Nigeria

  • Askar Nigeria lepaskan tembakan ke arah peserta protes di timur laut, bunuh 9, kata saksi

    Askar Tentera Nigeria melepaskan tembakan dan membunuh sembilan wanita yang memprotes pengendalian tentera terhadap pertempuran kaum di negeri timur laut Adamawa, saksi dan Amnesty International dilapor memberitahu The Associated Press (AP) pada Selasa.

    Wanita-wanita itu memprotes pada Isnin di jalan utama di kerajaan tempatan Adamawa, Lamurde, apabila askar menembak mereka selepas dihalang daripada lalu, saksi dan saudara-mara mangsa memberitahu AP secara terperinci yang pertama kali dilaporkan pada Selasa.
    Sepuluh yang lain cedera dalam tembakan itu, kata saksi.

    Tentera Nigeria dalam satu kenyataan menafikan membunuh sesiapa dan menyalahkan militia tempatan yang dikatakan melepaskan tembakan di kawasan itu atas kematian tersebut, lapor AP.

    Pejabat Amnesty International Nigeria dilapor berkata agensi itu mengesahkan askar membunuh sembilan peserta protes, memetik laporan daripada saksi dan keluarga mangsa.

    “Ia menunjukkan bahawa tentera Nigeria tidak banyak berubah kerana rekod pelanggaran hak asasi manusia dan pengabaian kedaulatan undang-undang yang lalu,” menurut Isa Sanusi, pengarah Amnesty International di Nigeria.

    AP bagaimanapun mengatakan tidak dapat mengesahkan secara bebas apa yang berlaku.

    Menurut AP, pembunuhan sebegini adalah perkara biasa di Nigeria di mana askar yang sering dikerahkan sebagai tindak balas kepada protes dan pertempuran biasanya dituduh menggunakan kekerasan secara berlebihan.

    Protes terhadap kekejaman polis di hab ekonomi Nigeria, Lagos pada tahun 2020 berakhir dengan apa yang digambarkan oleh siasatan yang ditugaskan oleh kerajaan sebagai pembunuhan beramai-ramai selepas askar melepaskan tembakan di tempat protes, lapor AP.

    Insiden terbaru berlaku di tengah-tengah perintah berkurung yang dikenakan oleh pihak berkuasa di Lamurde susulan pertempuran yang kerap antara kumpulan etnik Bachama dan Chobo mengenai pertikaian tanah yang berpanjangan.

    Peserta protes terkilan kerana pasukan keselamatan, termasuk askar, tidak menguatkuasakan perintah berkurung di kawasan yang terjejas, sekali gus membenarkan pertempuran berterusan, menurut Lawson Ignatius, ahli majlis yang mewakili Lamurde dalam parlimen kerajaan tempatan, lapor AP.

    Gyele Kennedy, yang mengatakan anak perempuannya adalah antara peserta perasaan yang ditembak mati, meratapi dalam kesedihan bahawa “kami tidak tahu apa yang menimpa mereka”.

    “Askar-askar ini sedang beredar dari tempat konflik itu berlaku dan mereka melalui tempat ini. Mereka datang dan bertemu dengan wanita-wanita yang memprotes apabila salah seorang askar melepaskan tembakan ke udara. Selepas itu, mereka melepaskan tembakan ke arah wanita-wanita itu,” kata Kennedy, menurut AP.

    Menurut AP, Tentera Nigeria bagaimanapun menafikan dakwaan itu, dengan mengatakan askarnya hanya bertempur dengan militia tempatan di bahagian lain pekan itu.

    “Tanpa sebarang keraguan, korban jiwa itu disebabkan oleh pengendalian senjata automatik yang tidak profesional oleh militia tempatan yang tidak terlatih dengan mahir untuk mengendalikan senjata automatik sedemikian,” kata jurucakap tentera, lapor AP.

    Pembunuhan yang dilaporkan berlaku ketika tentera Nigeria sedang diteliti oleh Presiden AS Donald Trump, yang mendakwa penganut Kristian menjadi sasaran dalam krisis keselamatan Nigeria dan pasukan keselamatan tidak melakukan secukupnya untuk mencegah pembunuhan tersebut.
    Penduduk dilaporkan telah memberitahu AP bahawa penganut Kristian dan Muslim terjejas dalam keganasan berleluasa yang melanda kampung-kampung Nigeria.

    Pejabat Amnesty International Nigeria menyeru agar pembunuhan yang dilaporkan disiasat dan pelaku mengambil tanggungjawab.

