realme

  • Pelajar tembak mati 4 orang di sekolah di Turkiye

    Seorang pelajar menembak mati sekurang-kurangnya empat orang, termasuk rakan sekelasnya, dan mencederakan sekurang-kurangnya 20 orang di sebuah sekolah menengah di selatan-tengah Turkiye, menurut gabenornya – berita Al Jazeera melaporkan.

    Gabenor Mukerrem Unluer memberitahu pemberita bahawa tiga pelajar dan seorang guru terbunuh dalam serangan pada Rabu di wilayah ‌Kahramanmaras, yang katanya dilakukan oleh seorang pelajar di gred lapan, menurut berita Al Jazeera, penyerang itu juga mati.

    “Dia menembak dirinya sendiri. Belum jelas sama ada ini bunuh diri atau berlaku di tengah-tengah kekacauan,” Unluer dilapor berkata.

    Penembakan itu merupakan serangan sekolah kedua di negara itu dalam tempoh dua hari, selepas kejadian tembakan pada Selasa di sebuah sekolah menengah di wilayah Sanliurfa di tenggara yang dilakukan oleh seorang bekas pelajar yang membunuh diri dalam pertempuran dengan polis selepas mencederakan 16 orang.

    Unluer berkata, pelajar yang melakukan tembakan pada Rabu dipercayai telah menggunakan senjata milik bapanya, seorang bekas pegawai polis.

    Pelajar itu menyembunyikan senjata di dalam beg galas, memasuki dua bilik darjah dan melepaskan tembakan “secara rawak”, kata Unluer.

  • ‘Jesus Christ tidak sokong genosid’ – peserta protes cemuh Vance

    Menurut Al Jazeera, ia telah membuat liputan ucapan naib presiden AS di persidangan Turning Point USA di Georgia.

    Vance telah diganggu beberapa kali oleh peserta protes yang bersuara menentang perang genosid Israel ke atas Gaza.

    Seorang daripada peserta protes menjerit: “Jesus Christ tidak menyokong genosid!”

    Vance menjawab: “Saya setuju, Jesus tidak menyokong genosid, sesiapa sahaja yang menjeritkannya dari gelap. Dia pastinya tidak.”

    Dia kemudian berkata orang itu harus berterima kasih kerana Presiden Trump merundingkan gencatan senjata di Gaza.

    “Kami adalah pentadbiran yang menyelesaikan masalah ini,” katanya.

    Kemudian, seorang lagi peserta protes menjerit: “Anda membunuh kanak-kanak! Anda mengebom kanak-kanak!”

    Tidak jelas sama ada mereka merujuk kepada perang di Gaza, atau perang AS ke atas Iran, lapor Al Jazeera.

  • Serangan udara Israel mengorbankan lima orang awam, mencederakan beberapa orang lain di kem Shati, bandar Gaza

    Lima orang awam terbunuh dan beberapa orang lagi cedera pada malam Selasa dalam serangan Israel ke atas kem al-Shati (Beach) di bandar Gaza, menurut berita WAFA.

    Terdahulu pada hari itu, dilaporkan empat orang awam, termasuk seorang kanak-kanak, dilaporkan terbunuh dan yang lain cedera dalam serangan Israel yang menyasarkan sebuah kenderaan di Jalan Nafaq di bandar Gaza.

  • 399 tentera AS dilapor cedera dalam perang ke atas Iran

    Kiraan kecederaan rasmi, yang diberikan oleh Kapten Tim Hawkins, jurucakap Perintah Pusat AS, mengatakan tiga anggota perkhidmatan cedera parah, menurut berita AP.

    Perintah Pusat dilapor berkata dua minggu lalu dalam kemas kini sebelumnya bahawa 348 tentera cedera, enam daripadanya parah. Walau bagaimanapun, perintah tentera tidak memberikan butiran lanjut mengenai mereka yang cedera, jadi tidak jelas sama ada status sesiapa bertambah baik atau bertambah buruk.

    Hawkins mengatakan daripada jumlah yang cedera setakat ini, 354 anggota perkhidmatan telah kembali bertugas.

    Sejak perang Iran bermula, 13 anggota perkhidmatan AS telah terbunuh dalam pertempuran, menurut laporan AP.

  • Jabatan Negara AS mengeluarkan ganjaran USD10 juta untuk ketua militia Iraq

    Hadiah itu ditawarkan ke atas Ahmad al-Hamidawi, setiausaha agung militia disokong Iran, Kataib Hezbollah, menurut laporan AP.

    Menurut AP, dalam satu catatan di X di mana ia menerbitkan gambar al-Hamidawi, program Ganjaran untuk Keadilan Jabatan Negara menulis bahawa kumpulan itu “bertanggungjawab atas serangan ke atas kemudahan diplomatik AS di Iraq, penculikan rakyat AS, dan pembunuhan orang awam Iraq yang tidak bersalah”.

