Peru

  • Peru isytihar darurat untuk ratusan daerah selepas hujan lebat dan banjir

    Peru mengisytiharkan darurat pada Rabu untuk hampir separuh daerah di negara itu susulan hujan lebat, tanah runtuh dan banjir yang dicetuskan oleh peningkatan suhu laut, yang dikaitkan oleh pihak berkuasa dengan fenomena iklim El Nino Costero, atau El Nino pantai, menurut laporan AP.

  • Datuk bandar kata sekurang-kurangnya 3 orang dalam serangan ke atas pelombong tidak formal di utara Peru

    Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan tujuh yang lain hilang dalam serangan ke atas pelombong tidak formal pada Malam Tahun Baru di utara Peru, kata seorang datuk bandar tempatan pada Khamis, menurut berita Xinhua.

  • 4 pelancong China cedera dalam perlanggaran kereta api di selatan Peru

    Empat pelancong China cedera selepas dua kereta api bertembung pada Selasa di selatan Peru, lapor berita Xinhua memetik Kedutaan China di Peru.

    Empat yang cedera dibawa ke hospital tempatan untuk rawatan, kata kedutaan itu.

  • Nahas tren dekat Machu Picchu, pemandu terbunuh, berpuluh-puluh cedera

    Seorang pemandu tren terbunuh dan 40 lagi cedera pada Selasa selepas dua tren bertembung secara berdepan di landasan tren menuju ke kubu Inca di Machu Picchu, tapak pelancongan utama negara Andean itu yang menarik lebih 1 juta pengunjung setiap tahun, lapor Reuters.

    Menurut laporan berita itu, polis sedang menyiasat perlanggaran antara tren yang dikendalikan oleh Inca Rail S A dan PeruRail S A, yang kebanyakannya mengangkut pelancong ke tapak ikonik itu.

    Seorang pegawai kesihatan dilapor berkata, kira-kira 20 orang berada dalam keadaan yang agak serius.

    Menurut Reuters, seorang pegawai polis menambah bahawa pelancong asing adalah antara yang cedera.

    Gambar yang disiarkan di media sosial sejurus selepas nahas itu menunjukkan lokomotif yang rosak teruk berhadapan antara satu sama lain di landasan, pecahan kaca berselerak dan orang yang cedera dirawat di tepi landasan, lapor Reuters.

  • Sekurang-kurangnya 7 terbunuh dalam kemalangan jalan raya di selatan Peru

    Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan kira-kira 35 orang lagi cedera pada pagi Khamis apabila sebuah bas antara wilayah terbalik di wilayah Cusco, selatan Peru, lapor Xinhua memetik media tempatan.

    Menurut Xinhua, agensi berita Andina melaporkan kemalangan itu berlaku sekitar jam 2 pagi waktu tempatan dekat pekan Alto Marquiri di daerah Ocoruro di wilayah Espinar.

    Ia mengatakan bas itu bertolak dari bandar Arequipa menuju ke pekan Sicuani, Cusco, dan laporan awal daripada polis lebuh raya menunjukkan pemandu bas hilang kawalan kenderaan ketika mengambil selekoh.

  • Sekurang-kurangnya 10 maut, 3 cedera dalam kebakaran bar karaoke di selatan Peru

    Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan tiga lagi parah selepas kebakaran berlaku petang Khamis di sebuah hartanah yang berfungsi sebagai restoran dan bar karaoke di bandar Huancane di wilayah selatan Peru di Puno, menurut Xinhua memetik laporan agensi berita negeri Andina pada Jumaat.

    Kemalangan itu mungkin berpunca daripada letupan tangki gas atau silinder semasa sambutan hari lahir sekumpulan pelajar, Xinhua memetik laporan itu.

    Pihak berkuasa tempatan mengesahkan antara yang maut, lapan lelaki dan dua wanita, manakala yang cedera dikejarkan ke hospital.

    Laporan awal menyebut api merebak dengan pantas dan ketiadaan anggota bomba memaksa jiran dan orang ramai yang lalu-lalang cuba mengawal api dengan baldi air dan alat pemadam api.

    Dilaporkan, Valerio Tapia, datuk bandar Huancane, memberitahu akhbar bahawa ketibaan lewat anggota bomba memburukkan keadaan kerana bandar itu tidak mempunyai unit bomba sendiri.

  • Tanah runtuh di Peru tenggelamkan bot di sungai rantau Amazon, 12 terbunuh

    Sekurang-kurangnya 12 orang maut dan 20 lagi cedera selepas tanah runtuh di rantau Amazon Peru menenggelamkan dua bot di sungai Ucayali, kata pihak berkuasa kesihatan tempatan pada Isnin, menurut laporan Reuters.

    Dua orang masih hilang, kata agensi kesihatan tempatan Diresa Ucayali di media sosial menurut Reuters, berikutan tanah runtuh yang melanda sekitar 4:20 pagi (0900 GMT) di kawasan pelabuhan Iparia, terletak kira-kira 415 km (258 batu) timur laut ibu negara Peru, menghempap ​​dua bot yang dalam perjalanan ke pekan lain di tepi sungai.

    Menurut Reuters, agensi berita negeri Andina berkata unit polis dan tentera laut telah dihantar melalui helikopter untuk membantu usaha menyelamat.

    Sebuah bot, Rapido Oriente, tenggelam sepenuhnya, manakala sebuah lagi, Deo Rigo, mengalami kerosakan serius, lapor Andina.

    Deo Rigo dalam perjalanan dari komuniti orang asli berdekatan dan telah berhenti di Iparia supaya penumpang boleh turun apabila tanah runtuh berlaku, tambahnya.

