Tentera Pakistan berkata pada Ahad, tiga anggota pasukan Rangers separa tenteranya terbunuh dan empat yang lain cedera dalam pertempuran selepas militan melancarkan serangan pada malam sebelumnya ke atas ibu pejabat wilayah di bandar pelabuhan selatan Karachi, menurut berita AP.
Seorang militan merempuh dengan sebuah kenderaan sarat bahan letupan ke dalam ibu pejabat wilayah Rangers Pakistan separa tentera di Karachi pada malam Sabtu, mencetuskan pertempuran sengit dengan pasukan keselamatan, menurut polis dan saksi, lapor AP.
Menurut AP, tentera dalam kenyataan berkata, pasukan keselamatan membunuh tiga penyerang dan menangkap yang keempat, yang cedera. Ia mengenal pasti suspek yang ditangkap sebagai warga Afghanistan.
Tentera dilapor berkata, operasi diteruskan di kawasan itu dan memberi amaran, Pakistan akan bertindak balas terhadap mereka yang bertanggungjawab atas serangan itu.
Pakistan telah menjalankan serangan udara di Afghanistan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan mengatakan mereka menyasarkan militan yang bertanggungjawab atas serangan di Pakistan, menurut AP, Kabul berulang kali menafikan membenarkan kumpulan militan menggunakan wilayah Afghanistan untuk melancarkan serangan rentas sempadan.
Menurut AP, kumpulan militan Jamaat-ul-Ahrar, sebuah puak pecahan Taliban Pakistan, mengaku melakukan serangan itu sejurus selepas ia berlaku.
Pihak tentera menyifatkan kumpulan itu sebagai proksi India, tetapi tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan.