Syria

  • Angka maut penduduk Palestin di Gaza akibat perang Israel hampir cecah 72,300 orang

    Jumlah kematian penduduk Palestin di Gaza akibat perang maut Israel sejak Oktober 2023 mencecah 72,280 orang, dengan 172,014 orang lagi cedera, kata Kementerian Kesihatan pada Isnin, lapor Anadolu.

    Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata dua orang terbunuh dan seorang lagi cedera akibat tembakan Israel dalam tempoh 24 jam lalu.

    Menurut kementerian itu, sekurang-kurangnya 704 orang telah terbunuh dan 1,914 orang lagi cedera akibat tembakan Israel sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025.

    Kementerian itu menjelaskan bahawa pihak berkuasa tempatan berjaya menemui 756 mayat dari runtuhan sejak gencatan senjata.

    Perang Israel telah menyebabkan hampir seluruh penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan menyebabkan kemusnahan meluas yang menjejaskan 90% infrastruktur awam, dengan kos pembinaan semula dianggarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sekitar $70 bilion.

  • Rusia usir diplomat British atas “aktiviti perisikan”

    Rusia membatalkan akreditasi seorang diplomat British atas “perisikan dan aktiviti subversif,” kata Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) pada Isnin, lapor Xinhua.

    Diplomat itu, yang dikenal pasti sebagai setiausaha kedua Kedutaan British Janse Van Rensburg, telah diarahkan meninggalkan negara itu dalam tempoh dua minggu, menurut kenyataan FSB.

    Perkhidmatan keselamatan itu berkata ia telah mendokumentasikan percubaan diplomat itu untuk mendapatkan maklumat sensitif semasa pertemuan tidak rasmi dengan pakar ekonomi Rusia.

    Ia juga berkata diplomat British itu memberikan maklumat palsu semasa memasuki Rusia dan terbabit dalam aktiviti mengancam keselamatan negara.

  • 1 maut, 16 cedera dalam nahas bas ulang-alik Istanbul

    Seorang pegawai polis terbunuh dan 16 yang lain cedera pada Isnin selepas sebuah kenderaan perkhidmatan yang membawa anggota penguatkuasa undang-undang terhempas di bandar terbesar Turkiye, Istanbul, menurut pejabat gabenor wilayah, lapor Xinhua.

    Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan (0600 GMT) di persimpangan Basaksehir-Habipler di Lebuhraya Marmara Utara, kata pejabat itu dalam satu kenyataan, menurut Xinhua.

    Bas ulang-alik itu terbabas dan melanggar penghadang lebuh raya. Salah seorang yang cedera masih dalam keadaan kritikal.

  • 3 terbunuh selepas bangunan 3 tingkat runtuh di ibu negara Ghana

    Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan ramai lagi cedera apabila sebuah bangunan tiga tingkat yang belum siap digunakan untuk ibadah runtuh pada Ahad di Accra New Town, di pusat bandar Accra, ibu negara Ghana, kata pihak berkuasa, lapor Xinhua.

    Menteri Dalam Negeri Muntaka Mohammed-Mubarak memberitahu media tempatan lewat Ahad bahawa kejadian itu berlaku di premis Sekolah Eksperimen Accra New Town pada pagi Ahad Palma, satu perayaan Kristian.

    “Terdapat 23 orang di dalam bangunan itu semasa kejadian. Malangnya, kami telah kehilangan tiga orang, seorang lelaki dan dua wanita. Kami tidak dapat memberitahu nama mereka buat masa ini,” katanya.

    Menurut menteri itu, 20 mangsa yang diselamatkan dan sedang menerima rawatan di pelbagai hospital.

  • Kilang penapisan minyak Israel di Haifa terbakar susulan serangan peluru berpandu

    Kebakaran berlaku di kilang penapisan minyak Haifa di utara Israel susulan serangan peluru berpandu baharu yang dilancarkan oleh Iran dan Hizbullah Lubnan, menurut berita Xinhua memetik laporan Channel 12 Israel pada Isnin.

    Masih belum jelas sama ada kemudahan itu dilanda peluru berpandu secara langsung atau terkena serpihan daripada projektil pintasan, kata laporan itu.

  • 2 maut dalam kejadian bot terbalik di utara Vietnam

    Dua orang terbunuh selepas sebuah bot terbalik di wilayah Tuyen Quang, utara Vietnam, lewat Ahad, menurut berita Xinhua memetik laporan Agensi Berita Vietnam pada Isnin.

    Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 malam apabila seorang lelaki, isteri dan anak lelaki mereka berada di atas bot dan menghadapi angin kencang, menyebabkan ia terbalik dan ketiga-tiganya jatuh ke dalam air, menurut laporan itu.

    Anak lelaki itu berjaya berenang ke darat, manakala ibu bapanya dihanyutkan.

    Selepas lebih 12 jam usaha mencari dan menyelamat, mayat mangsa ditemui, menurut laporan itu.

  • 3 maut dan 5 cedera dalam banjir, tanah runtuh di Afghanistan

    Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan lima lagi cedera selepas hujan lebat, banjir, dan tanah runtuh di beberapa bahagian Afghanistan, menurut berita Xinhua memetik laporan media rasmi agensi berita Bakhtar pada Isnin.

    Menurut laporan itu, dua orang terkorban dan lima lagi cedera selepas banjir dicetuskan oleh hujan lebat melanda wilayah timur Laghman dan wilayah barat Herat pada awal hari.

    Dalam kejadian berasingan, seorang kanak-kanak terbunuh apabila tanah runtuh melanda kawasan di wilayah Sar-e Pul, utara Afghanistan.

  • Israel kata lebih 6,000 orang cedera sejak perang bermula

    Kementerian Kesihatan Israel mengatakan 6,008 orang cedera telah dibawa ke hospital sejak permulaan perang ke atas Iran pada 28 Feb, dengan 121 masih menerima rawatan, menurut berita Aljazeera.

    Dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, pihak berkuasa mengatakan 232 mangsa tiba di hospital.

  • Tentera Israel kata 261 askar cedera sejak permulaan perang ke atas Iran

    Tentera Israel mengatakan 261 askar cedera sejak permulaan perang ke atas Iran, menurut berita Aljazeera.

    Ia belum mengeluarkan angka kematian dalam kalangan askar.

  • Qatar kutuk serangan Iran ke atas infrastruktur Kuwait

    Kementerian luar Qatar mengutuk dengan “sekeras-kerasnya pencerobohan keji Iran yang menyasarkan kem, stesen janakuasa, dan loji penyahgaraman air di Kuwait”, lapor Aljazeera.

    “Kementerian Luar Negeri menekankan keperluan untuk menghentikan pencerobohan Iran yang tidak wajar terhadap negara-negara saudara, dan dalam konteks ini, mengesahkan solidariti penuh negara Qatar dengan negara Kuwait dan sokongannya terhadap semua langkah yang diambil untuk memelihara kedaulatan dan keselamatannya,” katanya dalam catatan di X, menurut Aljazeera.