    Guru dan doktor adalah antara penumpang, kata Andina.

  • Bekas Presiden Peru Pedro Castillo dapat hukuman penjara kerana cubaan rampasan kuasa 2022

    Bekas Presiden Peru Pedro Castillo mendapat hukuman penjara lebih 11 tahun pada Khamis kerana konspirasi untuk memberontak berkaitan dengan percubaan rampasan kuasa 2022 yang gagal, lapor Anadolu.

    Keputusan itu juga termasuk kehilangan kelayakan dua tahun daripada memegang jawatan awam kerana menjejaskan perintah perlembagaan.

    Bagaimanapun, mahkamah membebaskan Castillo daripada pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan gangguan awam.

    Mahkamah Agung pada masa yang sama mensabitkan bekas menteri Kabinetnya, Betssy Chavez dan Willy Huerta, bersama bekas penasihat Anibal Torres, atas jenayah yang sama, memenuhi permintaan pendakwaan.

    Castillo telah dibicarakan atas tindakannya pada 7 Dis 2022 apabila dia mengumumkan pembubaran Kongres dan mengisytiharkan darurat. Dengan membubarkan parlimen, Castillo cuba memintas undian yang akan diadakan bagi mendapatkan penyingkirannya kerana “ketidakupayaan moral”.

    Pada hari yang sama, polis menahannya ketika dia meninggalkan Istana Kerajaan, dilaporkan dalam perjalanan ke Kedutaan Mexico bersama keluarganya. Kongres segera meneruskan untuk memecatnya dari jawatan.

    Castillo telah berkuasa hanya selama 16 bulan dan telah pun terselamat daripada dua percubaan sebelumnya untuk menyingkirkannya. Tempoh singkat beliau ditandai dengan ketidakstabilan politik, termasuk lima perubahan Kabinet, yang membawa kepada kelumpuhan dalaman yang ketara.

    Bekas guru luar bandar dan ahli kesatuan sekerja, Castillo memenangi pilihan raya 2021 dalam penentu menentang Keiko Fujimori, anak perempuan bekas Presiden Alberto Fujimori.

  • Bekas Presiden Peru Martin Vizcarra dijatuhi hukuman penjara 14 tahun

    Bekas Presiden Peru, Martin Vizcarra dijatuhi hukuman penjara 14 tahun pada Rabu kerana menerima rasuah, menurut pihak berkuasa tempatan, Xinhua melaporkan.

    Vizcarra menghadiri perbicaraan di Mahkamah Fourth National Criminal Collegiate, di mana Hakim Fernanda Ayasta mengumumkan hukuman ke atasnya kerana menerima rasuah semasa dia berkhidmat sebagai gabenor wilayah Moquegua, lapor Xinhua.

    Kes itu dilaporkan membabitkan dua projek pembinaan, sistem pengairan Lomas de Ilo dan Hospital Moquegua, yang masing-masing dikenakan hukuman enam dan lapan tahun.

    Menurut hakim, Vizcarra menerima kira-kira 2.3 juta soles (kira-kira 690,000 dolar AS) dalam sumbangan haram daripada syarikat Obrainsa dan Contratistas Generales SAT melalui komisen dan pembayaran berperingkat, lapor Xinhua.

    Selain hukuman penjara, mahkamah juga melarang Vizcarra daripada memegang jawatan awam selama sembilan tahun dan memerintahkan dia membayar 94,900 soles sebagai ganti rugi sivil.

    Susulan keputusan itu, Vizcarra melayari media sosial, mendakwa dia menjadi mangsa “balas dendam” kerana mencabar apa yang disifatkannya sebagai “pakatan mafia”. (1 sol Peru = 0.3 dolar AS)

  • Bas penumpang terjunam ke dalam gaung di selatan Peru, sekurang-kurangnya 37 maut

    Sebuah bas penumpang terjatuh ke dalam gaung yang dalam awal Rabu selepas berlanggar dengan kenderaan lain di selatan Peru, mengorbankan sekurang-kurangnya 37 orang dan mencederakan 13 lagi, lapor AP memetik pihak berkuasa.

    Pengurus kesihatan wilayah Arequipa, Walther Oporto, dilapor berkata kepada radio tempatan RPP bahawa bas itu melanggar sebuah trak pikap dan ia terkeluar dari jalan di selekoh, jatuh lebih 200 meter (lebih 650 kaki) ke tebing sungai Ocoña.

    Bas itu dilaporkan berlepas dari bandar Chala, sebuah kawasan perlombongan yang juga di selatan Peru, dan menuju ke bandar Arequipa.

    Kemalangan bas yang membawa maut dikatakan bukan suatu yang luar biasa di Peru. Punca kemalangan pada Rabu tidak jelas, tetapi pihak berkuasa dilaporkan mengatakan pada masa lalu bahawa pemanduan melulu dan kelajuan berlebihan adalah punca kebanyakan kejadian ini.

    Pada Ogos, sebuah bas dilaporkan terbalik di lebuh raya dan 10 orang maut. Pada Julai, sebuah lagi bas yang dalam perjalanan dari Lima ke wilayah Amazon, Peru turut terbalik, menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang maut dan 48 orang cedera.

    Pada Januari, sekurang-kurangnya enam orang maut dan 32 orang cedera apabila sebuah bas terjatuh ke dalam sungai.

    Pada tahun 2024, terdapat kira-kira 3,173 kematian akibat kemalangan jalan raya di negara Amerika Selatan itu, menurut data rasmi daripada Sistem Maklumat Kematian, lapor AP.