    Bulan lalu, Kataib Hezbollah menculik seorang wartawan Amerika, Shelly Kittleson, di Baghdad, tetapi membebaskannya beberapa hari kemudian dengan syarat dia meninggalkan negara itu, menurut AP.

    Menurut AP, pegawai kumpulan itu pada masa itu memberitahunya, bahawa sebagai pertukaran, kerajaan Iraq akan membebaskan beberapa ahli militia yang sebelum ini ditahan.

    Kataib Hezbollah dilaporkan bersekutu dengan Hezbollah Lubnan tetapi mereka adalah dua kumpulan yang sama sekali berbeza dengan pemimpin yang berbeza.

  • Trump kata rundingan dengan Iran boleh disambung semula minggu ini

    Menurut berita AP, dalam panggilan telefon dengan The New York Post, Trump berkata pusingan kedua rundingan dengan Iran “mungkin akan berlaku dalam dua hari akan datang”.

    Trump pada mulanya memberitahu akhbar itu bahawa mereka mungkin akan mengadakan di suatu tempat di Eropah tetapi kemudiannya mengemas kini bahawa mereka mungkin akan mengadakan sekali lagi di ibu negara Pakistan.

    Pusingan rundingan awal berakhir tanpa persetujuan mengenai cita-cita nuklear Iran, yang menurut Rumah Putih sebagai titik pertikaian utama.

  • Tentera AS dakwa kejayaan sekatan

    Tentera AS mendakwa ia berjaya menguatkuasakan sekatan pelabuhan Iran, walaupun sekurang-kurangnya sebuah kapal yang mempunyai hubungan jelas dengan Tehran telah melalui Selat Hormuz, menurut berita AP.

    Perintah Pusat AS, yang menyelia Timur Tengah, berkata bahawa “semasa 24 jam pertama, tiada kapal yang berjaya melepasi sekatan AS dan 6 kapal dagang mematuhi arahan daripada tentera AS untuk berpatah balik bagi memasuki semula pelabuhan Iran di Teluk Oman”.

    Walaupun beberapa kapal tangki yang menghampiri selat itu pada Isnin berpatah balik sejurus selepas sekatan itu berkuat kuasa, kapal tangki Rich Starry berbalik arah sekali lagi dan melalui laluan air itu awal Selasa.

  • Tembakan Israel di Gaza dilapor membunuh lima rakyat Palestin termasuk budak 3 tahun dan remaja

    Antara yang terkorban ialah seorang berusia 3 tahun dan seorang berusia 15 tahun dalam dua serangan berasingan di utara Gaza dan bandar Gaza pada Selasa, menurut berita AP memetik seorang pegawai kesihatan di Shifa, tempat mangsa tiba.

    Tentera Israel dilapor berkata, ia sedang menyiasatnya.

    Serangan pertama ke atas kenderaan polis di bandar Gaza membunuh empat orang, termasuk yang berusia 3 tahun yang berdiri berdekatan, dan seorang lagi di kem pelarian Jabaliya di utara Gaza membunuh yang berusia 15 tahun itu, menurut berita AP memetik hospital dan keluarga.

    “Apakah kesalahan budak kecil ini? Dia sedang berjalan di jalanan,” kata Samia al-Malahi, nenek kepada mangsa berusia 3 tahun itu.

  • Angka maut dalam perang Israel-Hizbullah di Lubnan meningkat melebihi 2,100

    Serangan Israel membunuh sejumlah 2,124 orang semasa perang enam minggu itu, kata kementerian kesihatan Lubnan, menurut berita AP, antaranya ialah 254 wanita, 168 kanak-kanak dan 88 petugas kesihatan. 6,921 lagi cedera.

  • 5 terbunuh, 24 cedera dalam serangan Rusia ke atas Dnipro, Ukraine

    Serangan Rusia yang menyasarkan bandar Dnipro di timur Ukraine pada Selasa mengorbankan lima orang dan mencederakan 24 orang, lapor pihak berkuasa wilayah Ukraine, menurut berita Xinhua.

    Mereka yang cedera mengalami kecederaan akibat letupan, luka akibat serpihan, koyakan dan patah tulang, kata Pentadbiran Ketenteraan Wilayah Dnipropetrovsk, menurut Xinhua.

    Perkhidmatan Kecemasan Negeri Ukraine dilapor berkata, serangan roket Rusia melanda kemudahan infrastruktur, mencetuskan kebakaran yang kemudiannya dipadamkan.

    Tentera Udara Ukraine mengeluarkan amaran peluru berpandu untuk Dnipro sejurus sebelum serangan itu.

    Ia dilapor berkata pada Selasa di Telegram bahawa pihak Rusia telah melancarkan empat peluru berpandu dan 129 dron dalam serangannya ke atas Ukraine sejak petang Isnin.

    Unit pertahanan udara Ukraine telah menjatuhkan atau meneutralkan satu peluru berpandu dan 114 dron, katanya.