Palestin

  • Kanak-kanak, 15, dibunuh tentera Israel dekat Jenin

    Seorang kanak-kanak dibunuh oleh tentera pendudukan Israel di pekan Ya’bad, barat Jenin, awal pagi Khamis, lapor agensi berita Palestin WAFA.

    Kementerian Kesihatan dilapor berkata, Pihak Berkuasa Am bagi Hal Ehwal Awam memaklumkan kepada mereka kematian Murad Fawzi Abu Seifen yang berusia 15 tahun, ditembak oleh tentera Israel, sambil menambah bahawa mayatnya sedang ditahan oleh pihak berkuasa Israel.

    Sumber tempatan dilapor berkata, tentera Israel menyerbu pekan Ya’bad malam tadi dan melepaskan tembakan ke arah Abu Seifen di salah satu jalan di pekan itu, kena empat peluru.

    Mereka dikatakan menghalang kru ambulans daripada sampai ke arahnya dan membiarkannya berdarah hingga mati sebelum merampas mayatnya.

    Menurut WAFA, tentera Israel mengerahkan penembak tepat ke atas sebuah bangunan di pekan itu dan menyerbu jalan-jalannya.

    Dengan pembunuhan Abu Seifen, bilangan rakyat Palestin yang terbunuh di kegabenoran Jenin sejak bermulanya serangan Israel ke atas bandar Jenin dan kem pelarian pada 21 Januari meningkat kepada 56 orang, dengan lebih 200 orang cedera, menurut laporan WAFA.

    Dalam tempoh itu, pasukan pendudukan dikatakan telah merobohkan sepenuhnya lebih daripada 600 rumah, mewakili 33% daripada kem berkenaan, manakala 22,000 penduduk telah dipindahkan ke pekan-pekan dan kampung-kampung di sekitar Jenin dan sesetengah kejiranan di dalam bandar itu sendiri.

    Pasukan pendudukan dilaporkan memperhebatkan pencerobohan harian mereka ke pekan dan kampung di sekitar Jenin, menjalankan serbuan dan penggeledahan rumah, menahan penduduk, dan menyoal siasat mereka di lapangan.

  • YouTube padam ratusan video daripada kumpulan hak asasi manusia Palestin

    YouTube secara senyap-senyap telah memadam lebih 700 video dan menutup akaun tiga organisasi hak asasi manusia utama Palestin, lapor Anadolu memetik laporan The Intercept pada Selasa.

    Akaun yang dipadam itu milik Al-Haq, Pusat Hak Asasi Manusia Al Mezan dan Pusat Hak Asasi Manusia Palestin, yang semuanya menyiarkan rakaman meluas yang mendakwa pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.

    Menurut Anadolu, The Intercept mengatakan kandungan video itu merangkumi siasatan serangan Israel, keterangan daripada mangsa yang terselamat dan dokumentasi pembunuhan wartawan Palestin-Amerika Shireen Abu Akleh.

    Penyingkiran itu berlaku pada awal Oktober, sejurus selepas kerajaan AS mengenakan sekatan ke atas kumpulan terbabit atas kerjasama mereka dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

    Menurut laporan Anadolu, YouTube mengesahkan penamatan akaun itu susulan semakan yang dicetuskan oleh sekatan AS, dengan memetik kewajipannya untuk mematuhi undang-undang perdagangan dan sekatan yang terpakai.

    Penyokong hak asasi manusia dan kumpulan Palestin dilapor berkata, langkah ini adalah cara untuk membungkam suara Palestin dan menghapuskan bukti penting, dengan menunjukkan bahawa organisasi terbabit tidak diberi amaran sebelum saluran mereka dipadamkan dan penyingkiran itu tertumpu pada kumpulan yang melaporkan pencabulan hak asasi dan bukannya kandungan ekstremis.

    Afrika Selatan dilaporkan memfailkan kes pada Disember 2023, menuduh Israel melakukan tindakan genosid di Gaza. Beberapa negara menyertai prosiding itu, termasuk Sepanyol, Ireland, Libya, Mexico, Belgium dan Türkiye.

    Israel dilaporkan telah membunuh hampir 69,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan lebih 170,000 orang lain dalam serangan di Gaza sejak Oktober 2023.

    Gencatan senjata antara Israel dan Hamas telah dicapai pada 10 Oktober, berdasarkan pelan damai 20 perkara dicadangkan oleh Presiden AS Donald Trump.

    Walau bagaimanapun, Israel dikatakan telah melanggar gencatan senjata beberapa kali.

  • PBB kata hampir 1 juta orang di Gaza terima bantuan makanan di tengah-tengah gencatan senjata

    PBB berkata pada Selasa, hampir 1 juta orang di Jalur Gaza menerima bantuan makanan sejak Oktober, ketika operasi kemanusiaan berkembang di bawah pelan tindak balas 60 hari di tengah-tengah serangan Israel, lapor Anadolu.

    Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), jurucakap PBB Farhan Haq dilapor berkata pada sidang akhbar bahawa “PBB dan rakan kongsi kemanusiaan kami terus meningkatkan operasi kami selaras dengan pelan tindak balas 60 hari.”

    “Sejak penyambungan semula pengedaran makanan umum kami pada Oktober, hampir 1 juta orang telah menerima bantuan melalui 46 titik pengedaran dikendalikan oleh rakan kongsi kami yang bekerja dalam keselamatan makanan di seluruh Jalur, iaitu separuh daripada jumlah penduduk,” lapor Haq.

