Rangkaian Media Al Jazeera pada Sabtu menuntut agar masyarakat antarabangsa dan institusi perundangan menghukum pegawai Israel atas jenayah dilakukan terhadap koresponden dan kakitangannya di Jalur Gaza, yang terbaru ialah pembunuhan jurukamera Ahmed Washah, menurut berita Anadolu.
Menurut Anadolu, rangkaian itu mengesahkan niatnya untuk mendakwa pelaku jenayah terbabit.
Ia dikeluarkan dalam satu kenyataan oleh rangkaian itu susulan pembunuhan jurukamera Al Jazeera Mubasher dalam serangan Israel yang menyasarkan sebuah rumah di kem pelarian Al-Bureij di tengah Gaza.
Menurut Anadolu, rangkaian itu berkata ia mengutuk pembunuhan Ahmed, dengan menyatakan bahawa abangnya, Mohammed, seorang koresponden untuk Al Jazeera Mubasher, terbunuh dalam serangan Israel dua bulan sebelumnya.
Pembunuhan Ahmed menjadikan bilangan kakitangan Rangkaian Media Al Jazeera yang terbunuh di Gaza sejak Oktober 2023 kepada 12 orang, lapor Anadolu memetik rangkaian itu.
Rangkaian itu mengecam “penerusan jenayah yang dilakukan oleh pasukan pendudukan Israel terhadap koresponden dan kakitangannya di Gaza”.
Ia memperbaharui tuntutannya agar masyarakat antarabangsa dan institusi perundangan berkaitan mengambil langkah praktikal segera untuk menghukum pegawai Israel terbabit dalam jenayah berat, dan menerima pakai mekanisme pencegahan untuk menghentikan penyasaran wartawan.