  • 24 gadis yang diculik dalam serangan sekolah di Nigeria dilepaskan, kata pembantu gabenor

    Dua puluh empat kanak-kanak perempuan yang diculik dari sebuah sekolah berasrama kerajaan di negeri Kebbi di Nigeria awal Isnin telah dilepaskan, kata pembantu media gabenor negeri itu pada Selasa, lapor Reuters.

  • Wanita hamil, kanak-kanak antara 11 diculik di Negeri Kwara Nigeria

    Penyamun bersenjata telah menyerang lagi di negeri Kwara, utara-tengah Nigeria, menculik sekurang-kurangnya 11 orang, termasuk seorang wanita hamil dan beberapa kanak-kanak, dari komuniti Isapa di Kawasan Kerajaan Tempatan Ekiti, lapor Anadolu.

    Polis dilaporkan mengesahkan kepada Anadolu pada Selasa bahawa serangan berlaku lewat Isnin, dengan dianggarkan 30 lelaki bersenjata menyerbu pekan itu, melepaskan tembakan secara sporadis dan meninggalkan lubang peluru di dinding dan pintu.

    Lelaki-lelaki bersenjata itu menculik 11 orang dan melarikan diri melalui laluan hutan yang menghubungkan Eruku dengan komuniti jiran.

    Menurut Anadolu, Pesuruhjaya Polis Negeri Kwara, Adekimi Ojo mengesahkan serangan itu, memberitahu agensi berita itu melalui telefon: “Ya, ada insiden. Saya akan memasuki Isapa dari Ilorin.”

  • Ramai berpindah selepas pengganas culik 13 remaja di komuniti Borno

    Gelombang ketakutan melanda komuniti Borno, dan ramai yang mula meninggalkan rumah mereka pada Isnin, sehari selepas puak Boko Haram, ISWAP, menculik 13 remaja perempuan, berumur 15 hingga 20, ketika mereka bekerja di sebuah ladang di daerah Mussa, Kawasan Kerajaan Tempatan Askira/Uba, Anadolu melaporkan.

    Menurut laporan tempatan, gadis-gadis itu sedang menuai tanaman di tanah ladang mereka pada Ahad apabila penyerang bersenjata menyerang. Seorang daripada mangsa melepaskan diri dan bertemu semula dengan keluarganya, manakala baki 12 kanak-kanak perempuan masih hilang.

    Daerah itu telah dikosongkan, dengan keluarga melarikan diri pada awal minggu.
    Masyarakat yang sudah digemparkan dengan pembunuhan lima pengawal minggu lalu, kini tegang apabila penduduk menunggu berita mengenai gadis yang diculik.

    Sumber dilapor berkata, kebanyakan isi rumah telah berpindah ke kawasan yang lebih selamat, sambil menambah bahawa insiden itu memperbaharui kebimbangan terhadap kelemahan masyarakat luar bandar kepada kumpulan bersenjata.

    Menurut Anadolu, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Borno, Abdullahi Askira, mengesahkan penculikan itu dan menggesa penduduk berkongsi maklumat tepat pada masanya dengan agensi keselamatan mengenai pergerakan pengganas yang disyaki.

    Junaid Jibrin, pembantu media Senator Ali Ndume, berkata yang melepaskan diri itu telah bersatu semula dengan keluarganya dan membantu pihak berkuasa dengan risikan, menurut Anadolu.

    “Menurut maklumat yang ada, gadis-gadis itu diculik semasa menuai. Nasib baik, salah seorang daripada gadis yang diculik berjaya melepaskan diri dan telah pulang dengan selamat. Dia kini sedang membantu pegawai dan ahli keluarga dengan maklumat penting mengenai kejadian itu,” Jibrin dilapor berkata.

    Dalam perkembangan berasingan, Presiden Bola Ahmed Tinubu telah mengarahkan penarikan balik pegawai polis yang ditugaskan untuk perlindungan VIP supaya mereka boleh kembali ke tugas teras kepolisan, lapor Anadolu.

    Bayo Onanuga, penasihat khas mengenai maklumat dan strategi, dilapor mengumumkan arahan itu pada Ahad dan berkata keputusan itu susulan mesyuarat keselamatan yang dihadiri polis, tentera udara, ketua tentera dan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Negara, di Abuja.

