dalam kejadian tembakan di sekolah di tengah Filipina pada Isnin, dengan siasatan awal menunjukkan kedua-dua lelaki bersenjata terbabit adalah bawah umur, menurut polis, lapor berita Xinhua.
Kedua-dua suspek dalam kejadian tembakan di Sekolah Menengah Kebangsaan San Jose di Bandar Tacloban telah ditangkap, polis dilapor berkata.
Xinhua melaporkan, menurut media tempatan, suspek berusia 15 tahun, seorang pelajar Darjah 9 sekolah itu, telah ditangkap di kampus. Seorang lagi suspek, juga seorang bawah umur, telah ditangkap ketika cuba melarikan diri.
Polis dilapor berkata, tembakan itu berlaku sekitar jam 9 pagi waktu tempatan ketika kelas berlangsung di sekolah.
Rakaman video disiarkan di media sosial menunjukkan beberapa das tembakan kedengaran di dalam bilik darjah ketika pelajar dan guru bersembunyi untuk keselamatan dan mencari perlindungan, menurut Xinhua.
-
8 dilaporkan maut tembakan cuti hujung minggu di Chicago
Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan 38 yang lain cedera dalam beberapa siri tembakan di seluruh Chicago AS semasa cuti hujung minggu Juneteenth yang dilanjutkan sehingga Ahad, kata polis tempatan, menurut berita Xinhua.
Sekurang-kurangnya dua dozen kejadian tembakan telah dilaporkan sejak 5 petang Jumaat. Mangsa berumur antara 14 hingga 70 tahun, menurut Jabatan Polis Chicago, lapor Xinhua.
Sekurang-kurangnya 12 orang cedera pada malam Jumaat apabila dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan dari sebuah SUV ke arah orang ramai yang berkumpul di Far South Side Chicago, jabatan itu dilapor berkata.
-
Dua askar maut diserang di Manbij, Aleppo
Dua askar Tentera Arab Syria maut pada Sabtu dalam serangan oleh penyerang yang tidak dikenali di timur laut Aleppo, menurut berita di web SANA.
Jabatan Media dan Komunikasi Kementerian Pertahanan dilapor berkata, kedua-dua askar itu maut dalam serangan pengecut oleh penyerang yang tidak dikenali dekat bandar Manbij, timur laut Aleppo.
Menurut SANA, pada 11 Mei, dua askar Tentera Arab Syria maut dan yang lain cedera, dalam serangan menyasarkan sebuah bas tentera di kawasan luar bandar Hasakah, timur laut Syria.
-
7 dilapor maut serangan Israel di Bekaa Barat dan Tyre, Lubnan
Lima terbunuh, antaranya seorang kanak-kanak, seorang wanita, dan dua warga emas, susulan serbuan Israel ke atas kampung Sohmor di Lembah Bekaa barat Lubnan, menurut berita Al Jazeera memetik Agensi Berita Nasional (NNA) memetik Kementerian Kesihatan negara itu.
Menurut Al Jazeera, laporan pada Ahad itu tidak menyatakan bila serangan itu berlaku.
Dua lagi, warga Palestin, terbunuh di daerah Tyre di selatan Lubnan, di Rashidieh, Al Jazeera memetik NNA.