    Dia berkata: “Rakan kongsi kami yang menyediakan sokongan perlindungan melaporkan bahawa perkhidmatan mereka masih berada dalam tekanan yang teruk disebabkan oleh perpindahan, kerosakan dan ketidakamanan, dengan jurang besar di utara. Walaupun begitu, mereka terus bertindak balas di mana sahaja yang mungkin.”

    Menekankan bahawa “untuk melaksanakan sepenuhnya pelan kemanusiaan 60 hari, PBB dan rakan kemanusiaan kami memerlukan gencatan senjata yang berkekalan, lintasan yang lebih berfungsi,” Haq menekankan keperluan untuk “menanggalkan halangan birokrasi, laluan yang selamat dan berdaya maju di dalam Gaza, pembiayaan yang berterusan dan akses tanpa halangan, termasuk untuk NGO”.

    Mengenai situasi di Tebing Barat yang diduduki, Haq memetik rayuan ketua bantuan PBB, Tom Fletcher, “untuk perlindungan rakyat Palestin di tengah-tengah laporan serangan berterusan oleh peneroka Israel di seluruh Tebing Barat”.

    Menyatakan bahawa “banyak serangan ini dikaitkan terhadap percubaan rakyat Palestin untuk menuai tanaman zaitun mereka,” Haq berkata Fletcher menekankan bahawa “kegagalan untuk mencegah atau menghukum serangan sedemikian adalah tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa”.

    Anadolu melaporkan, menurut Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok rasmi, 259 serangan ke atas rakyat Palestin telah dilakukan oleh tentera Israel dan peneroka haram semasa musim menuai zaitun dari akhir September hingga November.

    Serangan Israel telah meningkat di seluruh Tebing Barat yang diduduki sejak Oktober 2023, membunuh lebih 1,062 rakyat Palestin dan mencederakan 10,300 orang, menurut angka Palestin, lapor Anadolu.

  • Kolonis Israel serang rumah-rumah Palestin di selatan Jenin

    Kolonis Israel menyerang rumah-rumah Palestin di Khirbet Masoud, selatan Jenin pada Isnin, lapor WAFA memetik sumber tempatan.

    Menurut WAFA, mereka mengatakan pasukan Israel menyerang rumah dan tanah milik penduduk Khirbet Masoud, merosakkan pokok zaitun dan melepaskan ternakan mereka ke tanah kampung dan di antara rumah-rumah.

    Sehari sebelumnya, sekumpulan kolonis dikatakan menyerang sebuah rumah di kampung itu, memecahkan tingkap dan pintunya sebelum mengibarkan bendera Israel di atas bumbungnya.

    Khirbet Masoud berada di bawah bidang kuasa Majlis Kampung Zabda dan terdiri daripada tiga komuniti: Iraq al-Dawar, Khirbet Faris, dan Khirbet al-Qusur, dengan penduduk kira-kira 350 orang.

    Pendudukan Israel telah merobohkan tanah bersebelahan dengan pos penempatan yang ditubuhkan di gunung, merampas berdozen dunam tanah pertanian di kawasan yang terbentang dari Qaffin hingga pergunungan Ya’bad, selatan Jenin.

  • Dua rakyat Palestin maut akibat ditembak dekat Hebron dan Nablus

    Seorang pemuda Palestin ditembak dan dibunuh oleh kolonis Israel di pintu masuk utara ke Hebron awal pagi Isnin, lapor agensi berita WAFA.

    Koresponden WAFA dilaporkan berkata, Ahmad Rabhi al-Atrash terbunuh selepas ditembak di kepala dengan peluru hidup yang dilepaskan terus ke arahnya oleh seorang kolonis di pintu masuk utara ke Hebron, dekat jalan pintas.

    Pasukan pendudukan Israel dilaporkan menghalang paramedik Bulan Sabit Merah yang berada di kawasan Ras al-Joura dekat jalan pintas daripada sampai ke pemuda itu, menyebabkan dia mati berlumuran darah di atas tanah.

    Selepas memanggil keluarganya untuk mengenal pasti identitinya, mereka membawa mayatnya ke lokasi yang tidak diketahui.

    Dengan pembunuhan al-Atrash, bilangan rakyat Palestin yang dibunuh oleh penjajah Israel sejak awal tahun ini telah meningkat kepada 14 orang, dan bilangannya sejak 7 Oktober 2023, telah mencecah 35 orang, menurut Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan, lapor WAFA.

    Ini berlaku di tengah-tengah serangan peneroka yang semakin meningkat ke atas kampung-kampung dan pekan-pekan di Tebing Barat, yang dijalankan dengan kerjasama dan perlindungan pasukan pendudukan Israel.

    Sementara itu, WAFA turut melaporkan, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan awal pagi Isnin pembunuhan Jamil Atef Hanani berusia 17 tahun, yang meninggal dunia kerana luka parah akibat tembakan Israel pada petang Ahad di pekan Beit Furik, timur Nablus.

    Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, lapor WAFA, Jamil Atef ditembak di dada dengan peluru hidup semasa serbuan Israel ke atas Beit Furik.

    Dia dipindahkan ke Hospital Kerajaan Rafidia di Nablus, di mana dia kemudiannya disahkan meninggal dunia.