    Di bawah dasar baharu itu, VIP yang memerlukan keselamatan kini akan meminta kakitangan bersenjata lengkap daripada Kor Keselamatan dan Pertahanan Awam Nigeria.

    Presiden juga dilaporkan meluluskan pengambilan 30,000 pegawai polis baharu dan menaik taraf kemudahan latihan.

  • Presiden Nigeria sahkan kepulangan 89 mangsa culik

    Presiden Nigeria Bola Tinubu pada Ahad mengesahkan penyelamatan dan pemulihan sekurang-kurangnya 89 mangsa yang diculik awal minggu lalu di wilayah tengah negara itu, lapor Xinhua.

    Mangsa yang mendapat semula kebebasan termasuk 38 penganut yang diculik semasa perkhidmatan gereja di Eruku, Negeri Kwara, dan sekurang-kurangnya 51 pelajar terperangkap dalam serangan sekolah di Niger pada Jumaat, Tinubu dilapor berkata dalam satu kenyataan di X rasminya.

  • Sekurang-kurangnya 50 murid yang diculik dari sekolah Katolik Nigeria melarikan diri, kata gereja

    Lima puluh daripada lebih 300 pelajar yang diculik dari sekolah Katolik Nigeria minggu lalu telah melarikan diri, kata Persatuan Kristian Nigeria (CAN) pada Ahad, berita Reuters melaporkan.

    Murid-murid itu melarikan diri antara Jumaat dan Sabtu dan sejak itu telah bersatu semula dengan ibu bapa mereka, pengerusi CAN Bulus Yohanna dilapor berkata dalam satu kenyataan.

    Kira-kira 253 kanak-kanak, termasuk 12 kakitangan, masih bersama penculik, tambah Yohanna, seorang Uskup Katolik yang juga pemilik sekolah itu, lapor Reuters.

    Lelaki bersenjata menculik pelajar dan guru dari sekolah St. Mary di barat laut negara itu pada Jumaat, yang terbaru dalam beberapa serangan sekolah minggu ini yang telah memaksa kerajaan menutup 47 kolej.

    Pope Leo dilapor merayu pada Ahad agar membebaskan segera kanak-kanak dan kakitangan yang diculik, salah satu penculikan beramai-ramai yang paling teruk pernah direkodkan di sana.

    “Saya membuat rayuan ikhlas untuk pembebasan segera tebusan,” Pope Leo dilapor berkata pada akhir misa di Dataran St Peter di Rom.

  • Kumpulan gereja Nigeria kini anggarkan 315 orang diculik dari sekolah pada Jumaat

    Persatuan Kristian Nigeria pada Sabtu meningkatkan anggaran bilangan pelajar dan guru yang diculik dari sekolah Katolik pada Jumaat kepada 315 daripada anggaran awal 227, lapor Reuters.

    Persatuan itu dilapor berkata, penentusahan mendapati 88 pelajar lagi telah ditangkap selepas mereka cuba melarikan diri.

    “Ini kini menjadikan 303 pelajar (dan) … 12 guru, menjadikan jumlah keseluruhan orang yang diculik kepada 315,” ia dilapor berkata dalam satu kenyataan.

    Situasi keselamatan Nigeria berada di bawah pengawasan yang tinggi sejak Presiden AS Donald Trump mengancam tindakan ketenteraan di negara Afrika Barat itu berhubung layanan terhadap penganut Kristian.

    Kerajaan Nigeria dilapor berkata dakwaan Trump bahawa penganut Kristian menghadapi penganiayaan di Nigeria adalah gambaran salah mengenai cabaran keselamatan negara yang kompleks.

  • Lelaki bersenjata di Nigeria culik lebih 200 pelajar sekolah Katolik, kata persatuan Kristian

    Lelaki bersenjata di Nigeria menculik sekurang-kurangnya 227 pelajar dan guru di sebuah sekolah Katolik di barat laut pada Jumaat, Persatuan Kristian Nigeria (CAN) berkata, yang terbaru dalam beberapa serangan sekolah minggu ini yang telah memaksa kerajaan menutup 47 kolej, lapor Reuters.

    Insiden pada Jumaat di negeri Niger itu dikatakan penculikan besar-besaran kanak-kanak sekolah terbesar sejak penculikan Mac 2024 lebih 200 pelajar di negeri Kaduna.

    Menurut Reuters, Pendeta Bulus Dauwa Yohanna, pengerusi CAN di Niger berkata dia telah pergi ke sekolah itu.

