Tajikistan

  • Pengawal sempadan bunuh 4 lelaki bersenjata Afghanistan menyeberang masuk ke Tajikistan

    Empat lelaki bersenjata yang menyeberang dari Afghanistan ke negara jiran Tajikistan terbunuh dalam pertempuran kecil dengan pengawal sempadan pada waktu malam, kata Jawatankuasa Keselamatan Nasional Tajikistan pada Isnin, menurut laporan AP.

    Ia dikatakan insiden ganas kedua sejak November lalu di sepanjang sempadan antara kedua-dua negara.

    Pengawal sempadan Tajikistan ternampak lelaki bersenjata itu dekat sebuah kampung berhampiran sempadan dengan wilayah Badakhshan Afghanistan, kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, seperti dilaporkan AP.

    Ia menambah bahawa empat lelaki terbabit enggan menerima arahan untuk menyerah diri dan menawarkan tentangan bersenjata, dan terbunuh dalam pertempuran kecil yang berlaku.

    Jawatankuasa itu menyifatkan lelaki terbabit sebagai “ahli organisasi pengganas” tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

    Menurut laporan AP, jurucakap kerajaan Afghanistan Zabihullah Mujahid berkata lelaki-lelaki bersenjata terbabit adalah penyeludup.

    “Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan siapa mereka dan apa yang mereka seludup, tetapi mereka adalah penyeludup,” kata Mujahid.

  • Tajikistan kata lima orang terbunuh dalam serangan rentas sempadan dari Afghanistan pada minggu lalu

    Lima orang terbunuh dan lima lagi cedera dalam dua serangan yang dilancarkan dari negara jiran Afghanistan sepanjang minggu lalu, kata perkhidmatan akhbar presiden Tajikistan pada Isnin, Reuters melaporkan.

    Tajikistan, bekas republik Soviet yang bergunung-ganang dengan kira-kira 11 juta penduduk dengan kerajaan sekular, dilaporkan mempunyai hubungan tegang dengan pihak berkuasa Taliban di Afghanistan.

    Pihak berkuasa Tajik, yang sebelum ini memberi amaran mengenai penyeludup dadah dan pelombong emas haram yang bekerja di sepanjang sempadan terpencil, berkata minggu lalu bahawa tiga warga China telah terbunuh dalam serangan dron yang dilancarkan dari Afghanistan, lapor Reuters.

    Menurut Reuters, perkhidmatan akhbar Presiden Tajik Emomali Rahmon berkata bahawa Rahmon telah bertemu dengan ketua-ketua agensi keselamatannya untuk membincangkan situasi dan cara untuk mengukuhkan keselamatan sempadan.

    Ia dilapor berkata bahawa Rahmon: “mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menyalahi undang-undang dan provokatif warga Afghanistan dan mengarahkan supaya langkah-langkah berkesan diambil untuk menyelesaikan masalah itu dan mencegah kejadian seperti itu berulang.”

  • Dron ‘dilancarkan dari wilayah Afghanistan’ landa kem pekerja di selatan Tajikistan, membunuh 3 warga China

    Tajikistan berkata pada Khamis, tiga pekerja China terbunuh apabila dron “dilancarkan dari wilayah Afghanistan” melanda sebuah kem di wilayah Khatlon lewat Rabu, menyeru pihak berkuasa di Kabul untuk mengambil tindakan bagi mencegah kejadian selanjutnya, lapor Anadolu.

    Serangan itu menyasarkan kem pekerja LLC Shohin SM dekat Pos Pengawal Sempadan Pertama “Istiqlol” di Detasmen Sempadan Yol, menurut Anadolu.

    Kementerian Luar Tajik dilapor berkata, sebuah kenderaan udara tanpa pemandu yang membawa grenad dan senjata api melanda tapak itu.

    Ketiga-tiga mangsa dilaporkan pekerja syarikat itu dan warga China.

    Menurut Anadolu, kementerian itu mendakwa bahawa “kumpulan penjenayah” yang beroperasi di dalam Afghanistan bertanggungjawab atas serangan itu.

    Dushanbe mengecam serangan itu dan menggesa pihak berkuasa Afghanistan mengambil “langkah berkesan” untuk memastikan kestabilan dan keselamatan di sepanjang sempadan, lapor Anadolu.