    Dia dilapor berkata, sesetengah pelajar berjaya melarikan diri, tetapi tidak memberikan butiran.

    “Daripada rekod kami, 215 murid dan pelajar termasuk 12 guru telah diculik oleh pengganas,” kata Yohanna dalam satu kenyataan, menurut Reuters.

    Terdahulu, polis dan pegawai kerajaan tempatan di negeri Niger dilaporkan mengesahkan penculikan dari Sekolah St. Mary, tetapi mereka tidak menyatakan bilangannya.

    Keadaan keselamatan Nigeria berada di bawah pengawasan yang lebih tinggi sejak Presiden AS Donald Trump mengancam tindakan ketenteraan “pantas” jika negara itu gagal membanteras pembunuhan orang Kristian, menurut Reuters.

    Dalam pertemuan peringkat tinggi pertama antara AS dan Nigeria sejak ancaman Trump, Ketua Pentagon Pete Hegseth dilapor menulis di X bahawa dia bertemu dengan penasihat keselamatan negara Nigeria pada Khamis untuk membincangkan penganiayaan terhadap orang Kristian.

    Kerajaan Nigeria dilapor berkata dakwaan Trump bahawa orang Kristian menghadapi penganiayaan di Nigeria adalah satu gambaran yang salah.

    Menurut Reuters, polis berkata agensi keselamatan berada di tempat kejadian serangan ke atas sekolah Katolik itu pada Jumaat, menyisir hutan berhampiran untuk cuba menyelamatkan mereka yang diculik.

    Kerajaan negeri Niger dilapor berkata sekolah itu tidak mengendahkan arahan bahawa sekolah berasrama penuh harus ditutup kerana risikan yang menunjukkan kemungkinan besar serangan.

    Serangan lain minggu ini termasuk penculikan pada Isnin ke atas 25 pelajar sekolah dari sebuah sekolah berasrama penuh di negeri Kebbi dan serangan ke atas sebuah gereja di negeri Kwara, di mana seorang pegawai gereja dilapor memberitahu Reuters bahawa 38 jemaah telah diambil oleh lelaki bersenjata.

    Menurut Reuters, pegawai gereja itu berkata lelaki bersenjata itu telah mengeluarkan tuntutan wang tebusan sebanyak 100 juta naira (kira-kira $69,000) setiap jemaah.

    Kebbi, Kwara dan negeri Niger bersempadan antara satu sama lain.

    Serangan minggu ini mendorong Presiden Nigeria Bola Tinubu membatalkan perjalanan ke Afrika Selatan dan Angola, di mana dia sepatutnya menghadiri sidang kemuncak G20 dan sidang kemuncak Kesatuan Afrika-Kesatuan Eropah, lapor Reuters.

  • Pelajar dalam bilangan tidak diketahui diculik dari sekolah di tengah Nigeria

    Sebilangan pelajar yang tidak diketahui diculik awal Jumaat apabila suspek pengganas menyerang sebuah sekolah di negeri tengah Nigeria di Niger, kata pegawai tempatan, menurut berita Xinhua.

  • Lelaki bersenjata culik sekurang-kurangnya 25 gadis di sekolah Nigeria – polis

    Suspek lelaki bersenjata menembak mati seorang kakitangan selepas menceroboh sebuah sekolah berasrama penuh kerajaan dan menculik berpuluh-puluh gadis dari asrama mereka semasa serangan pra-fajar di negeri barat laut Nigeria, Kebbi pada Isnin, kata polis, lapor Xinhua.

    Lelaki bersenjata itu, yang menggunakan senjata canggih dan disyaki sebagai “penyamun” memanjat pagar sekolah dan “menculik sekurang-kurangnya 25 pelajar dari asrama mereka ke destinasi tidak diketahui,” jurucakap polis tempatan Nafiu Abubakar Kotakoshi dilapor berkata pada taklimat media.

    Menyedari lebih ramai gadis mungkin hilang, Kotakoshi dilapor berkata, seorang lagi kakitangan sekolah cedera dalam serangan itu.

    Kejadian berlaku di Sekolah Menengah Komprehensif Perempuan Kerajaan di Maga, sebuah komuniti di Kawasan Kerajaan Tempatan Wasagu/Danko di Kebbi, awal Isnin, dia dilapor berkata.

    Pasukan kerajaan sedang mencari pelajar sekolah yang diculik itu, menyisir laluan penyamun yang diketahui dan hutan berdekatan, Kotakoshi dilapor berkata.